Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang najis, jika seluruh badan kita basah dan terkena najis, adakah seluruh badan kita dikira bernajis? Sebab yang saya tahu, jika kurang 2 kolah, najis akan merebak. Harap dato dapat jelaskan. Terima kasih dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam sebuah hadith Abdullah Ibn ‘Umar daripada bapanya, katanya aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air yang berada di padang atau tanah lapang yang digunakan oleh binatang ternakan dan binatang buas. Lantas Rasulullah SAW berabda:

‏ إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

Maksudnya: “Apabila air mencapai dua kolah, maka ia tidak dinajiskan oleh sesuatu.”

Riwayat Ibn Majah (517), Ahmad (5803), Nasa’ie (52), dan Tirmizi (67)

Dalam hadith ini, diukur nilai dua kolah yang tidak membawa najis iaitu sekitar:

  • Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/175)
  • Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama’ berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:
  • Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg).
  • Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
  • Dari segi ukuran 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/273)
  • Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua kolah sebagai 270 liter.
  • Mengikut Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua kolah adalah isi padu air kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram.

Berbalik kepada soalan di atas, kami membahagikan jawapan kepada dua situasi:

  1. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan tubuh badannya basah, lalu terkena najis di tangannya seperti tahi burung dan seumpamanya, maka cukup sekadar dia membasuh tempat yang terkena najis sahaja yakni tangannya.
  2. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan tubuh badannya basah, lalu terkena najis di kakinya seperti tahi kucing misalnya, kemudian dia berendam di dalam kolam yang kurang dua kolah, maka ketika itu, seluruh badannya dikira terkena najis kerana air tersebut sudah menjadi air mutanajjis (air yang jatuh najis ke dalamnya) dan perlu mandi semula dengan air mutlak (air yang suci lagi menyucikan, yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply