Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah terangkan kepada kami syarat khilaf yang diterima oleh syara’?Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarat-syarat khilaf mengikut syara’ terbahagi kepada dua syarat iaitu:

  • Berkaitan dengan tempat atau perkara yang terdapat khilaf
  • Berkaitan dengan pihak yang berbeza pandangan

Syarat yang pertama : Perkara Yang Khilaf Bukan dari Dalil Yang Qati’e

Dijelaskan oleh para ahli usul iaitu apa yang diijtihadkan padanya adalah  tempat di mana ijtihad itu dibenarkan. Apabila ijtihad wujud, maka perbezaan pendapat biasanya juga akan wujud.

Para fuqaha berkata dalam kitab Adab al-Qadhi: Hukuman seorang qadi (hakim) akan diterima jika dia memutuskan pada perkara di mana ijtihad itu  dibenarkan, tetapi tidak akan diterima jika ia bertentangan dengan al-Quran al-Karim atau Sunnah Mutawatir dan Masyhur (Mengikut Istilah para ulama Hanafi)). Begitu juga sekiranya bertentangan dengan Ijma’. (Lihat Adab al-Faqih wa al-Mutafaqqih,2/65). Manakala Ulama Hanbali memperluaskan lagi kategori sunnah iaitu mutawatir atau ahad.

Ibn ‘Abidin rahimahullah berkata: “Di sini, adalah penting untuk meletakkan syarat pada perkara khilaf bahawa al-Quran tidak boleh menjadi dalil yang qati’e. Begitu juga  hadith yang masyhur atau mutawatir. Jika tidak, bertentangan dengan sesuatu yang mutawatir daripada al-Quran atau hadith yang merupakan dalil  yang qati’e, maka ia dianggap sebagai kufur. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin,4/329)

Oleh yang demikian para ulama feqah dan ulama usul dalam isu ini telah bersepakat bahawa tempat yang terdapat khilaf atau perkara yang diijtihadkan padanya ialah: Setiap hukum syara’ yang tidak terdapat padanya dalil yang qati’e.

Sebagaimana yang tersedia maklum dalil ini terbahagi sepertimana berikut:

  • Dalil Qat’i al-thubut wa Qati’ al-Dilalah (قطعية الثبوت وقطعية الدلالة)
  • Dalil Zanni al-Thubut wa Zanni al-Dilalah (ظنية الثبوت وظنية الدلالة)
  • Dalil Qati’ al-Thubut Zanni al-Dilalah ( قطعية الثبوت وظنية الدلالة)
  • Dalil Zanni al-Thubut wa Qati’ al-Dilalah ( ظنية الثبوت وقطعية االدلالة)

Dari sini, kita dapat menyimpulkan bahawa orang yang berhak untuk melakukan ijtihad adalah dalam tiga kategori terakhir. Adapun dalil qati’e al-thubut wa qati’e al-dilalah, ia bukan tempat untuk berijtihad. Ijtihad serta perbezaan pendapat tidak dibenarkan dalam hal ini. Imam Al-Ghazali dalam sumber yang telah disebutkan sebelum ini berkata: “Apa yang kita maksudkan dengan orang yang berhak melakukan ijtihad adalah dalam hal di mana seseorang mujtahid  yang melakukan kesilapan dalam ijtihadnya tidak dianggap berdosa.” Seperti yang telah disebutkan sebelumnya oleh Ibn ‘Abidin, bertentangan dengan dalil yang qati’e s adalah kufur, bukan hanya berdosa.

Telah dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah dalam majmu’ fatawa bahawa: Adalah ulama dari kalangan para sahabat, tabi’in dan ulama-ulama selepas mereka apabila mereka berselisih pandangan pada sesuatu perkara mereka akan kembali kepada perintah Allah SWT. (Lihat Majmu’ Fatawa,24/172-173)

Firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya:  Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

 (Surah al-Nisa:59)

Mereka melakukan perdebatan dalam sesuatu masalah dengan cara saling berbincang dan menasihati antara satu sama lain.

Syarat Yang Kedua: Orang Yang berkhilaf hendaklah mempunyai keahlian

Adapun syarat yang kedua yang berkaitan dengan orang yang berbeza pandangan hendaklah mempunyai keahlian. Sekiranya seseorang itu bertaraf seorang mujtahid hendaklah dia memenuhi syarat-syarat seorang mujtahid sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kitab-kitab usul.

Jika perbincangannya hanya berkisar pada beberapa isu, maka adalah penting untuk memastikan keperluan asas yang disebutkan untuk seorang yang berijtihad dipenuhi. Begitu juga yang diharuskan pada seseorang yang menetapkan dirinya sebagai orang yang  mentarjih di antara ijtihad ulama, seperti yang sering berlaku pada banyak individu hari ini.

Untuk menjelaskan syarat keahlian, kita boleh merujuk kepada tiga kriteria iaitu keahlian dalam ilmu pengetahuan, keahlian dalam agama, dan merupakan orang yang soleh. (Lihat Asar al-Hadith al-Syarif fi Ikhtilaf Aimmah al-Fuqaha,hlm 52-56)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا.

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply