Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya soalan berkaitan nazar. Sewaktu isteri saya keguguran anak pertama dalam kandungan 4 minggu, saya sudah bernazar jika diberi peluang dapat zuriat akan datang sekali lagi, saya ingin sedekahkan RM 1000 pada mana-mana masjid. Alhamdulillah isteri saya hamil dan selamat bersalin. Jadi saya ingin menunaikan nazar saya. Walaubagaimanapun, saya ingin menukar nazar saya dari sedekah ke masjid kepada sedekah ke pusat pemulihan dadah yang diuruskan oleh ayah saya. Dengan keadaan ekonomi semasa, ayah saya menghadapi kesukaran untuk menguruskan pusat pemulihan tersebut akibat ketiadaan pihak yang ingin menaja saban hari. Saya terpanggil di hati dengan hal ini dan merasakan pusat pemulihan tersebut lebih layak menerima sedekah yang saya nazarkan. Adakah dibolehkan saya menukar nazar saya tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Nazar
Nazar dari sudut istilah ialah apa yang telah ditakrifkan oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)
Firman Allah SWT:
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.
Surah al-Hajj (29)
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.
Riwayat al-Bukhari (6696)
Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.
- Sighah
- Orang yang bernazar
- Perkara yang dinazarkan.
Berkenaan isu nazar, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#2535: Nazar Memberi Makan Ditukar Kepada Bayaran Berbentuk Wang[1]
#3201: Nazar Memberi Makan Kepada Anak Kucing[2]
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan wajib ke atas saudara melunaskan nazar saudara yakni memberi RM1000 pada mana-mana masjid. Nazar ini tidak boleh ditukar kerana ia tempat yang berbeza yakni masjid dan tempat pemulihan dadah. Justeru, kami nasihatkan agar saudara melangsaikan nazar saudara kerana isteri saudara telah selamat melahirkan anak. Manakala, bagi membantu ayah saudara, saudara boleh memberi sumbangan yang lain kepadanya.
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ
Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.
Riwayat Muslim (1640)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Wallahua’lam
[1] https://maktabahalbakri.com/2535-nazar-memberi-makan-ditukar-kepada-bayaran-berbentuk-wang/
[2] https://maktabahalbakri.com/3201-nazar-memberi-makan-kepada-anak-kucing/
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445