Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang suami yang kematian isteri. Sekiranya saya berkahwin baru, bagaimanakah status hubungan kekeluargaan saya dengan keluarga/adik beradik arwah isteri? Adakah putus hubungan tersebut? Terima kasih saya dahulukan atas jawaban kepada persoalan saya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Ibn Kathir berkata: “Ayat al-Quran yang ini adalah ayat tentang larangan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan, perhubungan susuan, dan perkahwinan. Ibnu Abi Hatim mengatakan bahawa diriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Abbas, katanya: “Tujuh hubungan diharamkan atas kamu de, dan tujuh perkahwinan susuan juga diharamkan atas kamu,” dan dia membaca ayat: “(Diharamkan atas kamu) ibu-ibu kamu dan anak-anak perempuan kamu dan saudara perempuan kamu” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/216)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam menghuraikan siapakah “saudara-saudara perempuan kamu”  dalam ayat di atas: “Dan saudara perempuan kamu (yang diharamkan atas kamu berkahwin dengannya) adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.”(Lihat Raudhah al-Talibin, 7/108)

Imam al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’i yang menyebut: “Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan.” Kemudian Imam al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya: Wanita yang mahram itu ada dua kategori berikut:

  • Pertama: Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Bahagian ini ada dua kategori pula iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan).
  • Kedua: Bahagian yang haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/196)

Dalam kitab Nihayah al-Matlab pula dijelaskan: Mahram adalah orang yang haram dikahwini dan diharamkan melakukan hubungan persetubuhan badan dengannya. Para ulama menjelaskan perkahwinan adalah akad yang menghalalkan persetubuhan, sekiranya individu yang mempunyai hubungan mahram dengan orang lain maka diharamkan berkahwin dengannya. Demikian juga diharamkan melakukan persetubuhan dengannya. Mahram terjadi melalui sebab pertalian darah, penyusuan dan persemendaan. Antara golongan yang diharamkan berkahwin dengan sebab pertalian darah ialah ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dan anak saudara perempuan. (Lihat Nihayah al-Matlab, 12/222)

Dalam hal ini, sekiranya seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan, maka seluruh adik beradik perempuan bagi isterinya itu, sama ada adik ipar atau kakak perempuan, adalah bukan mahram bagi lelaki tersebut. Ini membawa maksud, kakak ipar atau adik ipar perempuan adalah wanita-wanita yang termasuk dalam kategori haram (untuk dikahwini) secara muaqqat (berwaktu). Dalam makna lain, mereka ini hanyalah haram untuk dikahwini kerana larangan yang terdapat di dalam firman Allah SWT:

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

Maksudnya: “Dan (janganlah) kamu menghimpunkan antara dua beradik perempuan (dalam tempoh perkahwinan yang sama).”

(Surah al-Nisa’: 23)

Maka sekiranya isteri yang dikahwini tersebut meninggal dunia, maka adik beradik perempuannya tidak haram untuk beliau nikahi. Inilah yang disebutkan sebagai haram muaqqat (berwaktu).

Demikian juga keadaannya dengan seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki. Maka seluruh adik beradik lelaki bagi suaminya itu sama ada abang ipar atau adik iparnya adalah haram muaqqat (sementara) bagi dirinya untuk dikahwini. Antara golongan yang termasuk dalam kategori ini selain dari adik beradik lelaki bagi suami atau adik beradik perempuan bagi isteri adalah bapa saudara suami atau ibu saudara isteri, sama ada dari sebelah ayah atau ibu mereka. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya: “Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).”

Riwayat al-Nasa’i (3288)

Manakala bagi ibu mertua pula, apabila seorang lelaki bercerai daripada isterinya sama ada bercerai hidup atau bercerai mati, hubungan mahram dengan ibu mertuanya tidak hilang dan terus menjadi mahram secara mu’abbad. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-23 bahawa wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu isteri kamu”

(Surah al-Nisa’: 23)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Dan pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/31-32)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hubungan mahram yang kekal setelah perceraian dengan isteri, atau kematian isteri adalah ibu mertua dan juga bapa mertua sahaja. Adapun ahli keluarganya yang lain adalah kekal sebagai bukan mahramnya dan dia boleh berkahwin dengan adik perempuannya, anak saudaranya dan juga ibu saudaranya apabila dia bercerai dengan isterinya atau kematian isterinya. Hal ini kerana golongan ini adalah kekal sebagai bukan mahram kerana mereka ini hanya menjadi mahram muaqqat, iaitu yang haram dikahwini buat sementara waktu.

Justeru, sekiranya saudara berkahwin baru, status hubungan kekeluargaan saudara dengan keluarga dan adik beradik arwah isteri yang sebelum ini adalah kekal sebagai bukan mahram melainkan hubungan ibu dan bapa arwah isteri saudara sahaja. Ibu bapanya adalah kekal sebagai mahram muaabad bagi saudara disebabkan oleh musaharah, iaitu perkahwinan saudara dengan arwah isteri saudara.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply