Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum mengambil upah membuat persembahan bacaan al-quran dalam sesuatu majlis yang diadakan dan bagaimana pula dengan mengajar al-Quran, adakah  boleh mengambil upah ?. Mohon pencerahan daripada Dato’ Seri. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah al-Hijr: 9)

Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami’ al-Bayan, 17/68)

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

 Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa al-Quran boleh memberi syafaat kepada pembacanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A bahawa Baginda bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.

Riwayat Muslim (804)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini tidak dibolehkan mengambil sebarang upah dalam bacaan al-Quran melainkan mengajarnya. Ini kerana dalam ibadah adalah di mana seorang Muslim tidak boleh mengambil upah atau gaji sebagai pengganti apa yang dia lakukan. Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah SWT hanya untuk memperoleh keuntungan dunia, maka dia tidak akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT., sepertimana firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ ‎﴿١٥﴾‏ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.”

(Surah Hud: 15-16)

Syeikh al-Sa;di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya” maksudnya segala keinginannya terbatas hanya pada kehidupan dunia berupa wanita, anak anak, emas, dan perak yang melimpah, kuda pilihan, ternakan dan tanah pertanian maka sesungguhnya dia telah memfokuskan keinginannya, usahanya dan pekerjaannya pada hal hal ini, dan tidak terdetik dalam keinginannya untuk alam akhirat sedikitpun, orang ini tidak lain melainkan orang kafir. Jika dia adalah orang yang beriman, nescaya imannya akan menghalanginya untuk memberikan seluruh keinginannya kepada dunia, bahkan imannya itu sendiri dan amal perbuatan yang dilakukannya adalah salah satu tanda seseorang itu  menginginkan alam akhirat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.378)

Telah dinyatakan dalam al-Durar al-Thariyyah BIn Fatawa al-Baziah bahawa: Adalah tidak dibolehkan mengambil bayaran semata-mata untuk membaca  al-Quran pada apa-apa majlis . Sheikh al-Islam Ibn Taymiyyah  telah menyatakan bahawa tidak ada perselisihan di kalangan ulama mengenai haramnya amalan ini.(Lihat al-Durar al-Thariyyah BIn Fatawa al-Baziah,hlm.347 )

Ibn Uthaimin dalam isu ini menyatakan bahawa: Mengambil upah atas bacaan al-Quran adalah haram, kerana bacaan al-Quran adalah amalan yang dilakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Setiap amalan yang dilakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah, jika diambil upah atasnya, maka itu adalah haram. Oleh itu, jika seorang pembaca al-Quran mengambil upah atas bacaannya, maka upah tersebut adalah haram, dan tidak ada ganjaran baginya dari bacaan tersebut. (Lihat Fatawa Nur ala al- Darb, 5/2)

Adapun mengambil upah dalam mengajar al-Quran adalah dibolehkan. Ini sebgaimana  hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: “Bahawasanya beberapa orang sahabat Nabi SAW melalui (suatu kaum yang tinggal di) satu sumber air, salah seorang daripada mereka disengat binatang berbisa – atau perawi menggunakan lafaz ‘سَلِيمًا’ pada makna ‘لَدِيغًا’  – maka salah seorang lelaki penduduk sumber air itu datang kepada mereka lalu bertanya: “Adakah di antara kamu seseorang yang boleh meruqyah? Sesungguhnya di sumber air itu terdapat seorang yang disengat binatang berbisa.” Maka seorang lelaki antara para sahabat pergi (bertemu pesakit) lalu membacakan surah al-Fatihah dengan mengenakan upah beberapa ekor kambing, kemudian orang (yang sakit) itu pun sembuh, maka dia datang kepada para sahabatnya dengan membawa sekawan kambing. Ternyata mereka tidak menyukai hal itu dan berkata: “Engkau telah mengambil upah atas kitab Allah SWT”, sehingga mereka datang ke Madinah dan berkata: “Wahai Rasulullah, dia telah mengambil upah atas kitab Allah SWT.” Rasulllah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا كِتَابُ اللَّهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang paling berhak kalian ambil upah ke atasnya adalah kitab Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (5737), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6/124), Ibn Hibban (5146)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Dibolehkan untuk mengambil upah atas ruqyah dengan al-Fatihah dan zikir. Dan hal itu halal serta tidak makruh padanya. Begitu juga upah dalam mengajarkan al-Quran. Dan inilah mazhab al-Syafi’i, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan ulama salaf yang lain, serta ulama setelahnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/188)

Sebagai kesimpulannya kami katakan dalam isu ini tidak dibolehkan sesiapa yang melakukan persembahan bacaan al-Quran di khalayak ramai mengambil upah dari bacaan itu kerana bacaan al-Quran merupakan amalan ketaatan yang dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT bahkan ada ulama yang mengatakan tidak ada ganjaran yang diperolehinya daripada bacaan tersebut. Namun sekiranya pihak penganjur memberikan saguhati atau hadiah sebagai tanda penghargaan kepadanya  maka dibolehkan baginya untuk mengambil hadiah tersebut. Adapun upah dalam  mengajar al-Quran adalah dibenarkan sebagaimana  pendapat para fuqaha.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply