Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika seorang anak membawa mak dan ayahnya menaiki kenderaan dan ditakdirkan Allah berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian kedua ibu bapanya tanpa sengaja, adakah anak itu berhak untuk mendapat harta pusaka ibu bapanya yang meninggal tadi? Saya berharap Dr. menjawab persoalan saya ini. Saya juga mendoakan Dr. sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T. Aamiin Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Undang-undang Islam telah mengatur segala urusan berkaitan harta warisan dan telah menjelaskan kepada kita sebab-sebab yang layak  bagi seseorang untuk mewarisi  harta pusaka serta bahagian-bahagian yang layak diperolehi  bagi setiap individu.  Begitu juga syara’ telah menjelaskan perkara-perkara yang menghalang seseorang itu dari mewarisi harta pusaka dan salah satu darinya adalah membunuh.

Halangan yang menghalang seseorang daripada mewarisi harta pusaka ada tiga, iaitu:

  • Segala bentuk perhambaan
  • Pembunuhan
  • Perbezaan agama antara Islam dan kafir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/77-78).

Imam al-Rahabi menyatakan: Dan menghalang seseorang itu daripada perwarisan, salah satu daripada tiga sebab, perhambaan dan pembunuhan dan perbezaan agama.(Lihat: Matan al-Rahabiyyah; hlm.3)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.anhu bahawa rasulullah SAW bersabda :

القاتلُ لا يَرِثُ

Maksudnya : “Orang yang membunuh tidak boleh mewarisi.”

Riwayat Tarmizi (2109) dan Ibn Majah (2735)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2061: Pembunuh Tidak Boleh Mewarisi[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ia tidaklah dikira sebagai pembunuh kerana ia merupakan kemalangan yang tidak disengajakan dan dielakkan. Maka, dia berhak untuk mendapat harta pusaka ibubapanya. Namun, sekiranya si anak sengaja berbuat demikian, agar mendapat harta orang tuanya, maka ketika itu dia tidak boleh mendapat harta pusaka orang tuanya.

Walau bagaimanapun, ia perlu dirujuk kepada mahkamah atau pihak-pihak berautoriti dalam menentukan adakah ia termasuk dalam kategori membunuh dengan sengaja ataupun tidak sengaja.

Semoga allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syari‘atnya.

Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2061-pembunuh-tidak-boleh-mewarisi/

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply