Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bergaduh dengan isteri. Dia mahu tuntut cerai tapi saya enggan. Saya pekik untuk keluar bilik tapi dia pukul dan mencekik saya. Saya terus lafazkan aku ceraikan kau untuk dia berhenti cekik saya walaupun niat itu tidak ada. Adakah jatuh talak?
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
Surah al-Baqarah (229)
Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala.Sabda Nabi Muhammad SAW :
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”
Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan meskipun anda melafazkan talak tanpa niat, lafaz yang digunakan itu adalah lafaz sorih yakni “aku ceraikan kau”, yang mana ia tidak perlu kepada niat. Maka, dalam isu ini talak telah jatuh kepada talak satu.
Walau bagaimanapun, kami nasihatkan supaya merujuk kepada mahkamah syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak sepertimana kaedah menyebut:
حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”
Nasihat kami juga, sebaiknya dalam isu talak ini, janganlah sehingga menggunakan kekerasan seperti memukul, cekik dan sebagainya. Jika tidak bernasib baik, sekiranya berlaku kematian, ia sudah melibatkan kes polis dan ketika itu nasi sudah menjadi bubur. Hanya yang tinggal adalah sebuah penyesalan disebalik tirai besi. Oleh itu, berfikirlah dahulu sebelum bertindak agar ia tidak menjadi isu lebih besar.
Mengambil kesempatan di sini marilah sama-sama kita memahami yang perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani.
Perkahwinan yang menurut syarak dan terhormat akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman diri. Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
(Surah al-Rum: 21)
Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.
(Surah al-Baqarah: 187)
Ayat ini menatijahkan suami isteri sebagai pakaian bagi pasangan masing-masing kerana mereka saling melindungi. Keperluan suami isteri kepada pasangannya sama seperti keperluan mereka dengan pakaian.
Sekiranya pakaian menutup keaiban tubuh badan dan menjaganya daripada sebarang kesakitan, suami isteri pula akan menjaga kemuliaan pasangannya, memelihara kehormatan dan memberi kerehatan serta ketenteraman. (Lihat Baiti Jannati: Rumahku Syurgaku, hlm. 10-11)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445