Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang berlaku pada pagi Sabtu yang lepas (7 Oktober 2023), dengan serangan tentera Palestin kepada Israel. Adakah ini termasuk dalam hadith yang masyhur bahawa orang Islam akan membunuh orang Yahudi bahkan pokok serta batu memanggil orang Islam memberitahu bahawa di belakangnya ada orang Yahudi serta boleh bunuh? Ini kerana, ada yang mengaitkan hadith tersebut dengan apa yang berlaku.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”

(Surah al-Baqarah: 120)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ ‏.‏ إِلاَّ الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi. Maka kaum Muslimin membunuh mereka sehingga seorang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon, lalu berkata batu atau pohon itu: “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, Yahudi ada di belakangku. Datanglah dan bunuhlah dia.” Kecuali pohon Gharqad[1], kerana ia daripada pohon orang Yahudi.”

Riwayat Muslim (2922)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa makna pembunuhan Yahudi ini berlaku ketika keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa AS sebagaimana yang disebutkan secara jelas dalam hadith Umamah ketika meriwayatkan kisah keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa AS. Selain itu, hadith (Abu Hurairah) di atas menunjukkan bahawa di antara tanda lain Kiamat ialah segala benda yang tidak bernyawa mampu berkata-kata dan Islam akan terus tertegak sehingga ke hari Kiamat. (Lihat Fath al-Bari 6/610) Pendapat ini turut disokong oleh Imam Ibn al-Mulaqqin bahawa peristiwa pembunuhan Yahudi akan berlaku ketika Nabi ‘Isa turun dan orang Islam akan bersama Baginda. Manakala orang Yahudi pula akan bersama Dajjal. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 17/663)

Beberapa riwayat lain yang jelas menunjukkan bahawa sememangnya ia berlaku ketika turunnya Dajjal dan Nabi ‘Isa ialah riwayat daripada Ibn Umar R.anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:

يَنْزِلُ الدَّجَّالُ فِي هَذِهِ السَّبَخَةِ بِمَرِّقَنَاةَ، فَيَكُونُ أَكْثَرَ مَنْ يَخْرُجُ إِلَيْهِ النِّسَاءُ، حَتَّى إِنَّ الرَّجُلَ لَيَرْجِعُ إِلَى حَمِيمِهِ وَإِلَى أُمِّهِ وَابْنَتِهِ وَأُخْتِهِ وَعَمَّتِهِ، فَيُوثِقُهَا رِبَاطًا، مَخَافَةَ أَنْ تَخْرُجَ إِلَيْهِ، ثُمَّ يُسَلِّطُ اللهُ الْمُسْلِمِينَ عَلَيْهِ، فَيَقْتُلُونَهُ وَيَقْتُلُونَ شِيعَتَهُ، حَتَّى إِنَّ الْيَهُودِيَّ، لَيَخْتَبِئُ تَحْتَ الشَّجَرَةِ أَوِ الْحَجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرَةُ لِلْمُسْلِمِ: هَذَا يَهُودِيٌّ تَحْتِي فَاقْتُلْهُ

Maksudnya: “Dajjal akan turun di daerah dataran bergaram yang bernama Marriqanah. Maka yang paling ramai akan menjadi pengikutnya ialah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki akan bersegera pulang ke rumahnya (untuk melihat atau menjaga) isteri, ibu, anak perempuan, saudara perempuan dan ibu saudaranya. Lalu diikatnya mereka kerana bimbang jika mereka keluar (lalu) bertemu Dajjal (dan menjadi pengikutnya).  Kemudian Allah akan menjadikan orang Islam berkuasa ke atasnya sehingga mereka pun akhirnya dapat membunuhnya dan memusnahkan pengikutnya sehingga ada orang Yahudi yang akan bersembunyi di sebalik pohon atau batu. Lalu batu atau pohon itu berkata kepada orang Islam: ‘Di sini ada seorang Yahudi di belakangku, bunuhlah dia.’”

Riwayat Ahmad (5353). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan bahawa hadis ini sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arnauth menilai sanad hadith ini sebagai dha’if.

Hadith Abu Hurairah di atas menceritakan kepada kita tentang perkara yang bersifat ghaib (akan datang). Peristiwa Yahudi dibunuh oleh orang Islam seperti yang digambarkan dalam hadith akan berlaku ketika turunnya Dajjal dan Nabi ‘Isa AS. Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama ketika menghuraikan hadith tersebut.

Menurut Syeikh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, terdapat banyak hadith Nabawi yang mengkhabarkan bahawa akan sampai pada satu masa, golongan Yahudi akan memiliki kekuatan dan menguasai Palestin. Mereka akan dibantu oleh Dajjal di mana dia menjadi pemimpin bagi kekuatan ini. Mereka akan berhimpun di satu tempat. Kemudian orang Islam akan kembali menguasai dan memerangi mereka. Begitu juga segala sesuatu akan menjadi musuh kepada mereka sehinggakan batu pun akan mendedahkan kedudukan mereka.

Para ulama’ selama lebih daripada 13 kurun telah mengkaji hadis-hadis ini dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim dan juga di dalam bab asyrat al-sa‘ah (tanda-tanda hari Kiamat) yang terdapat di dalam kitab-kitab hadith. Ia bukanlah satu perkara khayalan yang jauh untuk diketahui sebab dan waqi’nya. Yahudi sepanjang tempoh masa yang panjang ini begitu hina, berselerak di muka bumi sehinggakan perkara ini (seperti yang disebutkan di dalam hadith-hadith tersebut) mula jelas kelihatan pada pertengahan kurun Masihi kini. Lantas mereka (Yahudi) mula berfikir untuk mendirikan sebuah negara Yahudi lalu terbentuklah negara haram Israel dan juga peristiwa demi peristiwa.

Penyudah kepada peristiwa-peristiwa yang disebutkan akan benar-benar berlaku sebagaimana telah berlaku perkara-perkara yang telah disebutkan. (Lihat al-Muslimun wa Qadiyyah Filistin, hlm. 206)

Kami katakan, perlawanan antara kebenaran dan kebatilan akan berlangsung di sepanjang zaman. Bahkan, Rasulullah SAW telah menyebut bahawa akan sentiasa wujud golongan yang menegakkan agama-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

Maksudnya: “Akan selalu ada sekumpulan dari umatku yang akan terus mempertahankan kebenaran, dan mampu mengalahkan musuh-musuh mereka. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menyelisihi mereka kecuali hanya sekadar kesulitan hidup yang menimpa mereka, sehingga tiba ketetapan Allah SWT, dan mereka tetap berada dalam keadaan itu. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Di manakah kumpulan itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.”

Riwayat Ahmad (22320)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (2965)

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

Riwayat al-Bukhari (6393)

[1] Pohon Gharqad ialah sejenis pohon yang berduri dan ia terkenal di Bait al-Maqdis (Lihat al-Minhaj, 18/45). Gharqad (Lycium) merupakan satu genus pokok yang mengandungi kira-kira 90 spesies yang tumbuh di zon beriklim sederhana dan subtropika. Selain itu pokok ini juga banyak ditanam di Israel. Secara jelas, tidak diketahui secara pasti bila kaum Zionis-Israel menanam Tanah Palestin dengan pohon Gharqad. Melalui maklumat dari laman web Jewish National Fund (www.jnf.org), di bahagian JNF Store (Tress for Israel Certificate), disebutkan bahawa di Tanah Palestin telah ditanam sebanyak 220 juta batang pohon Gharqad.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply