Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dari Parit Buntar, Perak sampai Klang pukul 8 malam (sabtu malam ahad), saya ada empat orang anak yang tinggal di kKL dan Klang. Kami akan bergerak ke rumah setiap anak dan balik semula ke Parit Buntar pada hari Khamis tengahari. Boleh ke kami solat jamak qasar? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#111 Hari Masuk dan Hari Keluar dalam Isu Jamak Qasar[1]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk solat jamak dan qasar sekiranya ia menepati syarat jamak qasar yakni 3 hari 3 malam. Namun, memandangkan anda pulang semula ke Parit Buntar pada hari khamis, ia telah melebihi hari yang sepatutnya yakni sudah dikira 4 hari. Oleh itu, anda hanya boleh solat jamak qasar ketika dalam perjalanan sahaja yakni ketika anda sampai ke Klang dan ketika anda bergerak pulang ke Parit Buntar (dalam perjalanan). Sekiranya anda pulang ke Parit Buntar pada hari Rabu, maka ketika itu anda boleh jamak sepanjang berada di KL dan Klang kerana menepati syarat jamak qasar yakni 3 hari 3 malam.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://maktabahalbakri.com/111-hari-masuk-dan-hari-keluar-dalam-isu-jamak-qasar/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply