Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang menqadhakan solat sunat subuh. Saya sentiasa melazimi solat sunat subuh, pada satu ketika saya tidak sempat mendirikan solat sunat  subuh disebabkan bangun lambat. Adakah boleh saya menggantikkan balik solat sunat tersebut setelah terbit matahari ?Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat sunat yang paling dituntut antara solat-solat sunat rawatib yang lain adalah dua rakaat solat sunat fajar. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang melaziminya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith:

 Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

Maksudnya: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar.”

Riwayat al-Bukhari (1169)

Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”.

Riwayat Muslim (725)

Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan “وَمَا فِيهَا” adalah kesenangan dunia. Selain itu juga, antara surah atau ayat yang disunatkan untuk kita membaca ketika solat sunat al-Fajar adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Di dalam riwayat yang lain pula, disunatkan kita membaca ayat “قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا” [al-Baqarah:136] pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ” [ali-Imran:64]. Ini merupakan dalil bagi mazhab kami (al-Syafie) dan juga mazhab jumhur bahawa digalakkan membaca surah pada kedua rakaat selepas daripada surah al-Fatihah. Digalakkan juga untuk menjadikan dua surah atau ayat ini (sebagai bacaan selepas daripada al-Fatihah) kerana ia adalah sunnah. Adapun Imam Malik dan juga ashabnya mengatakan tidak dibaca di dalam solat sunat al-Fajar melainkan al-Fatihah sahaja. Begitu juga sebahagian salaf mengatakan tidak dibacakan sesuatu sebagaimana yang telah lalu. Akan tetapi keduanya adalah khilaf (percanggahan) bagi sunnah sahih yang tidak mempunyai tentangan padanya. [Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/6]

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Solat sunat subuh merupakan solat sunat yang amat dituntut dalam agama. Ini kerana sesiapa yang mendirikan solat sunat subuh akan dikurniakan ganjaran yang begitu besar seperti yang telah dinyatakan dalam hadith di atas. Oleh yang demikian kami katakan sesiapa yang terlepas melakukan solat sunat subuh maka dibolehkan baginya menggantikan semula selepas terbitnya matahari. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA pula meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.”

Riwayat al-Tirmizi (423)

Begitu juga apa yang  diriwayat oleh  Qais bin Amir  beliau menyatakan bahawa:

رَأَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلاةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَصَلاةَ الصُّبْحِ مَرَّتَيْنِ ؟ فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، فَصَلَّيْتُهُمَا . قَالَ: فَسَكَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Nabi SAW melihat seorang lelaki yang solat dua rakaat selepas solat Subuh. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau solat Subuh sebanyak dua kali?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak sempat solat sunat sebelum solat Subuh, maka aku menggantikannya.” Maka Nabi SAW pun diam.

Riwayat Abu Daud (1267) dan Ibn Majah (1209)

Dapat difahami melalui hadith ini bahawa sesiapa yang tidak melakukan solat sunat subuh disebabkan lupa atau tidak sempat mendirikannya maka dia boleh menqadhakan solat sunat tersebut baik selepas menunaikan solat fardhu subuh atau selepas terbitnya matahari.

Telah dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah bahawa: Adapun solat sunat Subuh, ia boleh diqadha sehingga tergekincirnya mathari mengikut pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf. Ia boleh dilakukan  sama ada seseorang itu telah mengqadakan solat fardhu secara berjemaah atau sendirian. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah,34/37)

Dalam isu ini telah dinyatakan dalam Masail Imam Ahmad bahawa: Barangsiapa yang terlepas dua rakaat solat Subuh, dia boleh mengqadakannya selepas terbitnya matahari. (Lihat Masail Imam Ahmad: 1/435)

Dalam isu ini juga syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: “Bagi seseorang yang terlepas Solat Sunat Subuh, dia diharuskan untuk menunaikannya selepas itu. Jika dia menunaikannya setelah matahari terbit dan naik, itu adalah yang lebih baik, kerana ini berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa Nabi ﷺ memerintahkan demikian. Namun, jika dia menunaikannya setelah Solat Subuh berjemaah, itu juga diizinkan baginya.[1]

Sebagai kesimpulannya, dibolehkan untuk mengqadha solat sunat subuh selepas terbitnya matahari. Walaubagaimanapun, adalah lebih baik dan dianjurkan untuk menunaikannya bersama dengan solat fardhu. Oleh yang demikian, qadha solat ini  bagi memastikan  seseorang tidak terlepas daripada amalan sunat ini dan juga mendapatkan pahala yang telah dijanjikan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua’lam

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/8082/% -Diakses pada 12 Oktober 2023

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply