Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kami tahu, kedudukan mutawatir dari segi hukumnya dan bagaimanakah dengan orang yang mengingkarinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu secara ringkas takrif mutawatir. Menurut Imam al-Bazdawi, mutawatir di sisi beliau bermaksud suatu perkara atau perkhabaran itu diriwayatkan oleh kaum yang jumlahnya tidak terhitung banyaknya dan tidak mungkin mereka berkumpul untuk melakukan pendustaan disebabkan oleh ramainya bilangan mereka, di samping sifat ‘adalah mereka dan tempat tinggal mereka yang pelbagai. Begitu juga berterusannya takrifan (had) ini,[1] pengakhirannya seperti permulaannya dan pertengannya juga seperti mana kedua-dua bucunya (yakni awal dan akhir). (Lihat Usul al-Bazdawi, hlm. 353; Kasyf al-Asrar ‘an Usul Fakhr al-Islam al-Bazdawi, 2/361).

Selain itu, Imam al-Subki pula mendefinisikan mutawatir sebagai suatu perkhabaran yang dibawa oleh sekumpulan orang yang mustahil atau tidak mungkin mereka berpakat atau bersekongkol untuk berbohong mengenai berita/perkhabaran yang boleh diketahui berdasarkan pancaindera (bukan melalui  penaakulan akan). (Lihat Jam‘u al-Jawami‘, hlm. 35).

Begitu juga Imam al-Zarkasyi turut menyebutkan, mutawatir ialah suatu perkhabaran yang dibawa oleh sekumpulan orang yang berdasarkan kepada ramainya jumlah periwayatannya adalah mustahil atau tidak mungkin mereka berpakat atau bersekongkol untuk berbohong mengenai berita/perkhabaran yang boleh diketahui berdasarkan pancaindera (bukan melalui  penaakulan akan). (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/94).

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Bazdawi dan Imam al-Subki telah bersepakat bahawa mutawatir itu memestikan ilmu yakin dan inilah mazhab jumhur ulama keseluruhannya. Makna “ilmu yakin” itu ialah suatu ilmu yang diperoleh melalui dalil qat‘i al-thubut dan dalil qat‘i al-dalalah. Hal itu adalah dengan melalui gambaran yang baik terhadap perkara-perkara tersebut, sebagaimana keadaannya perkara-perkara tersebut.

Adapun mereka yang mengingkari perkara yang mutawatir, ulama al-Hanafiyyah jelas menyatakan mereka telah kufur. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Bazdawi bahawa jadilah orang yang mengingkari perkara yang mutawatir dan menyelisihinya sebagai orang yang jatuh kafir kepada Allah SWT. (Lihat Usul al-Bazdawi, hlm. 356; Kasyf al-Asrar ‘an Usul Fakhr al-Islam al-Bazdawi, 2/367).

Penjelasan mereka ini dan keumuman pada lafaz mereka sebenarnya kembali semula kepada asal cara atau tariqah mereka — iaitu tariqah al-fuqaha’ — yang memfokuskan pada permasalahan-permasalahan syarak yang berkaitan dengan hukum-hakam fiqh (al-masa’il al-syar‘iyyah al-fiqhiyyah), dan terbatas pada hal tersebut sahaja. Berbeza halnya dengan cara atau tariqah Syafi‘iyyah — iaitu tariqah al-mutakallimin —  yang lebih menyeluruh, merangkumi permasalahan-permasalahan syariah dan akal. Oleh kerana itu, ulama Syafi‘iyyah tidak menggunakan istilah takfir secara umum kepada setiap orang yang mengingkari perkara yang mutawatir. Misalnya, adakah dihukumkan sebagai kafir kepada orang yang mengingkari kewujudan Baghdad atau Damsyik? Atau mengingkari kewujudan planet Marikh atau Zuhal? Sudah tentu, tidak.

Adapun dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah yang  menggunakan istilah takfir secara umum kepada setiap orang yang mengingkari perkara yang mutawatir ialah ulama al-Mustalah. Hal itu kerana orang yang mengingkari perkara yang mutawatir di sisi mereka ialah orang yang mengingkari perkara mutawatir yang telah sabit secara syarak dan bukannya sabit secara akal. Justeru, ulama al-Mustalah dalam kalangan al-Syafi‘iyyah adalah seperti ulama al-Hanafiyyah dalam hukum ini. Syeikh Muhammad Tahir al-Jaza’iri menyebutkan, mengingkari perkhabaran mutawatir, secara tidak langsung dia telah menunjukkan pendustaan kepada Nabi SAW. Ini kerana hadith/perkhabaran mutawatir itu kedudukannya sama seperti seolah-olah mendengarnya secara terus daripada orang yang menyampaikannya, dan mengingkari rasul adalah kufur. (Lihat al-Masa’il al-Usuliyyah al-Mukhtalaf fiha Baina al-Hanafiyyah wa al-Syafi‘iyyah fi Bab al-Sunnah, Dirasah Muqarinah, al-Bazdawi wa Ibn al-Subki Unmuzajan, hlm. 78-79).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Iaitu empat syarat yang disebutkan sebelumnya dari awal sanad sehingga akhirnya.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply