Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, minum arak, makan babi, seks bebas, semuanya diharamkan di dunia tetapi halal di syurga. Bagaimana pula hubungan sejenis? Adakah hubungan sejenis dibenarkan didalam syurga?
Perasaan cinta juga ujian kerana memang ia perkara yang melibatkan hati dan perasaan, berada di luar kawalan kita, malah ianya wujud pun atas izin Allah SWT juga.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Lesbian, gay, bisexual, and transgender atau akronimnya LGBT merupakan suatu fahaman songsang yang memilih hubungan luar tabi‘i dan bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia. Allah SWT telah berfirman:
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang menginginkan selain daripada demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Mukminun: 5-7)
Imam al-Syafi’i ketika mengulas ayat di atas berkata: “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki.” (Lihat al-Umm, 5/102)
Fahaman ini teramat jelas kebathilannya sehinggakan tidak pernah ada suatu kaum dalam sejarah peradaban manusia melakukan perbuatan ini sebelum kaum Nabi Lut A.S yang melakukan perbuatan terkutuk ini.
Firman Allah SWT:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾
Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas’.”
(Surah al-A‘raf: 80-81)
Ibn Kathir berkata bahawa perbuatan keji ini tidak pernah menjadi adat dan dilakukan oleh manusia, bahkan tidak pernah terlintas dalam akal mereka, sehingga kaum Sodom melakukannya dan Allah melaknat mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al- ‘Azim, 3/445)
Kami katakan bahawa LGBT adalah penyakit yang melanda sesebuah ummah. Sekiranya aia tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ia boleh membarah, dan akhirnya merosakkan manusia itu sendiri. Sejarah membuktikan umat terdahulu dibinasakan kerana budaya luar tabi‘i dan songsang ini telah menjadi umum di kalangan masyarakat. Samalah seperti kisah kaum Nabi Lut A.S sehingga zahir kemurkaan tuhan melalui hukuman dibenamkan ke dalam tanah dan direndahkan sehingga menjadi laut mati.
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman lagi di atas lisan Nabi Lut A.S:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ ﴿٥٤﴾ أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ ﴿٥٥﴾
Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)’.”
(Surah al-Naml: 54-55)
Wujudkah Perkara Haram yang akan Dihalalkan di Syurga?
Berbalik kepada permasalahan utama yang diajukan, perlu diketahui bahawa bukan semua perkara yang Allah SWT haramkan di dunia itu akan menjadi halal di Syurga. Hal ini kerana perkhabaran mengenai nikmat-nikmat Syurga ini merupakan perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Adapun yang jelas berdasarkan dalil-dalil syara‘, terdapat beberapa perkara yang diharamkan oleh Allah SWT di dunia ini menjadi halal bagi penghuni-penghuni Syurga. Antaranya adalah memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera bagi lelaki, meminum arak, serta menggunakan perkakas yang diperbuat daripada emas dan perak.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Zubair R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَبِسَ الْحَرِيرَ فِي الدُّنْيَا لَمْ يَلْبَسْهُ فِي الآخِرَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memakai sutera di dunia dia tidak akan memakainya pada hari akhirat.”
Riwayat al-Bukhari (5833) dan Muslim (2073)
Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَبِسَ الْحَرِيرَ فِي الدُّنْيَا لَمْ يَلْبَسْهُ فِي الْآخِرَةِ، وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا لَمْ يَشْرَبْهُ فِي الْآخِرَةِ، وَمَنْ شَرِبَ فِي آنِيَةِ الْفِضَّةِ وَالذَّهَبِ لَمْ يَشْرَبْ بِهِمَا فِي الْآخِرَةِ. ثُمَّ قَالَ: لِبَاسُ أَهْلِ الْجَنَّةِ، وَشَرَابُ أَهْلِ الْجَنَّةِ، وَآنِيَةُ أَهْلِ الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Barang siapa yang memakai kain sutera di dunia, maka dia tidak akan (diizinkan) untuk memakainya di akhirat, dan barang siapa yang meminum arak di dunia, maka dia tidak akan meminumnya di akhirat, dan barang siapa yang minum menggunakan cawan yang diperbuat dari perak dan emas, maka dia tidak akan minum dengannya di akhirat. Kemudian Baginda bersabda lagi: ‘Itu pakaian penghuni Syurga, minuman penghuni Syurga dan cawan penghuni Syurga’.”
Riwayat al-Nasa’ie (6869) dan Ahmad (8355). al-Albani mengatakan status hadith ini sahih di dalam al-Silsilah al-Sahihah (384)
Dalam riwayat Huzaifah bin al-Yaman, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، وَلاَ تَلْبَسُوا الْحَرِيرَ وَالدِّيبَاجَ، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الأَخِرَةِ
Maksudnya: “Janganlah kamu minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan janganlah kamu menggunakan kain sutera dan Dibaj (sejenis sutera), kerana itu semua untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat kelak.”
Riwayat al-Bukhari (5633)
Arak yang dihalalkan di Syurga juga disifatkan sebagai minuman yang tidak memberikan kemudharatan, berbeza dengan sifat arak di dunia. Ini jelas dalam firman Allah SWT:
يَتَنَازَعُونَ فِيهَا كَأْسًا لَّا لَغْوٌ فِيهَا وَلَا تَأْثِيمٌ
Maksudnya: “Mereka di dalam Syurga itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain): berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan timbul (dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan (peminumnya menanggung) dosa.”
(Surah al-Tur: 23)
Imam Ibn Kathir menafsirkan, Allah SWT menyucikan arak itu di akhirat nanti dari kekotoran arak dunia dan keburukannya, seperti kesannya yang menyebabkan pening kepala, sakit perut, atau menghilangkan akal secara keseluruhannya (mabuk). Dan Allah SWT juga mengkhabarkan bahawa arak di akhirat tersebut tidak menyebabkan seseorang itu bercakap buruk dan tidak berfaedah dalam keadaan tidak sedar serta biadab. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/169)
Memang benar, Allah SWT memberikan kepada ahli Syurga satu nikmat yang amat besar, iaitu diberikan kepada mereka apa sahaja yang mereka hajati. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ ﴿٣١﴾ نُزُلًا مِّنْ غَفُورٍ رَّحِيمٍ ﴿٣٢﴾
Maksudnya: “Dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”
(Surah Fussilat: 31-32)
Imam Ibn Kathir menafsirkan bahawa, di Syurga kelak semua orang akan dapat apa yang mereka inginkan mengikut kehendak diri dan suka dilihatnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/162)
Akan tetapi, ini tidak menjadi dalil yang membenarkan perbuatan terkutuk LGBT juga boleh diminta, kerana ia perbuatan yang teramat teruk sehinggakan binatang sendiri tidak melakukannya. Kata Imam Ibn Kathir: “Keburukan liwat itu merupakan keburukan yang paling teruk, tidak diketahui di kalangan bangsa Arab terdahulu, bahkan tidak juga disebutkan oleh mana-mana orang dari kalangan mereka. Oleh yang demikian, al-Walid bin ‘Abd al-Malik berkata: ‘Kalau tidak kerana Allah SWT menceritakan kepada kita tentang kisah kaum Nabi Lut A.S di dalam al-Quran, aku tidak akan pernah terfikir bahawa seorang lelaki akan naik di atas belakang seorang lelaki lain (liwat)’.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/185)
Percubaan sebahagian pihak yang cuba untuk membenarkan LGBT ini, bahkan mengharap ianya dibenarkan di Syurga kelak merupakan suatu pemikiran yang cukup asing dan ganjil. Bagaimana mungkin seseorang akan tertarik pada sesama jenis, sedangkan telah warid dalam nas syara‘ bahawa bidadari-bidadari Syurga itu mempunyai daya tarikan yang jauh lebih hebat daripada yang lain.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَوْ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اطَّلَعَتْ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ لأَضَاءَتْ مَا بَيْنَهُمَا وَلَمَلأَتْهُ رِيحًا، وَلَنَصِيفُهَا عَلَى رَأْسِهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Dan seandainya seorang bidadari dari Syurga turun menghampiri penghuni bumi, maka dia akan menerangi antara langit dan bumi dan akan menyebarkan bau harum, dan selendang yang menutupi kepalanya lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
Riwayat al-Bukhari (5633) dan Muslim (1880)
Hubungan sejenis seperti gay (lelaki dengan lelaki), lesbian (perempuan dengan perempuan), atau bisexual (cenderung kepada kedua-dua jantina) merupakan salah satu bentuk zina yang diharamkan. Imam al-Qurtubi menyebutkan dalam al-Jami‘ li Ahkam al-Quran (7/243): firman Allah (أَتَأْتُونَ الْفاحِشَةَ) merujuk kepada mendatangi lelaki (yakni hubungan sejenis). Allah SWT menamakannya sebagai ‘الْفاحِشَةَ’ untuk menerangkan bahawa ia merupakan perbuatan zina. Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُباشِرِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ إِلَّا وَهُمَا زَانِيَتَانِ وَلَا يُبَاشِرُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ إِلَّا وَهُمَا زَانِيَانِ
Maksudnya: ““Tidaklah seorang wanita itu bersedap-sedapan dengan seorang wanita melainkan mereka adalah berzina, dan tidaklah seorang lelaki bersedap-sedapan dengan seorang lelaki melainkan mereka juga berzina.”
Riwayat al-Tabarani (4157) dalam al-Mu‘jam al-Awsat dan al-Baihaqi (5075) dalam Syu‘ab al-Iman
Akan tetapi, hubungan sejenis ini jauh lebih teruk berbanding zina kerana hukuman ke atas pelaku hubungan sejenis ini hanya satu, iaitu hukuman mati bagi pelaku dan orang yang dilakukan ke atasnya, tanpa membezakan sama ada orang tersebut telah berkahwin atau belum.
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ
Maksudnya: “Jika kamu dapati seseorang melakukan amalan kaum Lut, bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perlakuan itu.”
Riwayat Abu Dawud (4462), al-Tirmizi (1456), Ibn Majah (2561) dan Ahmad (2732)
Menggambarkan bagaimana hubungan sejenis ini merupakan perkara yang amat dahsyat, tidak ada jalan keluar bagi pelakunya melainkan menerima hukuman hudud menurut Islam. Bagi pelaku zina yang telah bertaubat pula, terdapat jalan keluar lain bagi mereka seperti dikahwinkan dengan pasangan yang dilakukan bersama hubungan tersebut. Dengan hubungan halal yang terjalin daripada pernikahan ini, maka boleh terlahirnya zuriat yang sah taraf menurut syara‘.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa hubungan sejenis tidak akan pernah dibenarkan oleh syara‘ sama ada di dunia atau di Syurga. Ia bukan sahaja bertentangan dengan hukum syara‘, bahkan ia tidak mampu untuk menjangkau kewarasan akal seseorang manusia yang sihat pemikirannya.
Kami menasihatkan agar mereka yang mungkin diuji dengan kecenderungan songsang ini agar perbanyakkan istighfar dan ibadah kepada Allah SWT, melazimi para alim ulama’ serta menjauhkan diri dari bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik.
Semoga Allah SWT memelihara kita serta seluruh zuriat keturunan kita daripada fahaman seperti ini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذُنُوبَنَا وَطَهِّرْ قُلُوبَنَا وَحَصِّنْ فُرُوجَنَا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, sucikanlah hati-hati kami, dan peliharalah kemaluan-kemaluan kami.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445