Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum isteri amik ubat lambatkan haid sebab meraikan suami balik dari offshore/ weekend husband. Mohon penjelasan Dato.’

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, terdapat dua cara untuk menangguhkan haid dengan menggunakan kaedah hormon, iaitu:

  • Pertama, dengan mengambil pil kombinasi progesteron dan estrogen.
  • Kedua, dengan mengambil pil yang disebut sebagai pil perancang kehamilan gabungan combine oral contraceptives atau mengamalkan pil yang mengandungi progesteron sahaja.

Dalam kitaran haid yang normal, terdapat dua jenis hormon wanita yang penting iaitu estrogen dan progesteron. Progesteron ialah hormon yang terhasil selepas ovulasi berlaku pada hari ke-14 haid. Paras progesteron akan memuncak tinggi dan terus berada pada paras yang tinggi jika berlaku persenyawaan dan implantasi (penempelan) embrio pada dinding rahim.

Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, maka paras hormon progesteron akan turun dan dinding rahim akan meluruh dan keluar sebagai darah haid. Dengan mempunyai pengetahuan berdasarkan kitaran haid ini, hari seseorang wanita sepatutnya didatangi haid boleh diperlambatkan dengan mengawal atur paras hormon di dalam badan.

Sekiranya berhasrat untuk menggunakan Pil Perancang Kehamilan Gabungan (COCP), dan bagi wanita yang mengamalkan pil perancang keluarga sebagai langkah mencegah kehamilan, maka pengambilannya boleh diteruskan secara terus menerus (continuous). Ia dengan maksud, selepas habis pil 21 biji atau 24 biji itu, maka diteruskan dengan paket yang baharu tanpa mengambil sebarang ‘cuti rehat selama 7 hari atau 4 hari’.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini secara lebih terperinci:

#1187: Mengambil Pil Penahan Haid Ketika Puasa[1]

Kesimpulan

Justeru itu, menjawab persoalan di atas, secara ringkasnya kami nyatakan hukum mengambil pil pencegah haid adalah harus kerana kembali kepada hukum asal yakni harus. Kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”  (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 60)

Namun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

 Riwayat Ibn Majah (2341)

Walau bagaimanapun, kami berpendapat mengikut sunnatullah dengan tidak mengambil pil dan mengikut sifat kejadian semula jadinya dari segi kitaran haid adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/1187-mengambil-pil-penahan-haid-ketika-puasa/

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply