Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat satu video yang menunjukkan satu proses gabungan atau kacukan DNA antara babi dan sotong kurita, lalu hasilnya membentuk sejenis haiwan lain yang rupanya seperti babi dan obor-obor. Soalannya, adakah ia halal dimakan atau sudah menjadi haram kerana mengambil hukum babi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa perbahasan. Pertamanya, daging babi dan seluruh bahagian-bahagiannya adalah haram dimakan. Pengharaman daging babi adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Selain itu, Dr. Soleh al-Fauzan ada menukilkan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan pengharaman daging babi berdasarkan ayat-ayat di atas yang menyebutkan berkenaan pengharamannya. Di samping itu, menurutnya lagi, babi memiliki taring yang digunakan untuk mencari makanan. Oleh itu, ia juga termasuk dalam keumuman hadith yang menyatakan mengenai keharaman setiap haiwan yang bertaring. Justeru, pengharaman babi ini adalah berdasarkan kepada nas, kaedah umum dan ijmak.  Pengharaman babi itu merangkumi babi daripada jenis yang jinak dan liar, juga semua bahagian anggotanya termasuklah lemaknya. (Lihat al-At‘imah, hlm. 215).

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu ‘ainnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Tambahan lagi, dari segi sains pula terbukti bahawa babi ialah haiwan yang tidak digalakkan untuk dimakan kerana memudaratkan. Di antaranya, terdapat bakteria kebal antibiotik dalam daging babi, risiko jangkitan parasit dan lain-lain. Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #34: Sebab Daging Babi Diharamkan untuk Dimakan.[1]

Keduanya, sotong kurita termasuk dalam jenis hidupan air dan secara umumnya semua hidupan air adalah halal untuk dimakan dengan syarat ia tidak memudaratkan pemakannya. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[2]

Bahkan Imam al-Nawawi ketika membahaskan berkenaan haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut telah menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 96 (seperti yang sudah disebutkan di atas). Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat ia berkait rapat dengan hukum haiwan yang dikacukkan yang mana salah satu haiwan induknya adalah halal dagingnya, manakala salah satu lagi adalah haram dagingnya. Justeru, haiwan yang terhasil daripada pensenyawaan atau kacukan DNA sotong kurita dan babi itu dihukumkan sebagai najis dan diharamkan untuk dimakan.

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi secara jelas menyatakan bahawa haiwan yang dihukumkan sebagai najis, maka tidak halal untuk memakannya. Haiwan najis itu adalah anjing dan babi serta mana-mana haiwan yang lahir daripada salah satunya yang dikacukkan dengan haiwan yang lain (yang halal dagingnya), dan perkara ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/3). Hal ini adalah sebagaimana hukum baghal[3] dan al-Sim‘u (السِّمْعُ),[4] yang mana kedua-duanya adalah hasil pengawanan antara haiwan yang boleh dimakan dengan tidak boleh dimakan dan dihukumkan sebagai haram untuk dimakan.

Selain daripada itu, perkara ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Begitu juga kaedah fiqh yang lain:

إِذَا اجْتَمَعَ الحَلَالُ وَالحَرَامُ غُلِّبَ الحَرَامُ

Maksudnya: “Apabila berhimpun sesuatu yang halal dan sesuatu yang haram, maka yang haram itu didahulukan (berbanding yang halal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 105).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa haiwan yang terhasil daripada pensenyawaan atau kacukan DNA sotong kurita dan babi adalah dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan. Ini kerana ia lahir daripada sesuatu yang dihukumkan sebagai najis dan haram dimakan iaitu babi yang merupakan salah satu induknya, maka haiwan yang terhasil daripada pensenyawaan itu turut mengambil hukumnya — iaitu haram. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

 

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/34-sebab-daging-babi-diharamkan-untuk-dimakan/. Diakses pada 18 Oktober 2023.

[2] Al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih

[3] Haiwan yang terhasil daripada pengawanan kuda dan keldai jinak.

[4] Al-Sim‘u ialah haiwan yang lahir daripada pengawanan antara serigala dengan dubuk dan hukumnya adalah haram  untuk dimakan. (Lihat al-Mughni, 9/407-408).

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply