Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa tidak dibenarkan solat dalam hammam atau bilik mandi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istilah Hammam menurut Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ bermaksud tempat untuk mandi dengan menggunakan air panas, samada untuk kegunaan orang awam ataupun kegunaan peribadi seperti untuk kegunaan ahli keluarga sahaja. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 186)

Ibn al-Ikhwah di dalam kitab Ma’alim al-Qurbah fi Talab al-Hisbah menyatakan kebiasaannya aktiviti di hammam ialah memanaskan udara di dalamnya dan air yang sejuk dan menyegarkan. Sebahagian hukama’ menyebut bahawa sebaik-baik hammam ialah yang terlebih dahulu dibina, yang terdapat banyak udara di dalamnya dan juga airnya yang segar. Di dalam hammam juga terdapat banyak bilik. Bilik yang pertama sejuk dan dingin airnya, bilik kedua yang dipanaskan dan mempunyai pengudaraan yang lembab, dan juga bilik ketiga bilik yang dipanaskan dan kering pengudaraannya. (Lihat Ma’alim al-Qurbah fi Talab al-Hisbah, hlm. 154)

https://png.pngtree.com/thumb_back/fw800/background/20221115/pngtree-arabic-baths-hammam-in-granadaandalusiaspain-hamman-lifestyle-granada-photo-image_40294922.jpg

Menjawab persoalan diatas, telah diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا المَقْبَرَةَ وَالحَمَّامَ

Maksudnya: “Bumi ini semuanya merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali kubur dan bilik mandi

Riwayat al-Tirmizi (317)

Abu Ishaq al-ِSyirazi berkata: Tidak boleh seseorang itu solat di tempat mandi (hammam) sebagaimana hadith Abu Said R.A, dan mazhab kami telah berselisih pendapat tentang makna larangan tersebut, sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa larangan itu adalah disebabkan oleh tempat itu merupakan tempat membasuh padanya najis-najis, oleh sebab ini apabila seseorang itu solat pada tempat yang diyakini bersih, maka sah solatnya. Dan jika seseorang itu solat pada tempat yang diyakini najisnya, maka tidak sah solatnya. Dan jika dia syak samada tempat itu najis atau suci maka ada dua pendapat sama seperti permasalahan solat di atas tanah kubur. Sebahagian mereka berkata larangan solat di tempat mandi itu  kerana ia tempat tinggal syaitan kerana di situ merupakan tempat dibukanya segala aurat. Maka atas pendapat ini dimakruhkan solat padanya. Dan jika dia yakin tempat mandi itu bersih daripada najis maka solatnya sah kerana sesungguhnya larangan itu tidak kembali kepada solat.” (Lihat al-Muhazzab, 1/112)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Apa yang boleh diambil daripada hadith ini ialah tidak sah solat di dalam al-Hammam, kerana ia merupakan tempat basuhan dengan air panas (al-Hamim). Sebab larangan ini adalah sebagaimana riwayat yang marfu’ menyebutkan “Al-Hammam itu merupakan rumah syaitan”, ia merupakan antara tempat yang dibuka aurat padanya, dan terdapatnya percampuran dalamnya, maka ia merupakan tempat tinggal syaitan yang diseru kepadanya”.

Boleh juga didapati daripada hadith larangan solat di Hammam adalah larangan untuk solat di tempat yang seumpamanya yang merupakan tempat tinggal syaitan seperti tempat yang haram dan yang melalaikan, tempat mendengar nyanyian, tempat permainan yang diharamkan dan seumpamanya, kerana tempat-tempat ini merupakan tempat tinggal syaitan yang mesti disucikan tempat ini daripada melakukan ketaatan dan ibadah. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/25)

Imam al-Nawawi  berkata: Solat ditempat tinggal syaitan adalah makruh dengan persepakatan ulama’, seperti tempat minum arak, bar, tempat najis dan seumpamanya daripada tempat-tempat maksiat dan dosa yang besar, gereja, tempat perniagaan, tempat perjudian, dan sebagainya. Jika dia solat di salah satu daripada tempat-tempat ini tanpa menyentuh najis dengan tangan atau pakaian, solatnya adalah sah tetapi hukumnya makruh.”(Lihat al-Majmu’, 3/162)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sebab kenapa tidak boleh solat di al-Hammam atau bilik air adalah disebabkan ia merupakan tempat tinggal syaitan, tempat terbukanya aurat dan juga tempat membasuh kotoran dan najis.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply