Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan yang ada terkait dengan mahram. Jika lelaki dan wanita boleh menjadi mahram dengan susuan, adakah mereka juga boleh menjadi mahram dengan memindahkan darah sesama sendiri?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pemindahan Darah

Pemindahan darah atau disebutkan sebagai transfusi darah, menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah pemasukan darah ke dalam badan orang yang kekurangan darah. Pada amnya, ia merupakan proses penerimaan produk darah ke dalam sistem peredaran seseorang melalui dalam vena. Tranfusi juga digunakan untuk pelbagai keadaan perubatan untuk menggantikan komponen darah yang hilang.[1]

Terdapat beberapa jenis transfusi darah yang biasa dilakukan bergantung kepada keperluan dan fungsi, antaranya:

  • Darah Penuh (Whole Blood)
  • Sel Darah Merah (Packed Red Cells)
  • Platelet
  • Plasma
  • Cryo-AHF (Cryoprecipitated Anti Haemolytic Factor)[2]

Perpindahan Darah Menjadikan Seseorang Itu Mahram?

Sebelum menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa transfusi darah ini dapat dilakukan dengan wujudnya amalan menderma darah. Ia amatlah digalakkan kerana dapat memberi bantuan kepada pesakit yang memerlukan dalam keadaan terdesak. Ini selaras dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Syeikh al-Maraghi berkata, manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu ataupun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kekeliruan ini timbul kerana susu ibu itu berasal dari darah, maka adakah hukumnya sama seperti hukum susu ibu yang disusukan kepada orang lain?

Ahli al-Lajnah al-Da’imah lil al-Ifta’ pernah ditanya mengenai transfusi darah yang berlaku dari lelaki kepada wanita, atau sebaliknya, adakah ianya menjadikan mereka mahram sebagaimana susuan, dengan alasan bahawa kedua-dua darah dan susu terdapat zat-zat makanan?

Mereka menjawab: “Perpindahan darah yang berlaku dari seseorang kepada yang lain tidak dinamakan sebagai susuan, sama ada dari segi bahasa, istilah, atau uruf. Oleh yang demikian, transfusi ini tidak mengambil apa pun hukum susuan dari segi menjadi mahram dan selainnya.

Jika ada yang berjustifikasi bahawa susu itu juga berasal dari darah, maka wajar diberi hukum yang sama. Kami katakan, qias ini tidak diterima kerana darah berubah menjadi susu dengan proses istihalah[3], dan berubahnya darah itu menjadi susu dengan izin Allah, maka hukum itu hanya khusus untuk susu sahaja dan tidak pada darah. Susuan juga bukanlah suatu perkara  yang boleh berlaku ijtihad padanya kerana ia merupakan suatu yang telah ditetapkan kadarnya oleh syara‘, maka seperti perkara ta‘abbudi. Asal bagi susu itu juga tidaklah ditetapkan sebarang hukum ke atasnya sehinggalah datang nas tentang mahram ini, maka perlu berpada dengan mengikut nas syara‘ dalam masalah ini. Susuan juga perlu mencukupi kesemua syarat; iaitu susu itu mesti susu dari payudara seorang wanita yang terhasil kerana kehamilan, dan cukup bilangan susuan sebanyak 5 kali dalam tempoh 2 tahun.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 21/146)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam juga menukilkan fatwa al-Lajnah al-Da’imah lil al-Ifta’ yang lain, mereka mengatakan bahawa mengambil darah dari lelaki kepada wanita, dan menyuntikkan darah tersebut kepada wanita tersebut, ia tidaklah menjadikan mereka mahram meskipun darah tersebut banyak, sebagaimana mereka menjadi mahram dengan susuan. Maka mereka boleh untuk mengahwini antara satu sama lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/16)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ulama’ yang dibawakan di atas, kami katakan bahawa perpindahan darah atau transfusi darah tidak menyebabkan seseorang itu menjadi mahram, kerana sebab-sebab yang berikut:

  • Hukum menjadi mahram dengan susuan adalah berdasarkan nas yang khusus dalam syara‘.
  • Jika transfusi darah menjadikan seseorang mahram, nescaya boleh berlakunya kecelaruan nasab kerana ramai pesakit di hospital yang melalui proses ini berdasar keperluan mereka.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan seharian mengikut syari‘at Allah SWT yang telah ditetapkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Transfusi_darah#:~:text=Transfusi%20darah%20pada%20amnya%20merupakan,menggantikan%20komponen%20darah%20yang%20hilang.. Disemak pada 17 oktober 2023.

[2] Lihat https://hellosehat.com/kelainan-darah/transfusi-darah/. Diakses pada 17 Oktober 2023.

[3]  ia merupakan satu tindak balas kimia yang berlaku terhadap sesuatu bahan yang menyebabkannya bertukar menjadi bahan yang lain. Contohnya minyak atau lemak haiwan yang bertukar menjadi sabun selepas berlaku satu tindakbalas kimia terhadap minyak atau lemak tersebut. (Lihat al-Mawad al-Muharramah wa al-Najisah fi al-Ghiza’, hlm. 8)

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply