Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kedudukan imam ketika solat jenazah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jenazah adalah fardhu kifayah ke atas orang  yang hidup. Rasulullah SAW telah melaksanakannya ketika sahabat baginda meninggal dunia.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Samurah bin Jundub R.A, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مَاتَتْ فِي بَطْنٍ، فَصَلَّى عَلَيْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَامَ وَسَطَهَا

Maksudnya: “Bahawa ada seorang perempuan mati ketika melahirkan anak. Oleh itu, Nabi SAW telah mendirikan solat jenazah ke atasnya dan Baginda berdiri pada bahagian tengah jenazah tersebut (berhampiran antara pinggang dan perutnya).

Riwayat al-Bukhari (332) dan Muslim (994)

Mafhum daripada hadith ini, imam hendaklah berdiri ditengah-tengah wanita tersebut ketika solat jenazah dan inilah yang sunat. Sebahagian ulama’ menyatakan hikmah berdirinya imam di tengah jenazah wanita kerana ia lebih tertutup daripada pandangan manusia. Kalau tidak, sudah pasti berdiri di kepala kerana ia semulia-mulia anggota. Ini dilakukan kepada jenazah lelaki.

Al-Syirazi berkata: “Dan sunnah untuk imam berdiri imam di sisi kepala jenazah lelaki dan selari dengan tengah jenazah perempuan. Manakala Abu Ali al-Tabari berpendapat bahawa sunnah untuk imam berdiri setentang dada jenazah lelaki dan tengah jenazah perempuan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 1/246)

Hal ini berdasarkan hadith Abu Ghalib, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَلَى جَنَازَةِ رَجُلٍ، فَقَامَ حِيَالَ رَأْسِهِ، ثُمَّ جَاءُوا بِجَنَازَةِ امْرَأَةٍ مِنْ قُرَيْشٍ، فَقَالُوا: يَا أَبَا حَمْزَةَ صَلِّ عَلَيْهَا، فَقَامَ حِيَالَ وَسَطِ السَّرِيرِ، فَقَالَ لَهُ العَلَاءُ بْنُ زِيَادٍ: هَكَذَا رَأَيْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ عَلَى الجَنَازَةِ مُقَامَكَ مِنْهَا وَمِنَ الرَّجُلِ مُقَامَكَ مِنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ». فَلَمَّا فَرَغَ قَالَ: احْفَظُوا

Maksudnya: “Aku pernah solat jenazah lelaki bersama Anas bin Malik, dan ia berdiri menghadap ke arah kepalanya. Kemudian, datang pula mereka yang membawa jenazah perempuan dari suku Quraisy, lalu mereka berseru: “Wahai Abu Hamzah (nama julukan Anas bin Malik), solatkanlah jenazah ini.” Lantas, Anas pun berdiri menghadap ke bahagian tengah keranda jenazah. Kemudian ‘Ala bin Ziyad bertanya kepadanya: “Seperti demikiankah engkau melihat Nabi SAW berdiri di hadapan jenazah (perempuan), yakni seperti kedudukanmu darinya dan kedudukanmu dari jenazah lelaki? Anas menjawab: “Ya.” Setelah selesai, dia berkata: “Peliharakanlah”

Riwayat al-Tirmizi (1034)

Inilah mazhab al-Syafi’i dan Ahmad, bahkan kata Ibn Munzir, inilah pendapat jumhur ulama’. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply