Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru saya ada melihat satu video yang tular di media sosial seseorang memakan sejenis binatang yang dipanggil skinny pig. Sebenarnya dalam Islam, bolehkah ia dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan haiwan skinny pig ini. Skinny pig atau skinny ialah sejenis haiwan yang tidak berbulu daripada spesies guinea pig  atau tikus belanda. Biasanya, skinny pig mempunyai bulu di sekitar muncung dan kaki tetapi kebanyakan permukaan badan mereka adalah tidak berbulu. Sesetengah daripadanya mempunyai lapisan bulu nipis di bahagian belakang. Skinny pig bukan salah satu daripada 13 jenis cavy yang diiktiraf oleh Persatuan Penternak Cavy Amerika. Skinny yang sihat mempunyai kulit yang kebanyakannya licin, dengan beberapa lipatan kulit di sekitar kaki dan leher. Badannya penuh tanpa penampilan tulang belakang atau rusuk. Skinny boleh datang dalam pelbagai warna dan corak kulit, termasuk “Dutch,” “Brindle,” dan “Himalayan.” Istilah “skinny” digunakan untuk tikus belanda atau guinea pig yang tidak berbulu sama ada kerana secara umumnya ia merujuk kepada kulit haiwan itu yang terdedah atau kerana ia menggambarkan penampilan yang lebih kurus disebabkan oleh kekurangan bulu.[1]

Skinny pig - Wikipedia

Gambar di atas: Skinny Pig dewasa

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, pertamanya terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Secara umumnya, skinny pig tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Berkenaan kehalalan hasyarat (hukum memakannya), ringkasnya terdapat dua pendapat ulama. Pendapat pertama menyatakan semua hasyarat adalah haram untuk dimakan kerana dianggap sebagai haiwan yang jijik dan kotor serta tabiat yang sihat menjauhinya. Inilah pendapat ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali. Mereka mengecualikan daripada hasyarat itu belalang kerana umat telah bersepakat mengenai kehalalannya.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali turut mengecualikan dhab kerana ia termasuk dalam jenis haiwan hasyarat yang halal untuk dimakan. Begitu juga ulama mazhab Hanbali mengecualikan jerboa dan wabar (hyrax) dan berpendapat kedua-duanya adalah halal untuk dimakan. Manakala ulama mazhab Syafi‘i menambah lagi (selain daripada jerboa dan wabar) dengan turut mengecualikan ummu hubain (trapelus), landak dan bint ‘irs (weasel), dan berpendapat ia adalah halal untuk dimakan.

Manakala pendapat kedua menyatakan semua jenis hasyarat adalah halal untuk dimakan. Ini merupakan mazhab Maliki, yang pada asalnya terdapat dua riwayat mengenainya. Kemudian mazhab telah bersetuju dengan pendapat ini. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/279).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya. Manakala Imam Malik pula berpendapat, ia adalah halal untuk dimakan. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”

Riwayat Abu Daud (3798)

Manakala Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut mereka (Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya), makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka yang mengharuskan untuk memakan hasyarat (termasuklah ular) iaitu firman Allah SWT dalam surah al-An‘am ayat 145 dan hadith al-Talib sebahagaimana yang telah disebutkan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan, adapun ayat tersebut, Imam al-Syafi‘i dan ulama selainnya berpendapat, maknanya adalah daripada apa-apa makanan yang kamu makan dan kamu suka (tidak menganggapnya jijik). Imam al-Syafi‘i menambah, inilah maknanya yang lebih aula (utama) berdasarkan dalil al-Sunnah. Wallahu a‘lam. Adapun hadith al-Talib pula, sekalipun ia hadith yang thabit, tetap tidak boleh menjadi dalil. Hal ini kerana perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. Wallahu a‘lam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16-17).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sebagaimana yang diketahui dan dijelaskan sebelumnya bahawa skinny pig tergolong dalam jenis guinea pig atau tikus belanda. Justeru, berdasarkan kepada penjelasan dan maklumat yang ada mengenai tikus belanda, tidak ada yang menunjukkan kepada pengharamannya. Apatah lagi jika benar ia adalah tergolong dalam jenis wabar sebagaimana yang disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Alamiyyah, maka kebanyakan ulama berpendapat ia adalah halal kerana ia adalah haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga ia tidak memiliki taring yang digunakan untuk memburu bagi mendapatkan makanan dan ia tidak termasuk dalam haiwan yang dianggap sebagai istikhbath (jijik dan kotor).

Imam al-Nawawi telah menaskan dalam kitabnya mengenai kehalalan wabar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/272). Selain itu, Ibn Qudamah al-Hanbali menyebutkan, diharuskan untuk memakan wabar. Ini juga merupakan pendapat ‘Ata’, Tawus, Mujahid, ‘Amr bin Dinar, al-Syafi‘i, Ibn al-Munzir dan Abu Yusuf. Manakala al-Qadhi berpendapat, ia adalah haram untuk dimakan dan ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah dan ashabnya kecuali Abu Yusuf. Menurut Ibn Qudamah, dalil yang menunjukkan kepada keharusan memakannya adalah ia hendaklah ditebus dengan dibayar ganti bagi sesiapa yang memburunya ketika dalam ihram atau di tanah haram. Tambahan lagi, ia adalah seperti arnab. Ia memakan tumbuh-tumbuhan dan kekacang. Oleh itu, diharuskan untuk memakannya seperti mana arnab. Selain itu, hal ini juga kerana hukum asalnya adalah diharuskan dan keumuman nas mengharuskannya, serta tidak ada nas yang menunjukkan kepada pengharamannya. Maka, atas dasar tersebut, ia dibenarkan untuk dimakan. (Lihat al-Mughni, 13/326).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa skinny pig ini adalah halal untuk dimakan dan boleh berjual beli dengannya kerana ia kembali kepada hukum asal haiwan darat iaitu halal dan diharuskan selagi mana tidak ada yang menunjukkan kepada pengharamannya, dan bagi menghalalkannya ia mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga pada hakikatnya, ia bukanlah babi mahupun tikus yang diharamkan untuk dimakan sekalipun ia dipanggil sebagai skinny pig atau tergolong dalam spesies tikus belanda, sebaliknya ia adalah haiwan yang berbeza sama sekali. Justeru kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Sebaliknya ia tergolong dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan seperti bijiran kering, sayur hijau, dan rumput kering, dan bukan tergolong dalam jenis haiwan pemangsa yang memiliki taring untuk memburu bagi mendapatkan makanan.

Selain itu, skinny pig atau guinea pig ini juga dikaitkan dengan wabar dan kebanyakan ulama berpendapat wabar adalah halal untuk dimakan seperti mana arnab. Tambahan lagi, dikatakan juga bahawa ia telah diburu sebagai makanan selama beratus-ratus tahun.

Kami juga pernah menjawab sebelum ini berkenaan hukum memakan guinea pig atau tikus belanda. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan mendapatkan penjelasan lanjut dan maklumat tambahan mengenainya, bolehlah merujuk kepada artikel tersebut dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1911: Memakan Guinea Pig (Tikus Belanda).[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Skinny_pig. Diakses pada 18 Oktober 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1911-memakan-guinea-pig-tikus-belanda/. Diakses pada 18 Oktober 2023.

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply