Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sekarang bekerja sebagai underwriter di salah sebuah syarikat takaful. Baru-baru ini saya mendapat temuduga di syarikat insurans sebagai claims manager yang mana tugas saya memproses claims untuk conventional insurance dan juga takaful operator kerana syarikat tersebut mempunyai dua-dua lesen untuk menjalankan insuran konvensional dan takaful. Soalan: Jika temuduga saya berjaya dan syarikat insuran itu menawarkan jawatan claims manager kepada saya, adakah pendapatan saya halal dan berkat kerana saya akan jadi kakitangan syarikat insuran konvensional, walaupun tugas saya termasuk memproses claims syarikat takaful?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490; Ma’alim al-Tanzil, 2/9; Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/13-14)

Syeikh al-Sobuni ketika menafsirkan ayat di atas mengatakan, bertolong-tolonganlah dalam perkara kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Menurut Syeikh al-Maraghi, isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam mencari rezeki, kita hendaklah mencari sumber yang halal yang jauh dari perkara-perkara yang haram atau syubhah. Hal ini sebagaimana sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟”.

Maksudnya “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Dalam isu ini kami katakan bekerja di syarikat atau mana-mana institusi konvensional tidak dapat lari dari terlibat dengan urusan yang berkaitan dengan riba baik secara langsung mahupun tidak langsung. Oleh yang demikian menjauhi mana-mana institusi yang berurus niaga dengan riba adalah lebih terselamat. Ini kerana terdapat larangan keras kepada sesiapa yang melibatkan diri dengan riba sepertimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Masu’d bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ

Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.”

Riwayat Ahmad (5/274)

Dalam hal ini juga imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Hal ini jelas menerangkan tentang pengharaman dalam menulis perjanjian antara dua individu yang terlibat dengan riba dan memberikan kesaksian tentang perjanjian tersebut, serta larangan memberikan bantuan kepada hal-hal yang bercanggah dengan kebenaran. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim,11/26)

Justeru kami syorkan kepada saudara supaya mencari pekerjaan dan sumber pendapatan yang selari dengan kehendak syara’ agar pendapat yang diterima itu bersumberkan sumber yang halal lagi diberkati. Di kesempatan ini juga kami nasihati supaya tidak melibatkan diri dengan apa-apa perkara yang dimurakai oleh Allah SWT dan hendaklah sentiasa bertakwa dan bertawakkal kepada Allah SWT agar menemui jalan keluar dari setiap kesulitan.

Firman Allah SWT:

 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ

Maksudnya: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)

(Surah al-Talak: 2-3)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply