Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya saya terjumpa satu blog yang mengatakan hadis mengenai seseorang yang minum arak solatnya tidak diterima 40 hari sebagai hadis munkar. Selepas itu, saya ada tengok ceramah seorang pendakwah terkenal membawa hadis tersebut. Persoalan saya, adakah ada hadis atau rujukan sahih mengatakan minum arak menyebabkan solat seseorang itu tidak diterima selama 40 hari? Terima kasih atas respon yang akan diberikan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak dengan zatnya itu adalah diharamkan dan nas al-Quran memerintahkan kita untuk menjauhinya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abd al-Rahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.”

Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadis ini sahih li ghairih.

Justeru bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadith Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini terdapat sebuah hadith yang menyatakan sesiapa yang meminum arak maka ibadahnya tidak diterima selama 40 hari sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa beliau mendengar Raulullah SAW bersabda:

لَا يَشْرَبُ الخَمْرَ رَجُلٌ مِنْ أمَّتِي فَيَقْبَلُ اللهُ مِنْهُ صَلَاةً أَرْبَعِينَ يَوْمًا

Maksudnya: Tidaklah seseorang dari umatku yang meminum arak kecuali Allah tidak menerima solatnya selama 40 hari.

Riwayat Nasai (2664), Ibn Majah (3677) dan Ahmad (6644), Albani menilai hadith ini sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’,hlm.7717

Hadith ini terdapat perbahasaan di kalangan para ulama. Syeikh Al-Bani menilai hadith ini sebagai hadith yang sahih. Manakala Ibn Qattan dalam kitabnya al-Wahmu wa al-Iham menyataan bahawa: hadith ini terdapat keraguan padanya kerana pada jalur sanadnya terdapat Uthman Bin Hisni. Beliau menyatakan nama ini tidak dikenali bahkan tiada seorang bun dari kalangan ulama yang menyebutnya. (Lihat al-Wahmu wa al-Iham fi Kitab al-Ahkam, 5/106)

Begitu juga telah dinyatakan dalam Kitab al-Jami’ al-Sahih Mim Ma Laisa Fi Sahihain bahawa : hadith ini merupakan hadith yang sahih. Semua perawi yang meriwayatkan hadith ini  adalah thiqah. (Lihat Kitab al-Jami’ al-Sahih mim ma Laisa Fi Sahihain, 2/89 )

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan makna hadith “لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً” dalam hadith yang lain beliau menyatakan bahawa: Adapun makna hadis bahawa solatnya tidak akan diterima oleh Allah ialah tidak ada ganjaran yang diperolehi olehnya. Walaupun solatnya sah dan kefardhuan dilaksanakan. Tidak diwajibkan qada baginya”. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 14/227)

Syaikh Ibn Baz dalam isu ini juga menyatakan bahawa: Dia telah melepaskan pahala solatnya seperti hadith yang menyatakan orang yang mendatangi tukang ramal tidak akan diterima solatnya selama 40 malam. Meskipun solatnya dianggap sah, namun dia tidak akan mendapat pahala darinya. Jika seseorang meninggalkan solat, ia akan menyebabkannya jatuh dalam kekufuran..[1]

Justeru kami katakan hadith ini merupakan  hadith yang sahih. Namun apa yang dinyatakan dalam hadith bahawa  Allah SWT tidak menerima solat seorang yang minum arak selama 40 hari itu hanyalah  majazi atau kiasan. Adapun kewajipan solat itu tetap wajib ke atasnya. Solat yang dilakukannya tetap sah akan tetapi tidak mendapat ganjaran oleh Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

 

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/24559/% – Diakses pada 12 Oktober 2023

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply