Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hikmah membawa saksi berkenaan dengan barang luqatah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Luqatah mengikut syara’ adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak diketahui hak miliknya”. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 7/69).

Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ

Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun.”

(Surah al-Qasas: 8)

Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Ibnu Qudamah yang menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).

Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏”‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sekiranya seseorang ada menjumpai barangan yang bernilai di jalanan adalah disunatkan baginya membawa saksi. Ini bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti tuduhan yang tidak berasas dan sebagainya. Selain itu penting membawa saksi ketika terjumpa harta luqatah ini kerana saksi dapat memberi peringatan kepada orang yang menemuinya sekiranya dia terlupa mengenai harta tersebut atau di mana tempat ia dijumpai.

Diriwayatkan daripada ‘Iyad bin Himar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من وجد لُقَطَةً فلْيُشهِدْ ذوي عدلٍ، ولا يكتُمْ، ولا يعبَثْ، فإن وجد صاحبَها، فلْيُردَّها عليه، وإلا فهو مالُ اللهِ، يؤتيه من يشاءُ

Maksudnya: Barangsiapa yang menjumpai barang luqatah, maka hendaklah dia memperlihatkan kepada orang yang adil dan tidak menyembunyinya kemudian apabila pemiliknya telah datang maka hendaklah dia mengembalikannya  kepadanya. Jika tidak maka itu adalah harta Allah yang diberikan kepada orang yang dikehendaki.

Riwayat Abu Dawud(1709), Ibn  Majah(2505) dan Ahmad (17481)

Dapat difahami melalui hadith ini bahawa diboleh mengambil harta luqatah dengan dua syarat iaitu amabah dan mengumumkannya kepada orang ramai. Selain itu hadith ini menunjukkan bahawa  pensyariatan mendatangkan  saksi ketika menemui harta luqatah. Sebahagian ulama seperti ulama Hanafi  berpandangan wajib membawa saksi. Manakala Jumhur ulama berpandangan ianya sunnah. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/144)

Antara hikmah membawa saksi ketika menjumpai harta luqatah adalah seperti berikut:

  • Memelihara agar tidak hilang dari seseorang yang menemuinya yang boleh menafikan hak pewarisan ke atas waris pemilik.
  • Saksi boleh mengingatkan orang yang menemui harta tersebut sekiranya dia terlupa baik sifat harta ataupun tempat dimana ia dijjmpai
  • Mengelak daripada berlakunya penipuan dan pengkhianatan terhadap harta yang dijumpai agar tidak menzalimi pemiliknya.
  • orang yang menjumpai harta yang tercicir mungkin meninggal secara tiba-tiba. Oleh itu harta tersebut menjadi sebahagian daripada harta yang ditinggalkan yang pada hakikatnya harta tersebut bukanlah miliknya. Sekiranya dia meninggal dalam tempoh yang wajib diiklankan harta tersebut maka harta itu tidak boleh dimasukkan dalam harta warisan. Dengan adanya saksi perkara ini boleh dielakkan. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 36/5)

Justeru, kami ingin menekankan bahawa amat penting untuk membawa saksi apabila menjumpai barangan berharga di tengah jalan yang pemiliknya tidak diketahui. Ke hadiran saksi ini sangat penting kerana mereka dapat menyaksikan ciri-ciri barang tersebut. Ini adalah tindakan yang wajar dilakukan kerana ia dapat  membantu mencegah penipuan dan pengkhianatan terhadap harta yang ditemui.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply