Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah pembahagian Maqasid Syari‘ah dibahagikan kepada 3, dan boleh terangkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami terangkan terlebih dahulu definisi Maqasid al-Syari‘ah (مَقَاصِدُ الشَّرِيعَةِ) menurut ilmuan Islam. Syeikh Muhammad Tahir ibn ‘Asyur telah mendefinisikannya sebagai Makna-makna dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh syara‘ dalam keseluruhan atau sebahagian besar situasi penurunan syari‘at yang tidak mengkhusus kepada mana-mana hukum syara‘ yang tertentu. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah al-Islamiyyah, 3/165)

Ilman Maghribi, Syeikh ‘Allal al-Fasi pula mendefinisikannya dengan berkata: “Tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum-hakam.”  (Lihat Maqasid al-Syari‘ah wa Makarimuha, hal. 7)

Dr. Ahmad al-Raysouni menyebutkan, Maqasid al-Syari‘ah adalah tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syari‘at bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. (Lihat Nazhariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam al-Syathibi, hlm. 7)

Akan tetapi, takrifan yang lebih dekat kepada jami‘ dan mani‘ adalah sepertimana yang dibawakan oleh Dr Muhammad Sa‘d al-Yubi. Beliau mendefinisikannya dengan berkata: “Maqasid al-Syari‘ah adalah makna-makna, hikmah-hikmah dan seumpamanya, sama ada secara umum atau khusus, yang diraikan oleh syara‘ ketika mensyariatkan sesuatu hukum, demi merealisasikan maslahat hamba-hamba-Nya.” (Lihat Maqasid al-Syari‘ah al-Islamiyyah wa ‘alaqatuha bi al-Adillah al-Syar‘iyyah, hlm. 37)

Berkenaan dengan pembahagian Maqasid al-Syari‘ah, ia terbahagi kepada 3 kategori sebagaimana istiqra’ (penelitian) para ulama’:

Pertama: al-Maqasid al-Daruriyyat (المَقَاصِدُ الضَّرُورِيَّاتُ)

Al-Maqasid al-Daruriyyat atau keperluan yang darurat dan asas, tidak boleh tidak seseorang itu memerlukan perkara tersebut dalam kehidupannya.

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam mengatakan, al-Maqasid al-Daruriyyat ini seperti menjaga agama, menjaga akal, menjaga diri (nyawa), menjaga kehormatan dan keturunan, dan menjaga harta. Dan menjaga kesemua ini adalah dengan perkara yang diharapkan mampu memeliharanya, menjamin ketetapannya, menyelamatkannya dari sebarang kekurangan yang menimpanya, dan menjauhkan dari ditimpa kekurangan pada masa akan datang.

Sebagai contoh, disyari‘atkan berjihad untuk menjaga agama. Qisas pula untuk menjaga diri (nyawa). Hudud memotong tangan pula untuk menjaga harta. Hukuman zina pula untuk menjaga kehormatan dan keturunan. Dan hukuman ke atas pemabuk bagi menjaga akal. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 44)

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjelaskan tentang al-Maqasid al-Daruriyyat dengan menyebutkan, ia merupakan Maslahah asas yang melibatkan pemeliharaan lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kesemua kepentingan ini dapat dianggap sebagai keperluan asasi yang tidak dapat tidak amat diperlukan oleh setiap manusia melalui kehidupan bermasyarakat. Seandainya salah satu daripada keperluan ini tidak dipenuhi, kehidupan manusia sudah tiada ertinya lagi. Sebarang perkara dan tindakan yang mencabul kelima-lima perkara ini akan dianggap sebagai mafsadah (kerosakan).[1]

Kedua: al-Maqasid al-Hajiyyat (المَقَاصِدُ الحَاجِيَّاتُ)

Al-Maqasid al-Hajiyyat atau keinginan dan kemudahan, iaitulah yang disebutkan oleh Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam sebagai perkara yang biasanya menjadi keinginan hajat seseorang, dan tidaklah ianya mencapai tahap darurat. Hal ini kerana tujuan al-Hajiyyat adalah untuk kelapangan, mengangkat kesempitan yang boleh membawa kepada kesukaran. Antaranya seperti keharusan berjual beli, sewa menyewa, kerjasama syarikat, dan apa jua muamalat serta nikmat dari perkara yang baik-baik. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 44-45)

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyebutkan, ia merupakan maslahah yang diperlukan oleh manusia untuk mewujudkan kemudahan dan kelapangan dalam menjalankan tugas dalam kehidupan, dan pada masa yang sama menghindarkan kesusahan serta kesukaran. Walaupun ia tidak sampai ke tahap keperluan asasi yang boleh menyebabkan kebinasaan hidup manusia, tetapi ia diperlukan bagi mengelakkan kesusahan hidup di dalam masyarakat. Ketiadaan maslahah hajiyyah tidak akan menjejaskan kehidupan tetapi akan menyebabkan sedikit kesulitan.[2]

Ketiga:  al-Maqasid al-Tahsiniyyat (المَقَاصِدُ التَّحْسِينِيَّاتُ)

Al-Maqasid al-Tahsiniyyat atau kesempurnaan. Imam al-Syatibi menyebutkan, al-Tahsiniyyat itu adalah dengan mengambil apa yang layak dan sesuai dengan kesempurnaan menurut adat, dan menjauhi keadaan-keadaan yang kotor yang mana akal yang baik menolaknya. Termasuklah dalam al-Tahsiniyyat ini akhlak-akhlak yang terpuji. (Lihat al-Muwafaqat, 2/11)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam mengatakan bahawa ini merupakan kesempurnaan, yang mana termasuk dalamnya apa jua kebaikan menurut adat, dan maqasid ini juga adalah semua perkara yang selain dari al-Hajiyyat. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 45)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerangkan, ia adalah maslahah yang diperlukan sebagai kesempurnaan untuk menjaga kehormatan hidup manusia yang melibatkan kemuliaan akhlak dan adat yang baik serta meninggalkan keadaan yang buruk menurut akal yang waras. Semua itu diperlukan bagi menjamin kelancaran hidup manusia dalam masyarakat. Ketiadaannya tidak memberi implikasi besar terhadap kehidupan manusia.[3]

Beginilah serba sedikit yang mampu kami terangkan berkenaan pecahan Maqasid al-Syari‘ah. Ilmu ini telah berkembang menjadi satu ilmu yang berdiri dengan sendiri dan bukan lagi sekadar satu topik atau bab dalam ilmu usul fiqh. Sekian ramai para ulama’ dan pemikir Islam yang membicarakan mengenainya dalam karya-karya mereka.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.islam.gov.my/ms/bahagian-maqasid-syariah/tiga-kategori-maslahah-kebaikan. Diakses pada 10 Oktober 2023.

[2] Lihat https://www.islam.gov.my/ms/bahagian-maqasid-syariah/tiga-kategori-maslahah-kebaikan. Diakses pada 10 Oktober 2023.

[3] Lihat https://www.islam.gov.my/ms/bahagian-maqasid-syariah/tiga-kategori-maslahah-kebaikan. Diakses pada 10 Oktober 2023.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply