Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah membuat pembiayaan peribadi secara Islamik daripada salah sebuah bank yang menawarkan perbankan Islam sebanyak RM60,000. Kemudian saya memberi pinjam wang tersebut kepada seorang sahabat untuk memulakan bisnes kuari pasir, dengan jumlah bayaran balik yang perlu dibayar kepada saya sebanyak RM4,000 sebulan selama 24 bulan. Adakah saya terlibat dalam riba bagi situasi diatas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, Pembiayaan Peribadi Islamik merupakan salah satu bentuk akad (kontrak) muamalat. Pada dasarnya, Pembiayaan Peribadi Islamik di Malaysia terbina atas kaedah Tawarruq atau al-‘Inah, meskipun tujuan asal pelanggan mengambil produk ini daripada pihak bank adalah untuk melakukan pinjaman wang sahaja. Terdapat kebarangkalian sesetengah pelanggan tidak memahami dengan baik kedua-dua konsep ini dengan baik semasa mengambil produk Pembiayaan Peribadi Islamik daripada mana-mana bank yang menawarkannya.

Al-‘Inah menurut bahasa Arab bermaksud hutang. Ia ditakrifkan oleh al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah sebagai pembelian barangan secara bayaran tangguh, kemudian menjualnya secara bayaran tunai kepada penjual tadi dengan harga lebih rendah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/147)

Dr Wahbah al-Zuhaili mendefinisikan jual beli dengan kaedah al-‘Inah sebagai suatu helah dalam jual beli untuk berhutang secara riba, dengan cara seseorang menjual aset dengan bayaran tangguh, kemudian membeli semula aset tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual secara bayaran tunai. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/467)

Manakala dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mentakrifkan Tawarruq menurut istilah sebagai pembelian barangan secara bayaran tangguh, kemudian menjualnya secara bayaran tunai kepada orang selain penjual tadi (orang ketiga) dengan harga lebih rendah daripada apa yang dibelinya; dengan tujuan mendapatkan tunai tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/147)

Berdasarkan takrifan di atas, kami menyimpulkan beberapa unsur asas yang terdapat di dalam urusniaga dengan kaedah Tawarruq ini:

  • Pembelian barangan secara bayaran tangguh.
  • Pembeli menjual semula barang yang dibeli kepada orang ketiga.
  • Penjualan barangan yang dibeli dengan harga yang lebih murah.
  • Pembeli berhasil mendapatkan wang secara tunai.

Hukum urusniaga dengan kaedah ini adalah dibenarkan oleh majoriti ulama’ termasuklah ulama Mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Syafi‘i menyebutkan di dalam kitabnya al-Umm bahawa jika seseorang membeli barang daripada orang lain dengan bayaran tangguh, maka tidak menjadi masalah baginya untuk menjual semula barang itu dengan harga yang lebih rendah atau tinggi, kepada orang lain. (Lihat al-Umm, 3/79)

Disebutkan juga di dalam Qararat al-Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang berlangsung di Makkah pada 11 Rejab 1419 Hijrah bersamaan 31 Oktober 1998 Masihi: “Jual beli Tawarruq ini dibolehkan menurut syara‘, dan inilah pandangan yang dipersetujui majoriti ulama‘. Hal ini kerana hukum asal jual beli adalah harus.” (Lihat Qararat al-Majma‘ al-Fiqh al-Islami, hlm. 320)

Kebiasaannya, setiap bank mempunyai terma dan syarat yang dikeluarkan lalu diberikan kepada pelanggan sebelum mereka meneruskan proses Pembiayaan Peribadi Islamik ini. Antara contoh yang boleh dilihat adalah terma dan syarat Kemudahan Pembiayaan dan Kegunaan Peribadi yang dikeluarkan oleh pihak Bank Islam dan mula dikuat kuasakan pada 5 Mei 2022. Terma dan syarat sepanjang 25 muka surat ini menerangkan secara terperinci tentang proses yang berlaku dalam Pembiayaan Peribadi Islamik, seperti pelantikan bank sebagai ejen belian, pelantikan bank sebagai ejen jualan, harga belian dan harga jualan, komoditi (barang yang dijual), keterhutangan, dan lain-lain.

Sighah akad dengan bank di Malaysia kebiasaannya berlaku dengan persetujuan secara bertulis. Pelanggan akan diminta untuk meneliti terlebih dahulu terma dan syarat yang ditetapkan untuk sebarang komoditi yang dilanggan, kemudian menandatangani persetujuan untuk meneruskan akad jika redha dengan terma dan syarat yang ditetapkan.

Manakala dalam hal akad kerjasama antara dua pihak atau lebih untuk melaksanakan suatu perniagaan dinamakan sebagai akad al-Syirkah (الشِرْكَةُ).

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa al-Syirkah ini adalah setiap hak yang tetap di antara dua individu atau lebih, di atas (akad) pemilikan bersama. (Lihat Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 4/275)

Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mentakrifkan al-Syirkah sebagai percampuran dua bahagian, dan akad (kontrak) ini mengakibatkan percampuran wang daripada dua pihak, sama ada percampuran secara hakikat atau secara hukmi, untuk membolehkan salah satu pihak menggunakan harta milik pihak yang lainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/20)

al-Syirkah merupakan suatu akad yang dibolehkan dalam islam, ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ

Maksudnya: “Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga.”

(Surah al-Nisa’: 12)

Diriwayatkan juga sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman:

أَنَا ثَالِثُ الشَّرِيكَيْنِ مَا لَمْ يَخُنْ أَحَدُهُمَا صَاحِبَهُ فَإِذَا خَانَ خَرَجْتُ مِنْ بَيْنِهِمَا

Maksudnya: “Aku adalah yang ketiga di antara dua orang yang berkerjasama selagimana salah seorang darinya tidak mengkhianati rakannya. Jika dia mengkhianati, maka aku akan keluar dari antara mereka berdua.”

Riwayat Abu Dawud (3383) dan al-Hakim (2322)

Para ulama’ menyebutkan empat jenis akad al-Syirkah:

  • Syirkah al-Abdan (شِرْكَةُ الأَبْدَانِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dalam usaha yang dilakukan oleh tubuh mereka.
  • Syirkah al-Mufawadhad (شِرْكَةُ المُفَاوَضَةِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dalam usaha yang dilakukan oleh tubuh dan harta mereka sendiri (bukan milik bersama), dan mereka bertanggungjawab atas apa-apa kerugian yang timbul.
  • Syirkah al-Wujuh (شِرْكَةُ الوُجُوهِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dengan orang lain yang memiliki pengaruh dan reputasi yang baik di mata masyarakat, kemudian mereka membeli sesuatu barangan dengan pembayaran secara tangguh atau tunai, lalu mereka menjualnya, dan keuntungan dibahagikan sesama dua pihak sahaja.
  • Syirkah al-‘Inan (شِرْكَةُ العِنَانِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dengan modal yang diketahui dan setiap rakan kongsi berhak untuk bertindak terhadap perkongsian tersebut. Pembahagian keuntungan ditentukan berdasarkan persetujuan manakala kerugian ditanggung berdasarkan kadar modal yang disumbangkan.

Al-Khatib al-Shirbini mengatakan bahawa Imam Abi Syuja‘ hanya berpada dengan menerangkan berkenaan Syirkah al-‘Inan kerana selainnya adalah batil disebabkan tidak berlakunya kerjasama yang jelas melibatkan harta kedua belah pihak. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/127)

Setiap akad yang berlaku pasti mempunyai rukun yang wajib bagi memastikan setiap kontrak yang dipersetujui adalah sah menurut syara‘. Syirkah al-‘Inan terdapat lima rukun yang asas:

  • Pertama dan kedua: Dua pihak yang melakukan akad, atau lebih.
  • Ketiga: Perkara yang diakadkan, seperti modal dan keuntungan.
  • Keempat: Perusahaan yang dilakukan.
  • Kelima: Lafaz akad. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/127)

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, jika pelaburan yang dilakukan dalam perniagaan rakan tersebut mencukupi kesemua syarat yang telah disebutkan, maka dibolehkan.

Kesimpulan

Sebagaimana yang diketahui, riba adalah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. (Lihat al-Riba wa al-Mu’amalat al-Ribawiyyah, hlm. 43)

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pembiayaan peribadi secara islamik adalah dibenarkan sekiranya menepati syara’ dan juga syarat-syarat akad. Manakala, dalam situasi dalam saudara memberi pinjam wang tersebut kepada seorang sahabat untuk memulakan bisnes kuari pasir, dengan jumlah bayaran balik yang perlu dibayar secara tetap kepada saudara sebanyak RM4,000 sebulan selama 24 bulan adalah termasuk dalam riba. Hal ini kerana tindakan saudara memberi modal kepadanya adalah dalam bentuk pinjaman yang meletakkan pulangan kepada saudara dengan jumlah yang lebih tinggi. Situasi ini merupakan Riba al-Fadl iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantitinya sedangkan kedua-duanya daripada jenis barang item yang sama.

Riba merupakan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Firman-Nya:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah sepakat tentang pengharaman riba namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya. Beliau berkata: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)

Manakala pandangan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau berkata: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Justeru, cadangan kami dalam hal ini supaya saudara menggunakan akad Syirkah al-‘Inan (شِرْكَةُ العِنَانِ) dengan rakan saudara itu seperti yang kami telah terangkan diatas, iaitu akad yang merupakan suatu kerjasama antara dua pihak dengan modal yang diketahui dan setiap rakan kongsi berhak untuk bertindak terhadap perkongsian tersebut. Pembahagian keuntungan ditentukan berdasarkan persetujuan manakala kerugian ditanggung berdasarkan kadar modal yang disumbangkan. Dalam hal ini, saudara hanya perlu meletakkan bayaran bulanan tersebut kepada rakan saudara itu dengan meletakkan bayaran secara peratus keuntungan seperti meletakkan bayaran bulanan kepada saudara dengan 50% daripada hasil keuntungan dan seumpamanya sebagaimana yang dipersetujui.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply