Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Nabi SAW bagitahu solat hanya untuk tasbih dan baca al-Quran sahaja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin al-Hakam, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلحُ فِيهَا شَيْءٌ مِنْ كَلاَم النَّاسِ؛ إنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ، والتَّكبِيرُ، وَقِرَاءَةٌ القُرآنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat ini, tidak harus di dalamnya ada sebarang kalam manusia. Sebaliknya ia hanyalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran”

Riwayat Muslim (537)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Sebab wurud hadith ini adalah kerana seorang lelaki telah bersin semasa solat, maka Muawiyah bin al-Hakam, yang sedang dalam solat, menjawab bersin tersebut dengan doa. Para sahabat kemudiannya menyangkalnya kerana apa yang mereka fahamkan. Setelah solat, Nabi SAW mengajarinya, dan bersabda: “Solat ini bukanlah tempat bagi sebarang percakapan manusia. Ia adalah tempat bagi tasbih, takbir, dan membaca al-Quran. Bercakap dengan manusia semasa solat – walaupun dengan doa – dengan sengaja akan membatalkan solat. Bercakap kepada manusia semasa solat adalah seumpama mengabaikan munajat dengan Allah Yang Maha Tinggi.”  (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/36)

Menjawab persoalan soalan di atas, sebab Nabi SAW menyatakan bahawa solat hanya untuk tasbih dan baca al-Quran sahaja adalah kerana solat merupakan komunikasi dan munajat secara terus dengan Allah. Diriwayatkan daripada Anas R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّمَا يُنَاجِي رَبَّهُ

Maksudnya: “Apabila  seseorang daripada kamu berdiri menunaikan solat, sebenarnya dia sedang bermunajat dengan Tuhannya”

Riwayat al-Bukhari (417) dan Muslim (551)

Adalah penting bagi orang yang sedang solat untuk memastikan kehadiran hatinya dalam solat, supaya dia tidak terganggu daripada memahami maknanya dan situasi semasa solat. Sebaliknya, dia harus mengosongkan hatinya dan mengumpulkannya untuk merenungkan apa yang dia ucapkan dan lakukan dalam solat, diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي الصَّلاَةِ شُغْلًا

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam solat itu ada kesibukan (yang besar dalam bermunajat dengan Allah).”

Riwayat al-Bukhari (1199) dan Muslim (538)

Hadith ini juga merupakan petunjuk berkenaan dengan teguran dan didikan daripada Nabi SAW dan cara yang baik dalam dakwah dan bimbingannya dan ia merupakan contoh yang terbaik. Muawiyah bin al-Hakam tidak bercakap sebagai seorang yang berpengetahuan, dia bercakap sebagai seseorang yang tidak tahu. Oleh itu, Nabi SAW tidak menghukum atau menegurnya dengan keras, tetapi baginda mengajarnya dan memberi petunjuk dengan hikmah dan lembut bahawa solat adalah berkomunikasi dengan Allah Yang Maha Tinggi, dan dalam solat tidak sesuai untuk bercakap dengan manusia. Ini juga adalah petunjuk sebagaimana yang diberikan kepada seorang Arab Badwi yang kencing dalam masjid dan kepada seorang lelaki yang melakukan hubungan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan. Nabi SAW tidak lebih daripada memberi nasihat kepada mereka. Kekerasan dan ketegasan adalah untuk mereka yang sengaja melakukan perbuatan haram dengan tekad yang tetap. Setiap situasi memerlukan penyelesaian yang sesuai. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/38)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply