Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang meminta sedekah sedangkan dia mampu berusaha dan tiada keperluan untuknya berbuat demikian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan bahawa Islam menggalakkan kita bekerja dan berusaha. Benarlah firman Alah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Firman Allah SWT:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Jumu’ah: 10)

Imam al-Baghawi berkata: Iaitu apabila telah selesai daripada solat maka bertebaranlah di muka bumi untuk melakukan perniagaan dan menyelesaikan urusan-urusan kamu. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/123)

Justeru, hukum meminta tanpa keperluan adalah haram. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta kepada manusia harta mereka untuk mengumpul, maka dia telah meminta bara api sama ada dia meminta sedikit atau banyak.”

Riwayat Muslim (1041), Ibn Majah (1838) dan Ahmad (7163)

Rasulullah SAW menegaskan seperti hadith riwayat Qabisah bin Mukhariq R.A, sabda Rasulullah SAW:

يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا

Maksudnya: “‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”

Riwayat Muslim (1044) dan Abu Daud (1640)

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply