Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah ada hadith yang melarang solat di kandang unta? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu hadith yang berkaitan dengan soalan yang ditanyakan. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.

Riwayat al-Tirmizi (346); Ibn Majah (746) dan al-Baihaqi (2/329).[1]

Dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan, pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad  dan para pendukungnya adalah dilarang untuk seseorang itu solat di ketujuh-tujuh tempat sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas, dan ini adalah di antara mufradat mazhab Hanbali. Dalil ulama Hanabilah bagi larangan tersebut adalah sebagaimana hadith di atas.

Manakala jumhur ulama (termasuklah tiga Imam yang lain[2]) berpendapat bahawa sah solat seseorang di tempat-tempat tersebut kecuali perkuburan, kandang unta dan tandas (al-Husy). Dalil jumhur ulama mengenai kesuciannya dan keharusan untuk solat di tempat-tempat tersebut adalah berdasarkan keumuman hadith, di mana Nabi SAW bersabda:

وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya.

Riwayat al-Bukhari (438)

Seterusnya, dikecualikan daripada tempat-tempat itu perkuburan, bilik mandi (al-Hammam) dan kandang unta berdasarkan hadith-hadith sahih yang lain.

Tambahan lagi, al-Muwaffaq (Ibn Qudamah) turut berpendapat bahawa pendapat yang sahih ialah diharuskan (dibolehkan) untuk solat di tempat-tempat tersebut, dan ini juga merupakan pendapat kebanyakan ulama. Adapun hadith yang menyatakan larangan untuk solat di ketujuh-tujuh tempat itu dinilai sebagai dhaif dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam melanjutkan lagi dengan menyebutkan, sebahagian ulama berpendapat, ‘illah (sebab) larangan untuk solat di kandang unta dan tidak sah solat seseorang di situ  adalah kerana kenajisannya. Ia dibina berdasarkan kepada pendapat yang menyatakan, semua tahi dan air kencing haiwan adalah najis, tidak kira haiwan itu halal dimakan dagingnya ataupun haram dimakan dagingnya.

Sebahagian ulama lagi berpendapat, ‘illahnya adalah ta‘abbudiyyah — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah SWT. Oleh itu, tidak dapat difikirkan oleh akal hikmahnya mahupun rahsia disebalik larangan tersebut. Apa yang wajib ke atas kita hanyalah, “Kami mendengar dan kami taat.” Sedangkan ‘illah dan hikmahnya pula ialah apa yang Syarak perintah untuk melakukannya atau yang dilarang daripada melakukannya. Hal itu cukup bagi orang beriman. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.”

(Surah al-Ahzab: 36)

Justeru, apa yang wajib adalah seseorang itu menyerahkan diri sepenuhnya, di samping tunduk dan beriman dengan sebenar-benarnya bahawasanya Allah SWT tidak akan mensyariatkan sesuatu perkara melainkan padanya terdapat maslahah, manfaat dan hikmah, yang boleh jadi ia dapat diketahui dan boleh jadi juga ia tersembunyi (daripada pengetahuan kita).

Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat, ‘illah larangan untuk solat di kandang unta adalah ‘illah perintah untuk berwuduk disebabkan makan daging unta. Hal itu kerana unta sering didampingi syaitan-syaitan, dan syaitan-syaitan itu akan kembali bersama-sama dengan unta tersebut di kandangnya. Oleh itu, penggembala unta dan orang-orang yang berurusan dengan unta mungkin terkesan dengan kehadiran syaitan tersebut, yang mungkin memberi pengaruh kepada sikap mereka yang sombong dan bangga diri. Oleh sebab itu, tidak sah solat seseorang di tempat-tempat yang menjadi tempat berlindung bagi syaitan-syaitan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/28-29).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan bahawa al-Baihaqi menyebutkan, Zaid bin Jabirah bersendirian meriwayatkan hadith ini. Begitu juga Imam al-Bukhari menyatakan, dia ialah seorang perawi hadith yang sangat mungkar. Menurut Imam al-Tirmizi pula dia bukanlah perawi yang kuat. Bahkan Ibn ‘Abd al-Barr menyatakan, para ulama bersepakat mengenai kedhaifannya, dan menurut al-Hafiz (Ibn Hajar), dia ialah seorang yang matruk (perawi yang ditinggalkan hadithnya). Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir menyebutkan, dalam sanad Ibn Majah terdapat perawi yang bernama Abdullah bin Umar al-‘Umari, dan dia seorang yang dhaif (lemah). (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/26).

[2] Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam al-Syafi‘i

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply