Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Saidina Uthman dikatakan sebelum dibunuh pernah bermimpi Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jawapannya, benar. Mereka yang paling hampir dengan ‘Uthman RA menceritakan bahawa beliau dalam keadaan berpuasa ketika rumahnya dikepung. Apabila isteri, khadam, dan sahabat yang datang memintanya untuk berbuka, ‘Uthman RA memberitahu bahawa beliau telah bermimpi menemui Rasulullah SAW yang menjemputnya supaya berbuka bersama Baginda.

Hal ini sebagaimana kata ‘Uthman RA:

إِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَنَامِ اللَّيْلَةَ. فَقَالَ: “يَا عُثْمَانُ، أَفْطِرْ عِنْدَنَا“.

“Sesungguhnya aku bermimpi melihat Rasulullah SAW pada suatu malam. Lalu Baginda bersabda: Berbukalah bersama kami. ‘Wahai ‘Uthman!”

Riwayat Ibn Abi Syaibah 30510 dalam Musonnaf dan Ibn Hibban 6919

Di sini menunjukkan keyakinan Khalifah ‘Uthman RA untuk mati syahid sebagaimana yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah SAW.

Pagi hari Jumaat tanggal 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah, akhirnya pihak pemberontak melanggar benteng pertahanan yang dibentuk oleh pemuda sahabat RA yang bertahan melindungi Khalifah. Sehingga ramai daripada kalangan mereka yang mendapat kecederaan akibat tindakan yang dilakukan para pemberontak tersebut.

Gerombolan itu akhirnya berjaya memasuki rumah ‘Uthman RA dalam keadaan beliau sedang memegang al-Quran. Antara mereka ialah Muhammad bin Abi Bakar, anak sahabat ulung Khalifah Abu Bakar RA yang termakan fitnah surat palsu. Beliau tampil memegang janggut ‘Uthman RA. Tiba-tiba, ‘Uthman RA berkata:

لَقَدْ أَخَذْتَ مِنِّي مَأْحَدًا أَوْ قَعَدْتَ مِنِّي مَقْعَدًا مَا كَانَ أَبُو بَكْرٍ لِيَأْخُذَهُ أَوْ لِيَقْعُدَهُ.

“Kamu telah menempatkanku pada satu posisi dan menundukkanku pada tempat duduk yang tidak mungkin dilakukan oleh ayahmu sebegini.” (Lihat Khalifah bin Khayyat, Tarikh Khalifah bin Khayyat, hlm. 174)

Hal tersebut menyebabkan beliau terkejut sehingga terjatuh tangannya, lantas beliau pun berundur dari tempat kejadian.

Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa individu yang bertindak membunuh ‘Uthman RA ialah dua orang yang datang dari Mesir. Namun, ada riwayat lain menyatakan bahawa pembunuh ‘Uthman RA ialah seorang lelaki Yahudi, ‘Abdullah bin Saba’.

Maka, gugurlah sahabat yang agung ini sebagai seorang syahid, dalam usia 82 tahun dan telah memimpin negara selama 12 tahun. Beberapa orang sahabat menguruskan jenazahnya, lalu disembahyangkan oleh sebahagian sahabat yang ulung dengan berimamkan al- Zubair bin al-‘Awwam RA.

Jenazahnya kemudian dikebumikan pada malam Sabtu antara waktu Maghrib dengan Isya’ di Perkuburan al- Baqi’, Madinah al-Munawwarah.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply