Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar seorang ustaz beritahu bahawa wanita yang safih tidak dibenarkan untuk menjadi ibu susuan. Adakah benar Islam melarang perkara ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu sebuah riwayat yang menyebutkan larangan wanita yang bodoh sebagai ibu susuan. Daripada Ziyad bin Isma‘il al-Sahmi, katanya:

نَهَى رَسُولُ اَللَّهِ ﷺ أَنْ تُسْتَرْضَعَ الْحَمْقَاءُ؛ فَإِنَّ اللَّبَنَ يُشْبِهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk meminta wanita yang hamqa (bodoh) menjadi ibu susuan; sesungguhnya susu itu dapat menyerupai perangai wanita tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (207) di dalam al-Marasil, dan al-Baihaqi (15682)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika menghuraikan hadith di atas berkata, yang dimaksudkan adalah larangan meminta untuk wanita yang hamqa itu menyusukan anak kita. Dan hamqa itu bermaksud orang yang kurang akalnya dan buruk kelakuannya.

Penyusuannya ini boleh memberi kesan kepada bayi, kerana sesuatu yang diambil sebagai makanan itu akan memberikan kesan kepadanya. (Lihat Fath zi al-Jalal wa al-Ikram, 5/167)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan kalam Dr. Muhammad ‘Ali al-Bar, katanya bahawa tidak syak lagi ibu susuan itu sememangnya memberikan kesan kepada anak susuannya dari segi akhlak. Oleh itu, bahaya menjadikan wanita yang bodoh sebagai ibu susuan kerana dikhuatiri dia akan mengabaikan anak itu, atau tersilap membunuhnya, sepertimana banyaknya kes yang berlaku; anak terjatuh dan terhentak di lantai. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/31)

Berdasarkan nas hadith dan perbincangan ilmuan di atas, benar sememangnya terdapat larangan untuk menjadikan wanita yang hamqa atau bodoh sebagai ibu susuan. Fuqaha’ Mazhab Hanbali dan Mazhab Hanafi menghukumkan larangan tersebut sebagai makruh tanzih. (Lihat al-Mabsut, 15/119; Bada’i‘ al-Sana’i‘, 4/176)

Antara hujjah mereka adalah riwayat Ziyad bin Isma‘il al-Sahmi di atas. Akan tetapi, hadith di atas dinilai dha‘if oleh ahli hadith kerana riwayatnya datang secara mursal[1], dan padanya terdapat 2 orang yang tidak dikenali.

Imam al-Baihaqi menyebutkan bahawa hadith ini berstatus mursal. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 7/765)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa  Ziyad bin Isma‘il al-Sahmi ini adalah seorang yang tidak dikenali, meriwayatkan hadith ini secara mursal. Dikatakan dia merupakan mawla ‘Amru bin al-‘As. (Lihat Taqrib al-Tahzib, hlm. 221)

Mereka membawakan juga riwayat lain daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

إِيَّاكُمْ وَرَضَاعَ الْحَمْقَى فَإِنَّ رَضَاعَ الْحَمْقَى يُعْدِي

Maksudnya: “Jauhilah kalian dari menyusukan anak dengan wanita yang hamqa, sesungguhnya susuan wanita yang hamqa itu berjangkit (perangai buruk wanita tersebut).”

Dinukilkan oleh Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (3/232)

Riwayat ini juga dikritik sanadnya oleh ahli hadith, kerana terdapat perawi bernama Abu ‘Ali al-Hasan bin ‘Ulwan al-Kufi al-Kalbi. Abu Tahir al-Salafi mengatakan bahwa dia ini seorang pendusta yang memalsukan hadith. (Lihat al-Masyikhah al-Baghdadiyyah, 3/186)

Dan juga membawa riwayat daripada ‘Abdullah Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

الرِّضَاعُ يُغَيِّرُ الطِّبَاعَ

Maksudnya: “Susuan itu boleh mengubah perangai.”

Dinukilkan oleh Ibn al-A‘rabi (219) dalam al-Mu‘jam

Imam al-Zahabi dan Syeikh al-Albani mengatakan, ini adalah khabar yang berstatus sangat munkar[2]. (Lihat al-Jarh wa al-Ta‘dil, 2/283; al-Silsilah al-Dha‘ifah, 4/65)

Dan riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma juga dibawakan, katanya:

نَهَى عَنْ رَضَاعِ الْحَمْقَى

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang sususan wanita yang hamqa.”

Riwayat al-Tabarani (65) dalam al-Mu‘jam al-Awsat

Al-Haithami berkata ketika mengkritik riwayat ini, padanya terdapat perawi bernama ‘Ibad bin ‘Abd al-Samad yang dinilai sebagai dha‘if. (Lihat Majma‘ al-Zawa’id, 4/262)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, Mazhab Hanbali dan Mazhab Hanafi berpegang kepada larangan syara‘ secara makruh tanzih dalam masalah ini. Riwayat-riwayat hadith yang melarang agar disusukan bayi dengan ibu susuan yang hamqa atau bodoh ini merupakan riwayat yang lemah. Akan tetapi, sebab-sebab yang dibawakan oleh fuqaha’ al-Hanabilah dan al-Hanafiyyah wajar untuk diteliti dengan baik kerana padanya terdapat kebenaran juga.

Siapa sahaja yang mungkin kurang dari sudut akalnya sememangnya berkemungkinan memberikan kesan buruk kepada orang yang berada di bawah jagaannya, sama ada dari sudut akhlak atau cara berfikir. Maka sebaiknya, ibu bapa yang ingin mencari ibu susuan, carilah wanita yang menjaga akhlaknya serta bijak agar anak tersebut dapat membesar dengan mencontohi akhlak baik tersebut, kerana dengan susu tersebutlah anak itu akan membesar dengan sihat tubuh badannya. Ini bersesuaian dengan athar yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

لَا رِضَاعَ إِلَّا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْمَ

Maksudnya: “Hukum penyusuan tidak berlaku, melainkan yang dapat menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”

Riwayat Abu Dawud (2059)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

[1] Mursal: Hadith yang pada sanadnya tidak dinyatakan (gugur) sahabat iaitu riwayat tabi’in (samada tabi’in itu besar atau kecil) terus kepada Rasulullah SAW.

[2] Munkar: Perawi yang dikritik dari sudut hafalan dan penjagaan hadith.

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply