Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa Rasulullah menyebut jihad wanita dalam melaksanakan haji dan umrah, serta apa persamaannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Aku bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلْ عَلَى النِّسَاءِ مِنْ جِهَادٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لَا قِتَالَ فِيهِ؛ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, adakah kaum wanita itu diwajibkan jihad? Baginda menjawab: ‘Ya, mereka diwajibkan jihad tanpa perang di dalamnya, yakni haji dan umrah.’”
Riwayat Ahmad (24158), Ibn Majah (2901) dan al-Bukhari (1520)
Begitu juga, dalam satu hadith yang lain, dinyatakan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata:
إنِّي جَبانٌ وإنِّي ضعيفٌ فقال هلُمَّ إلى جِهادٍ لا شَوكةَ فيه الحجُّ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang penakut dan lemah. Lalu, Rasulullah pun berkata: ‘Kemarilah kamu untuk melakukan jihad yang tidak memerlukan kekuatan disana iaitu ibadah haji.’” (Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 2/165)
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan jihad bagi wanita adalah ibadah haji dan umrah. Hal ini kerana lazimnya tubuh badan wanita lebih lemah berbanding lelaki, maka atas sebab itu jihad perang tidak disyariatkan ke atas kaum wanita. Adapun dari sudut persamaan, terdapat persamaan diantara keduanya yakni jihad dan pelaksanaan haji. Ini kerana kedua-duanya terpaksa berjauhan dari tanah air, berpisah dengan keluarga, membelanjakan harta benda dan kewangan, begitu juga dengan kesukaran dalam bermusafir, di samping membawa kepada keletihan tubuh badan.
Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita. Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Wallahu’alam
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445