Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang itu duduk di atas kubur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abi Marthad al-Ghanawiy R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 لاَ تُصَلُّوْا إِلَي الْقُبُوْرِ وَلاَ تَجْلِسُوْا عَلَيْهَا

Maksudnya: ‘Janganlah kamu solat menghadap kubur dan jangan pula kamu duduk di atasnya.”

Riwayat Muslim (972)

Imam al-Nawawi berkata: “Imam al-Syafi’i dan mazhabnya dimakruhkan solat menghadap ke kubur sama ada kubur orang soleh atau lainnya.” (Lihat al-Majmu’, 5/316)

diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Maksudnya: “Lebih baik jika seseorang itu duduk di atas bara yang membakar pakaiannya dan bersentuhan dengan kulitnya daripada duduk di atas kubur.”

Riwayat Muslim (971)

Imam al-Nawawi berkata: “Tidak dibenarkan duduk di atas kubur dan tidak boleh memijaknya.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/347)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Larangan duduk di atas kubur adalah kerana ia merupakan penghinaan kepada ahli kubur itu. Maka pengharaman memijak atas kubur lebih diutamakan kerana ia seolah-olah merendahkan hak Muslim, yang mana kubur itu merupakan rumahnya, dan menghormatinya ketika mati adalah sama dengan menghormatinya ketika hidup”. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/31)

Syeikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksud daripada hadith ini. Beliau menyebut : “Larangan ini jelas menyatakan haram duduk di atas kubur. Ibn Hajar al-Asqalani berkata di dalam Fath al-Bari yang mana beliau menukilkan daripada al-Nawawi : Jumhur menyatakan bahawa duduk di atas kubur adalah makruh.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 3/182)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum duduk di atas duduk di atas kubur adalah tidak dibolehkan kerana seolah-olah menghina penghuninya. Maka seelok-eloknya kita menjaga adab ketika berada di tanah perkuburan dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar adab-adab menziarahi kubur.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply