Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah boleh mengambil dan memakan makanan yang dijumpai di tengah jalan. Mohon penjelasan.  Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Luqatah mengikut syara’ adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak diketahui hak miliknya”. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 7/69).

Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ

Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun.”

(Surah al-Qasas: 8)

Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Ibnu Qudamah yang menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).

Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏”‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa makanan yang dijumpai di tengah jalan boleh untuk diambil sekiranya tidak mengatahu pemiliknya. Ini kerana makanan tidak dikira sebagai harta yang bernilai yang diwajibkan ke atas individu yang menjumpainya mengiklankannya. Yang demikian sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas  R.A bahawa beliau berkata: : Nabi SAW mendapati sebiji kurma di jalan, maka Baginda bersabda:

لَوْلاَ أَنِّي أَخَافُ أَنْ تَكُونَ مِنَ الصَّدَقَةِ لَأَكَلْتُهَا

Maksudnya: Seandainya aku tidak bimbang bahawa ia adalah kurma sedekah, nescaya aku akan memakannya

Riwayat Bukhari(2431)

Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah seperti berikut:

  • Dalam hadis ini menunjukkan bahawa harta yang sedikit yang terjatuh adalah milik orang yang menemukannya, dan tidak perlu untuk mengumumkannya jika pemiliknya tidak diketahui. Sekiranya pemiliknya diketahui dan masih ada, maka harta tersebut harus dikembalikan kepadanya. Tetapi jika pemiliknya sudah tiada, maka tidak wajib mengembalikan apa-apa sebagai gantinya.
  • Hadith ini juga menunjukkan kerendahan hati Nabi Muhammad SAW, meskipun beliau memiliki keagungan dan kedudukan yang tinggi, beliau tidak meremehkan untuk menerima sedikit makanan dengan mengambil serta memakannya, kerana itu adalah satu dari nikmat-nikmat Allah Yang Maha Tinggi.
  • Zakat diharamkan ke atas Nabi dan ahli keluarga Baginda daripada Bani Hasyim sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada ِAbdul Mutalib Bin Rabi’ah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الصدَقَةَ لا تَنبغِي لآلِ مُحمدٍ، وإنَّما هِيَ أوْساخُ النّاسِ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah tidak dihalalkan oleh keluarga Muhammad dan sesungguhnya ia merupakan kotoran-kotoran manusia.

Riwayat Muslim (1072)

(Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/135)

Dalam isu ini Ibn Qudamah menyatakan bahawa: Kami tidak mengetahui perbezaan pendapat di antara ulama mengenai kebolehan mengambil dan menggunakan harta yang sedikit. Hal yang demikian  telah diriwayatkan dari Umar, Ali, Ibnu Umar, Aisyah, serta ini adalah pendapat dari Ata’, Jabir bin Zaid, Thawus, al-Nakha’i, Yahya bin Abi Kabir, Malik, al-Syafi’i, dan ashab al-Ra’yi. (Lihat al-Mughni,8/296 )

Begitu juga Ibn Abdul Bar menyatakan bahawa: Barangsiapa yang mengambil makanan yang tidak ada pemilik yang diketahui dan tidak ada yang mengetahuinya , maka tidak wajib baginya mengumumkannya dan menunggu pemiliknya. Tidak boleh baginya menyimpan makanan tersebut sehingga ianya rosak. Akan tetapi, dia diberi pilihan antara memberi sedekah atau memakannya sekiranya dia merupakan seorang yang fakir yang memerlukan. Namun sekiranya diketahui pemiliknya selepas daripada itu dia perlu menggantinya  jika dia telah memakan makanan  tersebut. Jika dia telah bersedekah dengannya maka pemilik diberi pilihan antara ganjaran pahala dan ganti rugi sebagaimana barang luqatah yang lain. (Lihat al-Kafi fi Fiqh Ahli al-Madinah,2/336-337)

Sebagai kesimpulannya, kami katakan bahawa makanan yang dijumpai di jalan boleh diambil oleh orang yang menemukannya dan boleh baginya memakan makanan tersebut sekiranya pemiliknya tidak diketahui. Selain itu, dia juga boleh memberikan makanan tersebut sebagai sedekah kepada fakir miskin. Yang demikian dibenarkan kerana makanan tersebut tidak dianggap sebagai harta yang bernilai, dan tindakan ini juga membantu mencegah pembaziran makanan tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply