Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah seorang perempuan solat dengan jubahnya tanpa seluar atau kain bawahnya

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan Dari Ummu Salamah R.Anha, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ عَلَيْهَا إِزَارٌ؟ قَالَ: إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

Maksudnya: “Adakah seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai jubah wanita dan tudung kepala sahaja, tetapi tidak memakai kain sarung?” Baginda SAW menjawab: “Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua kakinya.”

Riwayat Abu Dawud (640)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “ دِرْعٍ  bermaksud jubah wanita, manakala إِزَارٌ bermaksud kain dijahit dengan separuh daripada bawah badan bagi lelaki dan juga perempuan” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/12)

Al-Khattabi menyebutkan: “Khabar daripada hadith ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari tubuh badannya”. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/180)

Disebutkan di dalam kitab al-Majmu’ karangan Imam al-Nawawi bahawa menutup aurat di dalam solat sama ada lelaki dan perempuan adalah wajib dengan ijma’ sama ada solat di hadapan hadirin dan solat secara sendirian pada satu pendapat yang sahih.

Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”

Riwayat al-Tirmizi (277) dan beliau mengatakannya sebagai hadith hasan.

Hadith ini menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika solat. Imam al-Nawawi berkata: “Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit yang terdedah itu. Jika seseorang itu solat dengan suatu penutup (auratnya), kemudian selepas senggang (daripada solat) dia mengetahui bahawa terdapat kesan koyak yang jelas menampakkan aurat, maka ketika itu wajib baginya mengulangi solat itu mengikut mazhab (al-Syafie) sama ada dia tahu atau terlupa atau dia belum tahu. Jika terdapat kemungkinan (ihtimal) bahawa berlakunya koyak itu selepas senggang daripada solat maka tidak perlu i`adah (mengulang solat) tanpa khilaf, sama kes dengan hukum najis. “ (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 3/166)

Menjawab persoalan di atas, seorang wanita yang solat dengan memakai jubah sehingga menutup kakinya, dan menutup kepalanya beserta dengan rambut dan anak rambutnya, maka dia telah menutup auratnya ketika solat, maka apabila dia solat, sah solatnya walaupun tanpa memakai kain bawah (Izar) atau kain dalam jubah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply