Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Selepas kematian suaminya dan sekarang di dalam tempoh iddah ini juga, kawan saya masih meneruskan perangai ini. Ada saja gambar dirinya diupload dan pelbagai caption dengan pakaian berwarna-warni, menyediakan makanan untuk potluck bersama rakan² di pejabat, berjalan di shopping mall bersama anak-anak, menerima kunjungan rakan taulan ke rumah. Selain itu, kawan saya juga kerap menyatakan kesedihannya melalui ungkapan seolah-olah berbual dengan arwah suaminya. Apakah pandangan ustaz terhadap perkara ini terutama tertib ihdad bagi isteri dalam iddah dizaman media sosial yg sama sekali tidak sama dengan tempoh masa 10 tahun yang lepas. Semoga penerangan ustaz boleh membantu saya dan wanita-wanita yang lain.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

‘Iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal dunia. Justeru, Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Wanita yang kematian suami, wajib berada dalam iddah selama 4 bulan 10 hari. Ini adalah titah perintah al-Quran dan al-Sunnah. Hanya tempoh itu boleh disingkatkan jika beliau mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh tersebut. Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُر وَعَشۡراۖ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari”.

Surah al-Baqarah (234)

Berkenaan isu iddah, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1826: Menziarahi Saudara Ketika Masih Dalam Iddah[1]

#2176: Meraikan Hari Persaraan Guru Besar yang dalam Tempoh ‘Iddah[2]

#2724: Wanita Dalam Iddah Mengikuti Pembelajaran Dalam Talian (Online)[3]

#2251: Wanita dalam Iddah Menghadiri Majlis Graduasi Anak[4]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan kami akan menjawab satu persatu berdasarkan soalan yang diajukan.

  1. a) Memakai pakaian bewarna-warni

Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya. Namun tidak bermakna tidak perlu menjaga aspek kebersihan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5339)

  1. b) Potluck bersama rakan-rakan di pejabat

Sekiranya majlis potluck tersebut diadakan dalam waktu pejabat, maka tidak menjadi masalah kerana ia dalam lingkungan waktu pejabat. Namun, sekiranya ia dibuat diluar waktu pejabat, maka ia tidak dibenarkan.

  1. c) Berjalan di shopping mall bersama anak-anak

Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak membenarkannya untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang tempoh ‘iddahnya dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Ramli di dalam kitabnya menyatakan, keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita ber’iddah hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam di rumah tempat ‘iddahnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

  1. d) Menerima kunjungan rakan ke rumah

Tidak mengapa untuk rakannya berjumpa di rumahnya dalam tempoh iddah kerana tidak menjadi masalah untuk perempuan yang dalam keadaan iddah untuk berjumpa orang.

Atas kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan kepada kaum hawa yang dalam tempoh iddah agar tidak terlalu mendedahkan diri dalam media sosial. Islam tidak melarang untuk kita menggunakan media sosial, namun kita perlu menjaga adab-adab kita terutama ketika dalam tempoh iddah yang mana sewajarnya menzahirkan rasa dukacita atas pemergian suami misalnya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa diberi kemudahan dalam menghadapi kehidupan.

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

[1] https://maktabahalbakri.com/1826-menziarahi-saudara-ketika-masih-dalam-iddah/

[2] https://maktabahalbakri.com/2176-meraikan-hari-persaraan-guru-besar-yang-dalam-tempoh-iddah/

[3] https://maktabahalbakri.com/2724-wanita-dalam-iddah-mengikuti-pembelajaran-dalam-talian-online/

[4] https://maktabahalbakri.com/2251-wanita-dalam-iddah-menghadiri-majlis-graduasi-anak/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply