Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Di manakah miqat untuk berniat ihram bagi penduduk Makkah atau sesiapa yang sedang berada di sana, bagi tujuan melakukan umrah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, miqat terbahagi kepada dua, iaitu miqat zamani, yang bermaksud tempoh yang sah berihram haji dan miqat makani, yang bermaksud sempadan sesuatu tempat yang tidak harus dilampaui oleh seseorang yang mengerjakan ibadah haji kecuali setelah berihram.

Miqat makani bagi seseorang yang datang dari luar Makkah, yang ingin mengerjakan ibadah umrah adalah sama seperti mana ibadah haji. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أنَّ النبيَّ ﷺ وقَّتَ لأهْلِ المَدِينَةِ ذا الحُلَيْفَةِ، ولِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، ولِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنازِلِ، ولِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لأهْلِهِنَّ، ولِكُلِّ آتٍ أتى عليهنَّ مِن غيرِهِمْ مِمَّنْ أرادَ الحَجَّ والعُمْرَةَ، فمَن كانَ دُونَ ذلكَ، فَمِنْ حَيْثُ أنْشَأَ، حتّى أهْلُ مَكَّةَ مِن مَكَّةَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarn al-Manazil bagi penduduk Najad, Yalamlam bagi penduduk Yaman, miqat-miqat ini adalah untuk penduduknya dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (1530)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131).

Dalam menjawab soalan di atas, mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah Haram ke Tanah Halal yang terdekat walaupun selangkah, bagi tujuan berniat ihram umrah  Namun, jika berihram di Makkah, umrahnya tetap sah, tetapi wajib membayar dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131)

Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata:

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian Baginda bersabda: ‘Wahai ‘Abd al-Rahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan‘im.’ Maka, ‘Abd al-Rahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Di dalam riwayat lain, datang dengan lafaz:

اخْرُجْ بأُخْتِكَ مِنَ الحَرَمِ، فَلْتُهِلَّ بعُمْرَةٍ

Maksudnya: “Keluarlah bersama saudara perempuanmu ini dari Tanah Haram Makkah, kemudian lakukanlah ihram umrah (niat umrah).

Riwayat al-Bukhari (1560)

Tambahan pula Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan bahawa padanya terdapat dalil, bagi sesiapa yang sedang berada di Makkah dan berkeinginan mengerjakan ibadah umrah, maka miqatnya ialah Tanah Halal yang paling dekat. Tidak boleh untuk dia berniat ihram umrah dari Tanah Haram.

Sekiranya dia menyalahinya iaitu tetap berniat ihram umrah dari Tanah Haram, kemudian dia keluar ke Tanah Halal sebelum melakukan tawaf, umrahnya diterima dan tidak dikenakan dam ke atasnya. Akan tetapi, sekiranya dia tidak keluar ke Tanah Halal tetapi terus melakukan tawaf, sa‘ie dan bercukur. Terdapat dua pendapat dalam isu ini. Pendapat pertama menyatakan, umrahnya tidak sah sehinggalah dia keluar ke Tanah Halal, kemudian tawaf, sa‘ie dan bercukur. Manakala pendapat kedua pula menyatakan, umrahnya dikira sah tetapi dia dikenakan dam. Menurut Imam al-Nawawi pendapat yang kedua ialah pendapat yang sahih.

Ini kerana para ulama menyebutkan, diwajibkan bagi mereka yang mahu mengerjakan ibadah umrah untuk keluar ke Tanah Halal adalah supaya terhimpun di dalam tatacara umrahnya antara tanah halal dan haram sebagaimana orang yang mengerjakan ibadah haji telah menghimpunkan dua tempat tersebut di dalam manasik (tatacara) haji mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/151).

Selain itu, mengenai perkara ini, Imam Malik juga ada menyebutkan bahawa mengerjakan ibadah umrah dari Tan‘im yakni seseorang yang berkeinginan melakukannya hendaklah keluar dari Tanah Haram, kemudian  berniat ihram umrah (dari sana), dan perkara itu, sudah memadai buatnya, Insya-Allah. Akan tetapi, yang paling baik (afdhal) ialah dia berniat ihram umrah dari miqat-miqat yang telah ditentukan oleh Rasulullah SAW iaitu lebih jauh dari Tan‘im. (Lihat al-Muwatta’, 3/504).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, sekiranya penduduk Makkah atau sesiapa yang sedang berada di Makkah mahu mengerjakan ibadah umrah, hendaklah memulakannya — iaitu berniat ihram umrah — dari Tanah Halal dan sekiranya mahu mengerjakan ibadah haji, niat ihramnya adalah dari Makkah — iaitu di dalam Tanah Haram. Tidak kira sama ada mereka bermukim di Makkah ataupun bukan. Ini kerana sesiapa yang melalui miqat tersebut dikira sebagai tempat miqat baginya, dan kami tidak mengetahui adanya perselisihan ulama mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 3/246).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa tempat berniat ihram untuk mengerjakan ibadah umrah bagi penduduk Makkah dan sesiapa yang sedang berada atau bermukim di sana adalah dari Tanah Halal Makkah, walau dari arah mana sekalipun. Oleh itu, sesiapa yang berkeinginan mengerjakan ibadah umrah dalam kalangan penduduk Makkah atau orang yang sedang bermukim di sana, hendaklah berniat ihram umrah dari mana-mana Tanah Halal seperti Tan‘im misalnya, kemudian barulah melakukan tawaf, sa‘ie dan bercukur atau bergunting — yakni bertahallul.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply