#3628: Kenapa Nabi SAW Hanya Sebut Tiga Rukun Islam Sahaja Ketika Pengutusan Muaz ke Yaman?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa ketika Muaz diutuskan ke Yaman, Nabi SAW hanya menyebut tiga daripada rukun Islam sahaja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, terdapat lima rukun Islam. Hal ini sepertimana hadith daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa rukun Islam adalah lima perkara seperti yang telah disebutkan. Walaupun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa terdapat sebahagian ulama fekah yang memasukkan ibadah jihad sebagai rukun Islam yang keenam. Di antaranya adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman bin al-Qasim Rahimahullah: Sebahagian ulama memasukkan jihad sebagai rukun yang keenam bagi agama Islam. Oleh yang demikian itulah, mereka memasukkan perbahasan berkenaan jihad setelah rukun islam yang lima. (Lihat Hasyiah al-Raudh al-Murbi’, 4/253)

Berkenaan persoalan di atas, kami nukilkan hadith Nabi SAW, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW mengutuskan Mu’az R.A ke Yaman, lalu Baginda bersabda:

ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya: “Dakwahlah mereka kepada syahadah (persaksian) bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1395) dan Muslim (19)

Dalam menjawab persoalan di atas, jawapan yang terbaik ialah Nabi SAW mahu Mu’az memperkenalkan secara beransur-ansur kepada mereka tentang ajaran Islam, dan memperkenalkan kepada mereka sedikit demi sedikit.

Masa untuk ketiga-tiga perkara yang disebutkan itu telah tiba, iaitu masa tatkala Nabi SAW mengutuskan Mu’az kepada mereka, sedangkan belum tiba masa untuk dua perkara berbaki untuk dilaksanakan. Ini kerana Nabi SAW mengutuskan Mu’az pada bulan Rabi’ al-Akhir tahun kesepuluh hijrah, sepertimana dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari daripada Ibn Mas’ud R.A. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/285)

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *