Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah hidung merupakan anggota sujud?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian sujud pada syara’ ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan dengan tempat sujudnya. Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ianya sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan ianya juga adalah ijmak para ulama’.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang)

(Surah al-Haj: 77) 

Dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari, telah masuk ke dalam masjid seorang lelaki dan kemudiannya telah solat namun telah ditegur oleh Nabi SAW bahawa solatnya tidak sah dan Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi solatnya. Ianya berlarutan sehingga Nabi SAW menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta  Nabi SAW untuk mengajarnya solat. Sabda Nabi SAW di dalam sebahagian hadith tersebut:

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…”

Riwayat Al-Bukhari (6667)

Syarat Sujud

Antara syarat sah sujud adalah dengan menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah serta melakukan sujud dengan tujuh anggota badan, iaitu, dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ، وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Bagaimanapun tidak wajib mendedahkan semua anggota tersebut kecuali dahi.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam syarahnya: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.” Beliau menyebut lagi, ”Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadith menyebutkan 7 anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208)

Berdasarkan dengan hadith riwayat Abu Humaid RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَجَدَ أَمْكَنَ أَنْفَهُ وَجَبْهَتَهُ مِنَ الأَرْضِ، وَنَحَّى يَدَيْهِ عَنْ جَنْبَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bila bersujud, baginda akan sentuhkan hidungnya dan dahinya dengan tanah dan baginda menjauhkan kedua-dua belah tangan daripada dua rusuknya dan meletakkan kedua-dua belah tapak tangan selari dengan dua bahunya.”

Riwayat al-Tirmizi (270). Hadith ini mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim menurut pengarang kitab Irwa’ al-Ghalil (2/16)  

Imam al-Tirmizi setelah meriwayatkan hadith ini menyebut,”Dalam bab ini diriwiyatkan juga daripada Ibn Abbas R.anhuma, Wail bin Hujr RA, Abu Sa’id RA. Hadith Abu Humaid ini merupakan hadith Hasan Sahih. Ahli ilmu mengatakan, seseorang mesti sujud dahi bersama dengan hidung, tetapi sekiranya dia sujud tanpa mengenakan hidung, maka sujudnya sah.” sebahagian ahli ilmu pula mengatakan, tidak sah kecuali dia sujud bersama dahi dan hidung.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/59)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahnya menyebutkan ,”Jumhur mengatakan bahawa wajib sujud dengan dahi tanpa disekalikan dengan hidung.”(Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/125)

Terdapat juga hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW tidak menyebutkan anggota hidung di dalam sujud, antaranya riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ، وَلاَ يَكُفَّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا: الجَبْهَةِ، وَاليَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَالرِّجْلَيْنِ

Maksud: “Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta tidak menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud): Dahi, dua tangan, dua lutut, dan dua kaki.”

Riwayat al-Bukhari (809)

Di dalam hadith ini, tidak disebutkan anggota hidung, terdapat juga  hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْجُدُ بِأَعْلَى جَبْهَتِهِ عَلَى قِصَاصِ الشَّعْرِ

Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah SAW sujud ditempat paling tinggi di dahinya atas hujung rambutnya.

Riwayat al-Tayalidi (1900), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (432), dan al-Daraqutni (1320). Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir (1/409) menyatakan bahawa dalam sanadnya terdapat Abdul Aziz bin Ubaidillah dan dia tidak kuat (ليس بقوي) dan disokong oleh al-Daraqutni.

Syeikh ‘Ubaidillah bin Muhammad Abd al-Salam al-Mubarakfuri menukilkan riwayat daripada Tamam di dalam fawaidnya dan selainnya: “Apabila baginda sujud di bahagian atas pada dahi, maka hidung baginda tidak terkena pada tempat sujud.” (Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/205)

Syaikh Atiyah Saqr berkata: “Pandangan ulama’ al-Syafieyah dalam masalah ini terbahagi kepada dua. Pandangan yang zahir di sisi al-Rafie ialah tidak wajib untuk sujud melainkan hanya dahi sahaja. Pandangan yang zahir di sisi al-Nawawi adalah wajib (kesemua tujuh anggota)” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 9/84)

Imam al-Nawawi menukilkan perbezaan pandangan ini dalam kalangan ulama’ Syafi’iyah berkaitan adakah wajib meletakkan tangan, kaki dan lutut ketika sujud, katanya: “Adapun hukum berkaitan masalah pada menyatakan kewajiban meletakkan kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki terdapat dua pandangan yang masyhur seperti yang telah dinaskan dalam al-Umm.  Syaikh Abu Hamid telah berkata, dan telah dinaskan dalam al-Imla’ bahawa hukum meletakkannya adalah mustahab dan bukan wajib. Para ulama’ al-Syafi’iyyah telah berbeza pandangan dalam menentukan yang manakah lebih sahih di antara dua pandangan ini. Al Qadhi Abu al-Tayyib berkata: Zahir daripada perkataan Imam al-Syafie bahawa tidak wajib untuk meletakkannya ketika sujud. Ini merupakan pandangan majoriti ulama’.  Al-Baghawi berkata, ini merupakan pandangan yang lebih masyhur. Pandangan ini disahihkan oleh al-Jurjani dalam al-Tahrir, al-Ruyani dan al-Rafie” (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/427)

Beliau kemudian menukilkan pula pandangan yang mengatakan wajib. “Sekumpulan ulama’ mensahihkan pandangan yang mengatakan wajib. Antaranya adalah al-Bandaniji, pemilik al-Uddah dan Syaikh Nasr al-Maqdisi. Demikian juga diputuskan oleh Syeikh Abu Hamid dalam al-Tabsirah. Pandangan ini merupakan pandangan yang lebih benar dan lebih rajih dari sudut dalil. Sesungguhnya hadith yang membicarakan permasalahan ini secara jelas memerintahkan meletakkan anggota-anggota tersebut. Suruhan dalam hadith tersebut adalah suruhan yang wajib mengikut pandangan yang dipilih” (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/427)

Justeru, kami simpulkan bahawa kebanyakan para ‘ulama mengatakan yang wajib dalam anggota sujud adalah dahi, manakala hidung pula merupakan anggota sujud yang sunat, tanpa kami nafikan pandangan sebahagian ulama’ yang mengatakan kedua-duanya merupakan anggota sujud yang wajib. Namun berdasarkan hujah yang kami kemukakan, kami lebih cenderung mengatakan bahawa anggota yang wajib adalah dahi di samping sunat untuk meletakkan hidung bersama dahi ketika bersujud. Ini juga merupakan pandangan yang utama dalam mazhab al-Syafie.

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan nas dan hujah yang dinyatakan, kami tegaskan bahawa hukum sesiapa yang solat dengan bersujud mengenakan dahi tanpa hidung, sah solatnya. Namun adalah lebih baik dia melalukan perbuatan yang sunat yang memberikan pahala kepadanya iaitu dengan meletakkan hidungnya bersama dahi ketika sujud di samping mengamalkan sunnah Nabi SAW, kerana kebanyakan riwayat menyebut bahawa sujud Nabi SAW adalah dengan meletakkan dahi bersama hidung di dalam sujud baginda.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply