Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya masih belajar dan berumur 20 tahun. Saya akan tamat pembelajaran dalam ijazah sarjana muda pada umur 23 tahun. Saya mempunyai keinginan untuk berkahwin dengan seseorang wanita ini dan keluarganya pun telah bersetuju. Keluarganya juga minta untuk dipercepatkan hal ini. Soalannya, umur berapakah yang ideal untuk saya berkahwin dan bagaimana tips untuk saya menyimpan duit untuk berkahwin ketika sedang belajar?

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

Surah al-Najm (45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”

Surah Ar-Ra’d (38)

Kami nukilkan nasihat kami kepada anakanda kami Abdyl Syakur melalui buku yang bertajuk Anakku, Inilah Pesanan Abah.

Anakku, antara buku yang menjadi minat abah terhadap ilmu ialah buku hasil karya Syeikh Abdul Fattah al-Ghuddah. Terdapat 3 buku yang menarik yang memperihalkan motivasi, semangat serta irsyad kepada penuntut ilmu untuk terus beriltizam dan istiqamah dalam meraih sebanyak mungkin ilmu. Buku-buku tersebut ialah:

  • Sofahat ‘an Sabri al-Ulama (Lembaran-Lembaran Berkenaan Kesabaran Para Ulama)
  • Qimatu al-Zaman ‘inda al-Ulama (Nilai Masa Di Sisi Ulama)
  • al-Ulama al-’Uzzab (Ulama-Ulama Yang Tidak Berkahwin)

Semuanya menunjukkan kepada kesungguhan para ulama dalam menuntut ilmu walau menghadapi ranjau dan ujian tetapi penuh dengan kesabaran. Beliau kisahkan pelbagai kisah yang menarik, sama ada salafussoleh dn juga ulama mutaakhirin.

Dengan sebab itu, tidak pelik apabila disebut oleh ulama:

ذُبِحَ العِلْمُ عَلَى أَفْخَاذِ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Ilmu disembelih di celah-celah peha wanita.” (Lihat Khulasah al-Athar, 4/39)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap insan sudah pasti memiliki keinginan untuk berumahtangga dan mempunyai keluarga kecil sendiri. Oleh itu, dalam isu ini kami berpandangan tidak menjadi masalah untuk berkahwin ketika belajar, namun sebaiknya berkahwinlah selepas tamat belajar bagi memudahkan urusan dan fokus dalam pembelajaran. Hal ini kerana ilmu itu penting dan dengannya hidup kita akan menjadi senang serta tenteram. Begitu juga, pada hari ini sijil pelajaran amat penting bagi mendapat jawatan yang lebih tinggi. Oleh kerana itu, kami berpandangan berkahwin selepas belajar itu lebih baik dan terfokus berbanding berkahwin ketika belajar terutamanya dalam fasa awal yakni diploma atau degree.

Adapun, dari sudut menjana pendapatan untuk berkahwin ketika belajar, kami berpandangan antara perkara yang boleh dibuat adalah seperti menjadi dropship barangan, menjadi rider grab/foodpanda, membuat prebet dan sebagainya. Berkat usaha, doa dan tawakal anda dalam mencapai keinginan anda untuk berkahwin, kami percaya Allah SWT pasti akan membuka jalan untuk hambanya.

Akhir kalam, nasihat kami sebaiknya berkahwin itu selepas tamat belajar bagi memastikan anda terus berjaya dan fokus dalam mencapai matlamat. Namun, sekiranya anda berhasrat juga untuk berkahwin ketika belajar, maka tidak ada salahnya kerana ia merupakan pilihan setiap orang. Akan tetapi perkara yang perlu diambil cakna adalah dari sudut persediaan sebelum dan selepas berkahwin seperti wang hantaran, pembiayaan majlis kahwin, perbelanjaan barang hantaran, keperluan diri dan isteri selepas berkahwin, pembiayaan sewa rumah/ bil air/api, didikan agama dan sebagainya.

Semoga Allah memudahkan urusan anda dalam mendirikan rumahtangga, serta jalanilah tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya kerana ia merupakan amanah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply