Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, sahkah mandi wajib kalau luka itu berdarah ketika dalam mandi? Plaster ditukar dua hari sekali. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Begitu juga, Al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 222).

Secara umumnya, mandi wajib adalah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Sementara itu pula berkenaan darah, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang mandi wajib hendaklah menghilangkan najis dan apa-apa benda yang ada di badannya yang boleh menghalang air sekiranya ada. Kemudiannya, dia meratakan air ke seluruh badan dengan disertakan niat mengangkat hadas besar. Apabila seseorang itu melaksanakan syarat fardhu mandi wajib maka mandi wajibnya dikira sah.

Adapun berkenaan luka yang berdarah hendaklah dilihat. Jika jumlahnya sedikit, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan tidak menjejaskan kesahan mandi wajib itu. Apatah lagi terdapat kesukaran untuk mengelakkannya. Kebiasaannya jika kuantiti darah itu sedikit ia akan dapat dihilangkan melalui basuhan ketika mandi wajib tersebut dan selepas itu barulah ia akan keluar. Jika sedikit kuantiti darah itu, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan, bahkan sah solat dengannya.

Ini adalah sebagaimana kenyataan Imam Nawawi bahawa apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat perselisihan ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/135).

Begitu juga jika jumlahnya banyak, maka ia termasuk dalam darurat. Kaedah fiqh menyebutkan:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Keadaan darurat (terdesak) boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Qawaid wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah al-Mutadhamminah li al-Taisir, 1/287).

Maka, mandi wajibnya juga dikira sah. Caranya adalah, selepas dia mandi wajib atau berwuduk, dia hendaklah membalut semula tempat lukanya itu sama ada dengan kain, plaster atau seumpamanya bagi menahan darah dari keluar. Kemudian, jika darah tetap keluar tetapi tertahan dengan balutan tersebut sekalipun banyak sehingga jelas kelihatan warna merah darah pada balutan itu, maka ia adalah tidak mengapa.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Bakri al-Dimyati bahawa darah bisul, luka, jerawat, tempat-tempat fasdu (flebotomi) dan bekam selepas ditutup atau ditampal dengan kapas misalnya, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti darah yang banyak sebagaimana ia dimaafkan pada kuantiti yang sedikit, sekalipun ia tersebar disebabkan berbekam selagimana bukan daripada hasil perbuatannya sendiri dan tidak melampaui tempatnya (yakni tidak terkena tempat lain). Sekiranya tidak, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti yang sedikit. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/120).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply