Soalan
Bagaimanakah rupa malaikat munkar dan nakir?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Munkar dan Nakir termasuk dalam kalangan malaikat yang wajib kita imani akan kewujudannya dan ujiannya. Namun ianya juga termasuk dalam perkara ghaib yang tidak akan dapat tahu melainkan apa yang diceritakan oleh Rasulullah SAW.
Terdapat dua riwayat yang menceritakan mengenai sifat dan rupa mailaikat munkar dan nakir, namun kedua-dua hadith ini dinilai lemah oleh ulama’ hadith. Antaranya juga riwayat yang menyatakan bahawa Malaikat Munkar dan Nakir ialah malaikat yang menggali tanah dengan taring-taringnya dan menginjakkan kakinya di atas rambutnya. Kemudian suaranya seperti petir yang keras, pandangan kedua matanya seperti kilat yang terang. Kedua-dua mereka membawa palu yang besar. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bertanyakan kepadanya:
” يَا عُمَرُ كَيْفَ أَنْتَ إِذَا كُنْتَ فِي أَرْبَعٍ مِنَ الْأَرْضِ فِي ذِرَاعَيْنِ فَرَأَيْتَ مُنْكَرًا وَنَكِيرًا؟ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا مُنْكَرٌ وَنَكِيرٌ؟ قَالَ: فَتَّانَا الْقَبْرِ أَبْصَارُهُمَا كَالْبَرْقِ الْخَاطِفِ وَأَصْوَاتُهُمَا كَالرَّعْدِ الْقَاصِفِ مَعَهُمَا مِرْزَبَّةٌ لَوِ اجْتَمَعَ عَلَيْهَا أَهْلُ مِنًى مَا اسْتَطَاعُوا رَفْعَهَا هِيَ أَهْوَنُ عَلَيْهِمَا مِنْ عَصَايَ هَذِهِ، فَامْتَحَنَاكَ فَإِنْ تَعَايَيْتَ أَوْ تَلَوَّيْتَ ضَرَبَاكَ بِهَا ضَرْبَةً تَصِيرُ بِهَا رَمَادًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنِّي عَلَى حَالَتِي هَذِهِ، قَالَ: نَعَمْ، أَرْجُو أَكْفِيكَهُمَا
Maksudnya: Bagaimana Umar jika kamu melihat keadaan kubur berukuran empat depa kali dua depa, sementara di waktu itu kamu mula melihat malaikat Mungkar dan Nakir?”. Lalu Umar berkata: “Siapakah Mungkar dan Nakir itu?”. Rasulullah menjawab: “Keduanya adalah malaikat yang akan menguji kamu di dalam kubur nanti, yang menggali tanah dengan taring-taringnya dan menginjakkan kakinya di atas rambutnya. Kemudian suaranya seperti petir yang keras, pandangan kedua matanya seperti kilat yang terang. Kedua-dua mereka membawa palu yang besar, jika seluruh penduduk bumi ini berkumpul untuk mengangkatnya, nescaya mereka tidak mampu melakukannya. Akan tetapi bagi mereka berdua itu, palu itu lebih ringan daripada tongkat ini, lalu keduanya akan mula menyoal kamu. Jika kamu tidak mampu menjawabnya ataupun kamu cuba menyimpang daripada jawapan, pada waktu itu kamu akan dipukul dengan pukulan, dengan sekali pukulan itu menyebabkan kamu terus menjadi abu.” Umar bertanya lagi: “Adakah pada ketika itu, aku berakal sebagaimana keadaan ku sekarang ini ya Rasulullah?”. Baginda menjawab: “ Ya, wahai Umar. Nescaya kamu akan ditanya soalan sedemikian rupa.” Lalu Umar RA berkata: “ Aku akan cuba untuk memenuhinya.”[1]
Begitu juga, terdapat lagi satu riwayat yang lemah yang menceritakan bahawa rupa Malaikat Munkar dan Nakir ini, mata kedua-duanya umpama bekas tembaga, taring keduanya umpama tanduk lembu dan suara mereka umpama petir sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya: Kami telah menyaksikan satu jenazah bersama Nabi SAW. Selepas kami selesai mengebumikannya dan manusia pun bersurai, Rasulullah SAW bersabda:
إنه الْآنَ يَسْمَعُ خَفْقَ نعالِكُمْ أتاه مُنْكَرٌ ونكيرٌ أعْيُنُهُما مثلُ قدورِ النحاسِ وأنْيابُهُما مِثْلُ صَياصِيِّ البقرِ وَأَصْواتُهُما مثلُ الرعْدِ فَيُجْلِسانِهِ فَيَسْأَلانِهِ ما كانَ يَعْبُدُ ومَنْ كان نَبِيُّهُ فَإِنْ كانَ مِمَّنْ يعبُدُ اللهَ قال كنتُ أعبدُ اللهَ ونَبِيِّي محمدٌ ﷺ جاءَنا بالبيناتِ فآمنّا بِهش واتَّبَعْناهُ فَذَلِكَ قولُ اللهِ يُثَبِّتُ اللهُ الَّذينَ آمَنُوا بالقولِ الثّابِتِ في الحياةِ الدُّنْيا وفي الْآخِرَةِ فيُقالُ لَهُ عَلى الْيَقِينِ حَيِيتَ وعليه مِتَّ وعليه تُبْعَثُ ثمَّ يُفْتَحُ له بابٌ إلى الجنةِ ويُوَسَّعُ له في حُفْرَتِهِ وإنْ كان مِنْ أَهْلِ الشكِّ قال لا أَدْرِي سَمِعْتُ الناسَ يقولونَ شَيْئًا فقلْتُهُ فيُقالُ لَهُ على الشَّكِ حَيِيتَ وعَلَيْهِ مِتَّ وعليْهِ تُبْعَثُ ثمَّ يُفْتَحُ له بابٌ إلى النارِ ويُسَلَّطُ عليه عقارِبُ وتنانينُ لو نَفَخَ أحدُهم في الدنيا ما نَبَتَتْ شيئًا تَنْهَشُهُ وتُؤْمَرُ الأرضُ فتَضُمُّهُ حَتّى تَخْتَلِفَ أضْلاعُهُ
Maksudnya: Sesungguhnya sekarang dia sedang mendengar bunyi tapak kasut kalian, telah datang kepadanya Munkar dan Nakir, mata kedua-duanya umpama bekas tembaga, taring keduanya umpama tanduk lembu dan suara mereka umpama petir. Kedua-duanya duduk di hadapannya dan bertanya: Siapakah yang dia sembah? Siapakah Nabinya? Sekiranya dia daripada kalangan orang yang menyembah Allah maka dia akan menjawab: Saya dahulu menyembah Allah dan Nabiku Muhammad SAW yang telah datang kepada kami dengan membawa penerangan lalu kami beriman dengannya dan mengikutinya. Demikianlah maksud firman Allah: “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat”. (Surah Ibrahim: 27) Kemudian dikatakan kepadanya: Di atas keyakinan yang benar kamu hidup dan di atas keyakinan yang benar juga kamu mati, maka di atas keyakinan yang benar itulah kelak kamu akan dibangkitkan. Kemudian dibukakan untuknya pintu menuju ke syurga dan dilapangkan kuburnya. Namun, sekiranya dia termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu maka dia akan berkata: Aku tidak tahu, aku hanya mendengar orang berkata sesuatu lalu aku pun mengatakannya. Maka dikatakan pula kepadanya: Kamu hidup di atas keraguan dan mati juga di atas keraguan serta di atas keraguan itulah kelak kamu akan dibangkitkan. Kemudian akan dibukakan baginya pintu neraka dan didatangkan kepadanya kala jengking dan ular naga. Sekiranya salah satu daripada mereka menghembus (untuk menghidupkan sesuatu) di dunia maka dunia tidak akan dapat menumbuhkan sesuatu pun (kerana racunnya yang begitu berbisa. Kala jengking dan ular itu akan menyengatnya dan bumi diperintahkan untuk menghimpitnya sehingga hancur tulang-tulang rusuknya. [2]
Namun terdapat satu hadith yang dinilai sahih yang menceritakan bahawa malaikat Munkar dan Nakir ini rupanya hitam kebiru-biruan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ أَوْ قَالَ أَحَدُكُمْ أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ يُقَالُ لأَحَدِهِمَا الْمُنْكَرُ وَالآخَرُ النَّكِيرُ…
Maksudnya: Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir….[3]
Ibn Hajar al-Asqalani menyebut dalam Fath al-Bari satu riwayat daripada al-Tabarani dalam al-Ausat pada menyatakan sifat kedua-duanya. Katanya, mata kedua-duanya seperti cairan tembaga dan taringnya seperti duri atau tanduk lembu yang tajam, sedangkan suaranya seperti guruh. Pendapat seumpamanya oleh Abdul Razzaq daripada Mursal Amr ibn Dinar dan ditambah dengan kedua-duanya menggali dengan menggunakan taring dan memijak pada bulu kedua-duanya.[4]
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Baihaqi di dalam al-I’tiqad al-Baihaqi (257). Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari (3/280) menyatakan bahawa hadith ini mursal.
[2] Riwayat al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (4629). Hadith ini dinilai dhaif sebagaimana di dalam kitab al-Silsilah al-Dha’ifah (5385). Hadith ini juga disebut oleh Syeikh Masyhur bin Hasan Al Salman dalam kitab Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Mawdhu‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrij (hlm. 1505/no. 7670)
[3] Riwayat al-Tirmidzi (1071) dan Ibn Hibban (3117). Imam Tirmidzi menyatakan bahawa hadith ini Hasan Gharib. Sanad hadith ini di nilai Jayyid kerana para perawinya thiqah sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Silsilah al-Sahihah (1391)
[4] Lihat Fath al-Bari, 3/237