Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk mendapatkan kematian husnul khatimah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah. Antara cara-cara untuk mendapatkan Husn al-Khatimah adalah seperti berikut:

Pertama: Sentiasa menjaga solat fardhu dengan sempurna dan pada awal waktu.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya:Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Terdapat juga hadith yang menyatakan bahawa solat di awal waktu itulah yang paling afdhal, ini sebagaimana hadith daripada Ummu Farwah, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ: الصَّلاَةُ فِى أَوَّلِ وَقْتِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya, amalan apakah yang paling afdhal. Lalu Baginda pun menjawab: “Solat di awal waktunya.”

Riwayat Abu Dawud (426)

Kedua: Menunaikan solat fardhu secara berjemaah

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: ”Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

Di dalam riwayat lain menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)

Ketiga: Membaca Al-Quran dan bertadabbur dengannya dengan istiqamah

Ibn Kathir memberi makna tadabbur ialah  memahami makna  lafaz-lafaz  serta  berfikir tentang ayatnya yang  merangkumi  isyarat  peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya  mengambil pengajaran  dan taat segala perintahNya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/8)

Matlamat  al-Quran diturunkan bukan sekadar  untuk dibaca bahkan Allah menyeru seluruh hambanya untuk menghayati inti pati  al-Quran  sebagaimana firman-Nya:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya:Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan  kepdamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan  ayat-ayatNya, dan supaya  mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”

(Surah Sad: 29)

Imam al-Tabari  menyatakan  makna ayat tersebut ialah tujuan  penurunan  al-Quran supaya  umat Nabi Muhammad SAW  mentadabbur makna ayat al-Quran  serta beramal dengan segala yang telah disyariatkanNya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 20/79)

Keempat: Menunaikan solat tahajjud dan qiamullail pada malam hari

Qiyamullail adalah suatu kata nama bagi perbuatan menghidupkan malam dengan ibadah yang bersifat umum. Ia meliputi kesemua amalan soleh yang dilakukan oleh seseorang itu pada waktu malam seperti solat tahajjud, pembacaan Al-Quran, doa, dan selainnya dari amalan soleh. Allah SWT berfirman:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Surah al-Isra’ (79)

Kelima: Selalu berzikir di setiap waktu dan selalu mengingat Allah SWT setiap masa dan dimanapun juga.

Zikir terbahagi kepada dua samada qalbi (dalam hati) atau lisani (iaitu pada lafaz lidah). Imam al-Nawawi menjelaskan, zikir yang terbaik adalah yang dilakukan bersama; hati dan lisan. Di antara zikir dengan hati dan zikir dengan lisan, zikir dengan hati adalah lebih baik. (Lihat al-Azkar, hlm. 39)

Zikir orang-orang soleh adalah dengan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil sementara zikir orang yang berpaling daripada Allah iaitu dengan nyanyian yang melalaikan, ghibah (mengumpat orang lain), namimah (mengadu domba), dan kekejian.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ

Maksudnya: “…(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring…”

(Surah Ali Imran: 191)

Al-Maraghi berkata: “Sepanjang menjalani kehidupan, mereka tidak pernah lupa kepada Allah SWT malahan mereka sering mengingati Allah SWT dengan hati yang terang dan menyedari sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dirinya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/162)

Keenam: Sentiasa Hadir ke Majlis Ilmu

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

 Riwayat Muslim (4867)

Imam al-Nawawi menyatakan: Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama’ mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka.

Selain itu juga, maksud sabda Nabi SAW “Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat” adalah dikatakan yang dimaksudkan dengan sakinah di sini adalah rahmat. Ini yang dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh tetapi ia adalah dhaif disebabkan rahmat telah di’athafkan dengan sakinah. Dikatakan juga ia (yang dimaksudkan dengan sakinah) adalah thoma’ninah dan kemuliaan. Ini adalah lebih baik dan ia juga mempunyai dalil atau petunjuk akan kelebihan berkumpul untuk membaca al-Qur’an di dalam masjid. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/21)

Setiap mukmin yang mahu kekal keimanan terhadap Allah SWT hendaklah sentiasa mendampingi dengan majlis ilmu. Hidup mereka akan sentiasa terbimbing dengan kefahaman agama dan perbuatan yang membawa kebaikan. Orang yang meninggalkan majlis ilmu jiwanya umpama ranting kering yang mudah patah apabila ditiup angin. Ilmu adalah jalan untuk beriman kepada Allah SWT, jalan menuju syurga. Justeru, majlis ilmu disebut seperti taman syurga yang mengingatkan mukmin akan kebaikan.

Ketujuh: Sentiasa berpesan dalam perkara kebenaran, setiap masa dan ketika dalam hidupnya sentiasa meletakkan diri dalam putaran kebenaran supaya dengannya ia sentiasa bermuhasabah diri.

Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-‘Asr:1-3)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Kebenaran adalah satu daripada empat rukun yang dapat melepaskan manusia daripada kerugian di dunia dan di akhirat. Keempat-empat rukun itu adalah, beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Hubungan antara berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran adalah, bagi menunjukkan amanah kebenaran itu begitu berat dan bebanan yang besar. Selain itu, jalannya dipenuhi dengan kebencian dan ditumbuhi duri-duri. Oleh itu, sesiapa pun perlu memperkasakan diri dengan kebenaran yang dikhabarkan kepadanya bagi memantapkan diri dengan kesabaran semasa berada di jalan itu.

Maka, kebenaran itu tidak akan berjaya tanpa sifat sabar dan sesebuah jemaah itu tidak akan menjadi hebat tanpa saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. (Lihat al-Sobru fi al-Quran, hlm. 126-127)

Kelapan: Meletakkan nilai kesabaran terhadap apa juga situasi dan keadaan.

Nilai kesabaran perlu ada pada setiap mukmin dalam apa jua situasi dan keadaan. Hal ini sepertimana pesan Luqman al-Hakim kepada anaknya sebagaimana firman Allah SWT:

وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Maksudnya:Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

(Surah Luqman: 17)

Dalam apa jua situasi, kita pasti berdepan dengan pelbagai mehnah dan ujian. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pesanan-pesanan Luqman al-Hakim dikaitkan dengan kesabaran atas apa yang menimpa seseorang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply