Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berapa helai pakaian Nabi Muhammad S.A.W? Baginda S.A.W pakai pakaian sama ke setiap hari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.

(Surah al-Hasyr: 7)

Imam Ibn Kathir berkata selagi mana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. ( Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim,13/485).

Begitu juga firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Ali Imran: 31)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jika ada yang mendakwa bahawa dia mencintai Allah maka ikutlah Nabi SAW dalam segenap sudut. Ikutlah wahyu yang telah diturunkan kepada Baginda. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/140)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa menurut Rasulullah s.a.w. adalah satu kewajipan bagi umat Islam, kerana Rasulullah s.a.w. adalah contoh teladan yang terbaik  yang harus kita ikuti. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Dalam isu ini kami tidak mendapati jumlah baju yang dipakai Rasulullah SAW, namun apa yang dapat kami nyatakan di sini adalah beberapa jenis pakaian yang dipakai oleh Rasulullah SAW sebagaimana berikut:

  • Qamis (Kemeja)

Qamis ialah nama bagi pakaian yang dipakai oleh lelaki, yang mempunyai lengan dan kolar (Lihat Syarh al-Masabih,5/17)

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa beliau berkata:

كان أحبَّ الثيابِ إليه القميصُ

Maksudnya: Pakaian yang disukai Rasulullah adalah baju qamis”

Riwayat Tarmizi(1764), Ibn Majah (3575) dan Ahmad(26695)

Diriwayatkan daripada Asma Binti Yazid al-Ansoriyyah R.A beliau berkata:

كَانَ كُمُّ قمِيصِ رسول اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم إِلى الرُّسُغِ

Maksudnya: “Panjang lengan baju qamis Rasulullah sampai pergelangan tangan

Riwayat Abu Dawud(4027) dan Tarmizi(1765)

  • Imamah(Serban)

Ibn Uthaimin menyatakan bahawa: Serban itu adalah kain yang dililit di atas kepada. (Lihat Liqo’ al-Bab al-Maftuh,hlm.89)

Diriwayatkan daripada ‘Amru Bin Harith  al-Makhzumi beliau berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ خَطَبَ النّاسَ وَعليه عِمامَةٌ سَوْداءُ.

Maksudnya: Bahawa Rasululah SAW menyampaikan khutbah kepada orang ramai dengan mengenakan serban yang berwarna hitam

Riwayat Muslim (1359)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah beliau berkata:

أنَّ النبيَّ ﷺ دَخَلَ يَومَ فَتْحِ مَكَّةَ، وَعليه عِمامَةٌ سَوْداءُ

Maksudnya: Bahawa Nabi Muhammad SAW memasuki mekah ketika pembukaannya dengan memakai serban yang berwarna hitam.

Riwayat Muslim (1358)

  • Izar dan Rida’

Izar ialah  pakaian yang tidak dijahit yang dipakai untuk menutup bagian bawah tubuh dan dikat pada pinggan, manakala rida pula ialah kain yang dipakai dan diletak  di atas bahu.

Diriwayatkan daripada Abu Burdah, katanya: Aisyah pernah menunjukkan kepada kami baju dan kain sarung yang tebal, lalu beliau berkata:

قُبِضَ رُوحُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَيْنِ.

Maksudnya: Roh Nabi SAW dicabut ketika Baginda memakai kedua-dua pakaian ini.”

Riwayat Bukhari (5718)

Begitu juga Ali R.A berkata:

فَدَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرِدَائِهِ، فَارتَدَى بِهِ، ثُمَّ انْطَلَقَ يَمْشِي، وَاتَّبَعْتُهُ أَنَا وَزَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ، حَتَّى جَاءَ البَيْتَ الَّذِي فِيهِ حَمْزَةُ، فَاسْتَأْذَنَ فَأَذِنُوا لَهُمْ

Maksudnya: Nabi SAW meminta diambilkan rida’nya, lalu Baginda SAW memakainya dan pergi berjalan kaki, maka aku pun mengikutinya bersama Zaid bin Harithah R.A hingga Baginda sampai ke rumah yang ada Hamzah R.A di dalamnya, lalu Baginda SAW meminta izin, maka mereka (penghuni rumah) mengizinkan mereka (yakni Rasulullah dan orang yang bersama dengannya).”

(Riwayat Bukhari:5793)

  • Jubah

Menurut Mu’jam Lughah al-Fuqaha jubah ialah : Kain panjang tanpa lengan yang dipakai di atas pakaian. Hari ini, ia adalah jubah panjang dengan lengan yang panjang yang dipakai di atas pakaian. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha,hlm.159)

Diriwayatkan daripada al-Mughirah Bin Syu’bah belaiu berakata:

 أن النبيَّ ﷺ لبس جُبَّةً روميَّةً ضيقةَ الكمين

Maksudnya : “Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang mana kedua tangan bajunya sempit.

Riwayat al-Tirmidzi (1768)

Dalam riwayat yang lain disebutkan jubah dari negeri Syam yang sempit kedua tangan bajunya. Riwayat al-Bukhari (363) dan Muslim (274).

Diriwayatkan daripada Asma’ Bin Abu Bakar beliau menyatakan bahawa:

يا جاريةُ، ناولِيني جُبَّةَ رسولِ اللهِ ﷺ، قال: فأخرَجَتْ جُبَّةً من طَيالِسةٍ.

Maksudnya: Wahai pelayan, ambikanlah untukku jubah Rasulullah SAW. Abu Umar berkata: Kemudian pelayan tersebut keluar dari kain yang sangat tebal.

Riwayat Abu Dawud (4052) dan Ahmad (26982)

Justeru, setelah menteliti hadith-hadith Rasulullah SAW, kami ingin menjelaskan bahawa Baginda SAW memiliki beberapa jenis pakaian, sebagaimana diterangkan di atas. Tambahan pula, Baginda juga dikenali memiliki pakaian dengan berbagai warna, namun warna yang paling disukai Baginda adalah berwarna putih. Dalam mengambil pelajaran daripada Rasulullah SAW, baik dari segi akhlak mahupun penampilan, kita dapat mencontohinya sebagai teladan terbaik sepanjang zaman.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.

Wallahua’lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply