Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu pergi ke pasaraya, mengambil barang dan membayar di kaunter, sedangkan saya belajar dalam kitab fiqh bahawa mesti ada lafaz “aku beli” dan “aku jual”, manakala yang lain membalas “terima belian atau jualan” tersebut. Adakah boleh jual beli tanpa lafaz akad begini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Urusan jual beli di dalam Islam melibatkan 3 rukun yang utama:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penjual dan pembeli.
  • Barang yang diakadkan, iaitu barang jualan dan wang yang dijadikan tukaran.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz jual dan beli. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323)

Jual beli di dalam Islam juga mestilah berdasarkan keredhaan antara kedua belah pihak. Ini berdasarkan nas syara‘ yang jelas seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Oleh kerana itu, Islam memberikan hak memilih bagi penjual dan juga pembeli sama ada ingin meneruskan sesuatu urusan jual beli atau membatalkannya, dengan syarat kedua belah pihak belum berpisah dari majlis akad jual beli. Ini berdasarkan hadith riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Penjual dan pembeli boleh memilih (untuk meneruskan atau membatalkan jual beli), selama belum berpisah.”

Riwayat al-Bukhari (2108) dan Muslim (1532)

Ulama’ Islam telah berijma‘ atas keharusan jual beli kerana ia telah menjadi suatu keperluan dalam kehidupan seharian. Seseorang tu boleh jadi tidak mampu untuk memperolehi sesuatu yang dihajati, tetapi ianya ada pada hak pemilikan orang lain. Maka Islam memberikan jalan keluar untuk mendapatkan sesuatu yang pada asalnya adalah hak milik orang lain dengan cara yang halal, iaitu akad jual beli yang sah berserta redha.

Jual Beli Tanpa Lafaz Akad

Menjawab persoalan di atas, sighah atau lafaz yang berlaku antara penjual dan pembeli, iaitu ijab dan qabul, menjadi khilaf dikalangan ulama’. Secara ringkasnya, akad jual beli boleh berlaku dengan pelbagai cara, antaranya:

  • Sighah lafaz (اللَّفْظ) yang zahir (jelas)
  • Saling memberi (المُعَاطَاةُ), iaitu pertukaran barang yang dibuat dengan perbuatan sahaja, dengan keredhaan semua pihak, tanpa melafazkan ijab dan qabul.
  • Isyarat (الإِشَارَةُ), iaitu isyarat tangan dan sebagainya bagi mereka yang bisu dan tidak boleh bercakap atas masalah-masalah tertentu.
  • Penulisan (الكِتَابَةُ), iaitu akad dengan bentuk tulisan daripada semua pihak yang melakukan akad, dan ia berlaku dengan dua syarat, iaitu:
  1. Tulisan mestilah jelas dan kekal sehingga selesainya akad.
  2. Tulisan mesti ditulis dengan cara kebiasaannya dilakukan mengikut adat setempat. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/461)

Ulama’ pula telah menyimpulkan bahawa sighah dalam jual beli mesti merangkumi syarat-syarat yang berikut

  • Isyarat atau maksud ijab dan qabul mestilah jelas berdasarkan apa yang diinginkan oleh pihak yang melakukan akad.
  • Lafaz ijab dan qabul mestilah saling bersesuaian dan menyerupai. Sebagai contoh, penjual mengatakan, “Aku jual pen ini kepada kamu,” dan pembeli menjawab, “Aku beli pen ini.”
  • Lafaz ijab dan qabul tidak terputus, dengan erti kata lain, ia perlu berlaku dalam satu majlis akad yang sama. Ia dikira tidak terputus apabila kedua-dua pihak tahu apa yang disampaikan antara satu sama lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2943)

Berdasarkan situasi yang disebutkan oleh saudara yang bertanya, ia disebutkan sebagai jual beli secara al-mu‘atah (المُعَاطَاةُ) atau pemberian.

Jual beli al-mu‘atah ini menurut Mazhab Syafi‘i adalah tidak sah. Al-Khatib all-Syirbini menyebutkan, jual beli itu memerlukan kepada lafaz kerana ia terkait dengan keredhaan. Redha itu pula merupakan suatu yang tersembunyi dan tidak dapat diketahui. Maka hukum jual beli itu tertakluk kepada apa yang zahir, iaitu lafaz sighah, dan ia tidak termeterai dengan al-mu‘atah. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/325)

Menurut pandangan Mazhab Hanbali, Mazhab Hanafi dan Maliki Maliki pula, akad dengan sighah fi’liyyah atau al-mu‘atah adalah sah, di mana tidak keluar dari kedua-dua belah pihak; pembeli dan penjual lafaz ijab dan qabul, bahkan yang berlaku hanyalah perbuatan saling memberi, iaitu pembeli mengambil barang dengan harga tertentu dan penjual mengambil jumlah wang yang menepati harga tersebut.

Imam Ibn Mazih al-Bukhari al-Hanafi berkata, termeterainya akad jual beli dengan al-mu‘atah (jual beli secara memberi ini) tanpa lafaz ijab dan qabul. Dan asal pada al-mu‘atah ini adalah ‘uruf masyarakat dan adat setempat mereka. (Lihat al-Muhit al-Burhani, 6/273)

Imam Khalil bin  Ishaq al-Maliki mengatakan, berlakunya jual beli itu dengan apa jua cara yang menunjukkan keredhaan, sekalipun dengan al-mu‘atah (saling memberi). (Lihat Mukhtasar al-Khalil, hlm. 143)

Imam al-Mardawi al-Hanbali menyebutkan, pandangan yang benar menurut mazhab (Mazhab Hanbali) adalah sah jual beli dengan al-mu‘atah secara mutlak. Dan inilah pandangan jumhur al-Hanabilah, dan pandangan ini yang diambil dalam mazhab. (Lihat al-Insaf, 4/263)

Mereka berhujjah dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Dan juga hadith riwayat Abu Sa‘id all-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.”

Riwayat Ibn Hibban (4967)

Nas-nas di atas tersebut menunjukkan tidak semestinya dengan lafaz. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga berpendapat, bahawa berlaku jual beli sama ada dengan ucapan atau perbuatan, yang dikira menurut uruf sebagai jual beli. Yang penting qasad dan matlamat menunjukkan keredhaan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 4/212)

Umumnya, jual beli di Malaysia kini telah lama menggunakan pandangan majoriti fuqaha’ selain pandangan Mazhab Syafi‘i kerana ianya lebih meraikan maslahah umum masyarakat. Dan berdasarkan ‘uruf di Malaysia sendiri, jual beli secara al-mu‘atah itu sudah cukup menunjukkan keredhaan penjual dan pembeli dalam akad.

Oleh yang demikian, mengambil pandangan majoriti dalam permasalahan jual beli dengan al-mu‘atah di pasaraya adalah lebih bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah:

العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum (sesuatu perbuatan dan tindakan).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 89)

Hal ini bermaksud, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan yang berlaku.

Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:

إِنَّمَا تُعْتَبَرُ الْعَادَةُ إِذَا اطَّرَدَتْ أَوْ غَلَبَتْ

Maksudnya: “Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.” (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Ali Ahmad al-Nadwi, hlm. 65)

Dan juga terdapat kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْعُقُودِ رِضَا الْمُتَعَاقِدَيْنِ

Maksudnya: “Asal bagi setiap akad (kontrak) adalah redha antara dua orang yang melakukan akad.”

Syeikh Mustafa al-Zuhaili mengatakan bahawa yang diambil kira dan keharusan sesebuah kontrak pada berlakunya ia dan lazimnya setiap perkara yang ditetapkan di dalamnya, adalah redha antara dua pihak yang melakukan akad.  Hal ini kerana syara’ menetapkan halalnya suatu muamalat apabila kedua-dua pihak redha dan berkeinginan untuk melaksanakan kontrak, serta melazimi setiap ketetapan yang disebutkan di dalam kontrak tersebut. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/818)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply