Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah terdapat dalil untuk membalikkan selendang ketika istisqa’ semasa imam berdoa selepas khutbah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan istisqa’. Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).
Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585).
Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, sebaik-baiknya (adfhalnya) ia dilakukan dengan solat dua rakaat seperti mana solat hari raya dari segi waktunya, tempatnya, takbirnya dan bacaannya. Kemudian, Imam berkhutbah selepas solat tersebut dengan satu khutbah; (sebagaimana) khutbah solat hari raya dengan dimulakan dengan takbir, memperbanyakkan beristighfar, selawat dan salam ke atas Nabi SAW dan kemudiannya berdoa dengan doa yang mathur di dalamnya.
Sebahagian ulama menyatakan, terdapat tiga jenis istisqa’:
Pertama: Solat didirikan secara berjemaah atau secara bersendirian berdasarkan sifat-sifat tertentu yang disyariatkan , dan inilah yang paling sempurna (paling baik).
Kedua: Imam memohon hujan pada hari Jumaat dalam khutbahnya; sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga kerana padanya terdapat satu waktu yang diharapkan padanya doa dimakbulkan. Inilah kategori yang disunatkan (mustahab) secara ijma‘ dan yang menjadi amalan kaum Muslimin.
Ketiga: Doa kaum Muslimin seusai mendirikan solat-solat mereka dan begitu juga ketika mereka sedang bersendirian. Tidak ada khilaf berkenaan keharusan memohon hujan dengan doa tanpa didahulukan dengan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).
Seterusnya, berkenaan hukumnya pula Ibn ‘Abd al-Barr ada menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini. (Lihat al-Tamhid, 17/172).
Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, solat istisqa’ ketika adanya sebab untuk melakukannya adalah sunat muakkad dengan ijma‘ ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/77).
Dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapatnya beberapa dalil yang menunjukkan kepada disunatkan untuk membalikkan pakaian atau selendang ketika berdoa istisqa’. Di antaranya, riwayat daripada Abdullah bin Zaid bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ إِلَى الـمُصَلَّى فَاسْتَسْقَى فَاسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ، وَقَلَبَ رِدَاءَهُ، وَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Nabi SAW keluar menuju ke tempat solat untuk mendirikan solat istisqa’ (memohon hujan). Kemudian, Baginda menghadap ke arah kiblat dan membalikkan selendangnya serta mendirikan solat dua rakaat.”
Riwayat al-Bukhari (1012)
Dalam riwayat lain datang dengan lafaz:
خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَسْقِي، فَتَوَجَّهَ إِلَى القِبْلَةِ يَدْعُو وَحَوَّلَ رِدَاءَهُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ جَهَرَ فِيهِمَا بِالقِرَاءَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW keluar untuk memohon hujan. Lalu Baginda menghadap ke arah kiblat, berdoa dan mengalihkan kedudukan selendangnya. Kemudian, Baginda menunaikan solat dua rakaat dengan menguatkan bacaan dalam kedua dua rakaat.”
Riwayat al-Bukhari (1024)
Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, lafaz “حوَّل رداءه” dan “قلب رداءه” adalah pendapat yang dipegang oleh Imam Malik dan kebanyakan ulama bahawa dia membalik pakaian yang ada di sebelah kanannya ke sebelah kirinya, seperti yang disebutkan dalam hadith, dan bukannya dengan cara membalikkannya atau mengubah posisi atas menjadi bawah, dan dia tidak mengubah apa yang ada di atas tanah menjadi di atas kepalanya atau (sebaliknya) iaitu apa yang ada di atas kepalanya ke tanah, seperti yang dinyatakan oleh Imam Syafi‘i di Mesir. Imam al-Syafi‘i ketika di Iraq berpendapat sebagaimana pendapat sekelompok ulama (seperti pendapat Imam Malik).
Sebahagian ulama telah salah faham dan menyatakan pendapat ketiga, iaitu mengubah bahagian yang belakang (tertutup) menghadap ke langit. Namun, bukanlah begitu yang dimaksudkan. Sebaliknya maksudnya adalah sebagaimana pendapat pertama yang dipegang oleh majoriti jumhur ulama. Hal ini kerana tidak masuk akal jika dia akan mengubah yang berada di sebelah kanannya ke sebelah kirinya atau membaliknya dengan cara membuat yang di atas menjadi yang di bawahnya, kecuali dia mengubah bahagian yang belakang (tertutup) menghadap ke langit. Selain itu juga kerana lafaz “حَوَّل” dan “قلب” menunjukkan kepada maksud ini. Jika hal itu adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Syafi‘i benar, maka dikatakan: “membalikkan” “memusingkan”.
Oleh yang demikian, mengubah posisinya (selendang dan seumpamanya) adalah disunatkan sebagaimana dinyatakan oleh jumhur ulama. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim, 3/314).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445