Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar sebahagian pihak yang membezakan taubat pada perkara yang melibatkan sesama manusia dan taubat  pada perkara yang melibatkan Allah SWT. Boleh ustaz terangkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Imam Ibn Kathir berkata: “Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)

Taubat itu adalah wajib bagi apa jua kesalahan atau dosa yang telah dilakukan. Sememangnya terdapat perbezaan antara memohon keampunan dan taubat pada perkara yang melibatkan sesama manusia dan taubat pada perkara yang melibatkan hak Allah SWT.

Taubat pada Perkara yang Melibatkan Hak Allah SWT

Ibn al-Qayyim menyebutkan 3 syarat utama yang perlu untuk bertaubat dan memohon keampunan pada perkara yang melibatkan hak Allah SWT:

  • Menjauhkan diri dari kesalahan atau maksiat yang dilakukan tersebut. Dalam erti kata lain, meninggalkan perbuatan tersebut.
  • Melahirkan rasa penyesalan atas kesilapan lama yang pernah dilakukan.
  • Menanamkan tekad dan keazaman dalam diri untuk tidak mengulang semula perbuatan tersebut selepas dia tahu akan kesilapan yang dilakukan. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/299)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Imam Ibn Kathir mengatakan, taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina. Oleh yang demikian, para ulama menyebut bahawa taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Taubat pada Perkara yang Melibatkan Hak Sesama Manusia

Manakala, apabila seseorang itu ingin bertaubat dari dosa atau kesalahan yang telah dilakukan pada perkara yang melibatkan hak sesama manusia, Ibn al-Qayyim menambahkan satu lagi syarat yang khusus:

  • Mengeluarkan sesuatu sebagai tanda permohonan maaf kepada orang yang dizalimi tersebut, sama ada dengan membayar semula ganti rugi, atau meminta agar dihalalkan apa yang telah diambil selepas memberitahunya. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/299)

Imam Ibn Kathir juga menyebutkan ketika menafsirkan ayat ke 8 surah al-Tahrim di atas, jika dosa tersebut berkait dengan hak manusia, hendaklah dia kembalikan (hak) apa yang telah dia ambil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/61)

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ مَظْلِمَةٌ لِأَخِيهِ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهَا، فَإِنَّهُ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ، مِنْ قَبْلِ أَنْ يُؤْخَذَ لِأَخِيهِ مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ أَخِيهِ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang pernah menzalimi saudaranya, maka hendaklah dia memintanya (saudaranya itu) untuk menghalalkannya, kerana sesungguhnya di sana (pada Hari Kiamat kelak) tidak ada dinar mahupun dirham, sebelum diambil kebaikan-kebaikannya (pahala) untuk (diberikan kepada) saudaranya (yang dizalimi itu). Sekiranya tidak ada lagi kebaikan pada dirinya, maka akan diambil pula keburukan saudaranya (yang dizalimi itu), lalu dicampakkan ke atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (6534)

Kesimpulan

Natijah daripada penerangan ringkas kami di atas, terdapat 3 syarat bagi mereka yang ingin taubat pada perkara yang melibatkan hak Allah SWT, iaitu:

  • Meninggalkan perbuatan maksiat tersebut.
  • Melahirkan rasa penyesalan.
  • Tidak mengulang semula perbuatan tersebut.

Manakala bagi mereka yang ingin taubat pada perkara yang melibatkan hak sesama manusia pula, terdapat 4 syarat, iaitu:

  • Meninggalkan perbuatan maksiat tersebut.
  • Melahirkan rasa penyesalan.
  • Tidak mengulang semula perbuatan tersebut.
  • Memberikan semula ganti rugi.

Semoga Allah SWT menerima taubat kita semua atas kesilapan yang telah lalu, serta meneguhkan kita di atas jalan ketaqwaan kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply