Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah kita ingin mengira satu susuan itu telah lengkap?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang warid daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ.‏ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Ayat al-Quran yang turun adalah sepuluh kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram. Kemudian ia dimansukhkan dengan lima kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah SAW wafat, ayat tersebut (tentang lima kali susuan yang tertentu) masih dibaca sebagai ayat al-Quran.”

Riwayat Muslim (1452)

Hadith di atas merupakan hujjah yang digunakan oleh fuqaha’ al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah yang mengatakan bahawa susuan yang boleh menjadikan anak susuan itu mahram mestilah sebanyak 5 kali susuan secara berasingan yang mengenyangkan.

Persoalannya adalah, bagaimana kita ingin mengetahui bahawa susuan itu dikira telah lengkap satu susuan atau tidak?

Menurut Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi: Semata-mata meminum susu itu sahaja, tidak kira sedikit atau banyak, sudah cukup dikira sebagai satu susuan. (Lihat Matn al-Risalah, hlm. 98; Ikhtilaf al-Ulama’, 2/314; Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-Syara’i‘, 4/7)

Mereka berhujjah dengan lafaz umum dalil syara‘ sepertimana dalam firman Allah SWT:

وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِيٓ أَرۡضَعۡنَكُمۡ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Ini juga sebagaimana yang datang dalam riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku, apa yang diharamkan oleh disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Menurut Mazhab Syafi‘i dan Mazhab Hanbali: Susuan itu tidak akan dikira  sebagai satu susuan sehinggalah sempurna satu kali waktu menyusunya, sepertimana sempurnanya sekali waktu makan atau sempurnya sekali waktu minum. Jika bayi tersebut memalingkan kepalanya kerana ingin mengambil nafas, atau berpindah kepada payudara yang lagi satu, maka ia tidak dikira sebagai satu susuan. (Lihat Taudhih al-Ahkam Syarh Bulugh al-Maram, 6/16)

Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan, jika ditanya tentang sekali susuan yang dikira itu, iaitu ketika bayi membedung payudara dan menyedut darinya, kemudian dia melepaskan payudara tersebut atas pilihannya tanpa ada yang mengganggunya seperti ingin mengambil nafas atau berpindah ke payudara lainnya, maka barulah dikira sekali susuan. Hal ini kerana nas syara‘ datang tanpa penerangan, maka ia perlu dilihat kepada adat kebiasaan. Dan kebiasaannya, bayi kenyang akan buat begini. Adapun jika bayi itu melepaskan payudara kerana ada yang mengganggunya seperti ingin mengambil nafas atau berehat seketika, lalu dalam waktu yang singkat dia sambung menyusu semula, maka ia masih belum dikira satu susuan lengkap sehinggalah dia melepaskan payudara kerana kenyang. (Lihat Jami‘ al-Fiqh, 6/196)

Beginilah serba sedikit perincian mengenai kiraan satu susuan yang lebih tepat menurut fuqaha’, iaitu dengan susuan yang mengenyangkan pada satu masa.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan seharian mengikut syari‘at Allah SWT yang telah ditetapkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply