Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya. Saya dalam permusafiran dari Pahang ke Selangor. Dalam permusafiran tersebut, saya telah singgah sebentar ke rumah sewa di Ampang untuk menghantar barang sebelum meneruskan perjalanan ke Cheras.

Soalan saya: Adakah saya masih dikira bermusafir memandangkan saya sudah masuk ke kawasan mukim untuk seketika dan bolehkah saya masih menunaikan solat jamak qasar setelah tiba di Cheras?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2618: Jamak Qasar ke Rumah Mertua[1]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya rumah yang anda bermukim itu di cheras dan bukannya rumah sewa di Ampang, maka masih dibolehkan untuk anda melakukan solat jamak qasar. Oleh itu, anda masih boleh solat jamak selagi mana tidak sampai rumah anda di Cheras. Namun, jika saudara sudah sampai rumah di Cheras yang mana tempat anda bermukim, maka ketika itu tidak dibolehkan lagi untuk jamak dan qasar.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://maktabahalbakri.com/2618-jamak-qasar-ke-rumah-mertua/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply