Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Mohon pencerahan. Saya ada kemusykilan tentang penentuan kadar bayaran zakat fitrah. Bagaimanakah pihak Majlis Agama Islam menentukan kadar zakat fitrah semasa? Adakah bergantung pada harga semasa beras semata-mata? Dan sekarang sejak isu beras dan ekonomi Malaysia terjejas dan sekiranya berlarutan, adakah kadar zakat fitrah akan turut berubah? Dan adakah kemungkinan berlakunya penurunan peratus umat Islam yang menunaikan zakat fitrah? Walaupun ia wajib, tetapi sedia maklum masyarakat hari ini tertekan dan ditekan lagi dengan keadaan ekonomi serta mengakibatkan bertambahnya bilangan asnaf dan fakir dalam kalangan rakyat Malaysia amnya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, zakat fitrah ialah kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/228).

Zakat fitrah hukumnya adalah wajib berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah berupa segantang kurma atau segantang barli atas setiap orang yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan daripada kaum Muslimin.

Riwayat al-Bukhari (1504) dan Muslim (984) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Kemudian, secara ringkasnya, menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/228-229), zakat fitrah diwajibkan dengan 3 syarat:

Pertama: Islam. Zakat fitrah diwajibkan atas orang Islam sahaja. Tidak wajib zakat fitrah atas orang kafir sebagai kewajipan yang dituntut di dunia.

Kedua: Terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan. Sesiapa yang meninggal dunia selepas matahari terbenam pada hari tersebut, wajib zakat fitrah atasnya sama ada meninggal dunia setelah dia mampu mengeluarkannya atau sebelumnya. Namun tidak wajib zakat ke atas bayi yang baru dilahirkan selepas matahari terbenam, dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebelum matahari terbenam. Sementara bayi yang dilahirkan sebelum matahari terbenam wajib dikeluarkan zakat fitrahnya.

Ketiga: Memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan bagi diri dan tanggungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat tinggal dan khadam jika perlu. Seseorang tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah jika hartanya tidak mencukupi untuk perbelanjaan pada malam dan siang hari raya bagi diri dan tanggungannya.

Bagaimanapun sekiranya dia mempunyai harta yang mencukupi untuk perbelanjaan pada siang dan malam raya sahaja dan tidak pada hari-hari berikutnya, maka zakat fitrah tetap wajib atasnya tanpa mengambil kira perbelanjaan pada hari-hari selepas raya.

Sesiapa yang padanya terdapat ketiga-tiga syarat yang disebutkan tadi, wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi diri dan tanggungannya seperti ibu bapa, datuk dan seterusnya, anak, cucu dan seterusnya dan isterinya. Walau bagaimanapun, tidak wajib seseorang mengeluarkan zakat fitrah anaknya yang baligh dan mampu berusaha sendiri. Zakat fitrah juga tidak wajib dikeluarkan bagi pihak keluarga yang bukan tanggungannya. Bahkan tidak sah mengeluarkannya kecuali dengan izin atau mewakilkannya.

Sekiranya seseorang itu memiliki kadar harta yang tidak mencukupi untuk membayar zakat fitrah seluruh ahli keluarga di bawah tanggungannya, dia hendaklah mendahulukan dirinya, diikuti isterinya, seterusnya anak-anak yang masih kecil, bapa, ibu dan anak-anak yang telah dewasa yang tidak mampu berusaha.

Seterusnya, kadar dan jenis zakat fitrah ialah segantang makanan asasi penduduk negeri tempat seseorang mukallaf itu bermukim. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/229). Ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa pendapat yang paing sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk (غالب قوت البلد). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/132).

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Ibn Umar R.Anhuma yang lalu dan hadith yang lain seperti riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

كُنَّا نُخْرِجُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ، وَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ: وَكَانَ طَعَامَنَا الشَّعِيرُ وَالزَّبِيبُ وَالأَقِطُ وَالتَّمْرُ

Maksudnya: “Pada masa Rasulullah SAW kami mengeluarkan zakat pada hari raya ‘Aidilfitri berupa segantang makanan.” Abu Sa‘id berkata: “Makanan kami ialah barli, kismis, keju dan kurma.

Riwayat al-Bukhari (1510)

Dalam nas menunjukkan bahawa nilai zakat fitrah diukur dengan sa‘ (صاع) iaitu segantang. Terdapat perbezaan ulama berkenaan ukuran atau nilaian gantang dengan ukuran moden semasa. Terlebih dahulu, berdasarkan tahqiq Dr. ‘Abd al-Muhsin bin Muhammad al-Qassim, Imam dan Khatib Masjid Nabawi, beliau ada menyimpulkannya sebagaimana berikut:

  • Segantang syair dinilai dengan 1,200 g (1.2 kg)
  • Segantang gandum dinilai dengan 1,360 g (1.36 kg)
  • Segantang beras Amerika dinilai dengan 1,400 g (1.4 kg)
  • Segantang beras India dinilai dengan 1,440 g (1.44 kg)
  • Segantang beras Mesir dinilai dengan 1,500 g (1.5 kg).[1]

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, ukuran gantang yang digunakan oleh Rasulullah SAW menyamai empat cupak. Kadar ini menyamai sukatan tiga liter, iaitu bersamaan kira-kira 2400 gram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/230). Ada juga yang berpendapat, segantang bersamaan dengan nilai 2,751 gram (2.75 kg). (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/142).

Selain itu, di sana terdapat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan Cara Penetapan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.
  2. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras “Vietnam White Rice” bagi negeri Sabah dan “Thai White Rice” bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70 kg.[2]

Justeru, kami katakan berkenaan dengan beras di Malaysia antara 2.6 hingga 2.75 kg, berdasarkan perkiraan Majlis Agama Islam Negeri.[3]

Begitu juga pada asalnya, dalam mazhab al-Syafi‘i, zakat fitrah tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilai. Bahkan ia mesti dikeluarkan dengan makanan asasi penduduk negara itu. Walau bagaimanapun tidak menjadi masalah pada masa kini untuk mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai mengikut mazhab Hanafi. Hal ini kerana mengeluarkannya dengan nilai lebih memberi manfaat kepada orang fakir dan lebih dekat kepada matlamat yang diharapkan daripada makanan asasi tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/230).

Oleh yang demikian, penentuan harga zakat fitrah adalah berdasarkan segantang makanan ruji dan dalam konteks negara kita, Malaysia adalah beras. Kemudian, segantang itu ditetapkan pula nilaiannya mengikut timbangan semasa (dalam gram/kilogram). Lalu penentuan harga bayarannya pula adalah berdasarkan timbangan tersebut (gram/kilogram) mengikut keputusan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri masing-masing.

Misalnya, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 pada 30 November 2016 Di Dewan Syura Perdana, telah membincangkan “Cadangan Penetapan Kadar Zakat Fitrah Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya Dan Labuan Bagi Tahun 1438H/2017M”. Di antara perkara yang diputuskan adalah penetapan kadar zakat fitrah tahun 2017 berdasarkan faktor berikut:-

  • Bahan makanan yang diambilkira bagi menentukan zakat ialah beras atas alasan ia merupakan makanan asasi yang dimakan oleh penduduk Malaysia. Berdasarkan kajian dan perakuan oleh pihak BERNAS, Beras Super Spesial Tempatan 5% merupakan beras yang dimakan oleh majoriti rakyat Malaysia berbanding dengan beras gred lain.
  • Harga 1 kilogram Beras Super Spesial Tempatan 5% RM2.60 didarabkan dengan 2.70 kg bersamaan RM7.02. Oleh yang demikian, jumlah tersebut digenapkan kepada RM7.00.

Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan penetapan kadar zakat fitrah bagi tahun 1438H bersamaan 2017M bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah berjumlah RM7.00.[4]

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa makanan ruji negara kita ialah beras, dan penentuan harga bayaran zakat fitrah juga adalah berdasarkan kepada harga semasa beras. Oleh itu, apabila harga beras naik, berkemungkinan nilaian harga bayaran zakat fitrah juga boleh naik sesuai kenaikan semasa. Walau bagaimanapun, hal itu masih tertakluk di bawah keputusan Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri masing-masing.

Adapun berkenaan orang yang hendak membayar zakat fitrah. Ia adalah berdasarkan kepada kemampuan masing-masing. Apabila seseorang itu cukup atau memenuhi tiga syarat yang kami telah sebutkan di atas, maka wajib ke atasnya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan tanggungannya. Sekiranya dia tidak memenuhi tiga syarat ini, maka tidak wajib ke atasnya untuk membayar zakat fitrah.

Begitu juga jika seseorang itu memiliki kadar harta yang tidak mencukupi untuk membayar zakat fitrah seluruh ahli keluarga di bawah tanggungannya, dia hendaklah mendahulukan dirinya, diikuti isterinya, seterusnya anak-anak yang masih kecil, bapa, ibu dan anak-anak yang telah dewasa yang tidak mampu berusaha sebagaimana yang kami telah sebutkan sebelum ini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat Neraca Sukatan Islam, Nilai dan Jarak Semasa, oleh Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. (Buku ini masih lagi di dalam peringkat manuskrip dan suntingan untuk diterbitkan)

[2] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/images/pdf-muamalat/9_Fatwa_Kesembilan.pdf. Diakses pada 9 Oktober 2023.

[3] Lihat Neraca Sukatan Islam, Nilai dan Jarak Semasa, oleh Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. (Buku ini masih lagi di dalam peringkat manuskrip dan suntingan untuk diterbitkan).

[4] Lihat https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/785-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-95-zakat-fitrah-bukan-hanya-berdasarkan-beras-yang-kita-makan. Diakses pada 9 Oktober 2023.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply