Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mengalami waswas sudah hampir setahun dan saya sangat fobia melihat kasut kulit kerana dalam fikiran saya sering mengatakan itu dari kulit khinzir. Soalan saya, jika kita terlihat seorang rakan bukan Islam memakai kasut kulit yang mana tidak dipastikan sama ada itu kulit khinzir atau bukan kerana memang ada ternampak tiga titik bulat tetapi saya tidak tahu membezakan itu benar-benar kulit khinzir atau corak sahaja. Rakan saya itu meletakkan tangannya diatas meja dan pensyarah saya pula meletakkan tangannya di atas meja itu juga. Setelah itu, tanpa sengaja pensyarah saya pegang pula baju saya dan laptop saya. Jadi adakah perlu disertu walaupun saya dan pensyarah saya tidak bersentuhan secara langsung dengan kasut tersebut. Maafkan saya kerana fikiran saya sampai memikirkan hal ni berkali-kali akibat was-was.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Di sini juga, kami sarankan beberapa cara dalam mengatasi was-was ini:

Pertama: Berusaha Mempelajari Ilmu Agama dan Mendalaminya

Penekanan kepada ilmu syari’at adalah penting kerana ianya adalah tunjang dan merupakan satu ilmu teras yang wajib dikuasai oleh setiap orang islam. Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syari’at.

Kedua: Sentiasa Berdamping dengan Ulama’ dan Orang-Orang Soleh

Teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.

Ketiga: Bersabar dan Terus Mencuba

Gangguan was-was merupakan satu ujian menentang syaitan kerana was-was itu sendiri adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was.

Keempat: Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan Dari-Nya.

Antara doanya:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.”

Kelima: Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Was-was

Justeru, saya katakan kepada saudara ambillah prihatin atas 5 nasihat yang kami kemukakan ini. Ini sejajar dengan kehendak syariat agar kita menyahkan sifat was-was yang merupakan mainan syaitan. Sesungguhnya, meninggalkannya dengan berdoa dan munajat serta tidak melayan gangguan was-was akan menatijahkan kebaikan dalam hidup anda.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini kami melihat ia lebih kepada masalah was-was yang serius. Maka, sewajarnya dibuangkan perasan tersebut kerana syak-wasangka yang tidak berasas. Hal ini kerana ia tidak dapat dipastikan sama ada ianya kulit khinzir atau bukan. Bahkan, sekiranya ia kulit khinzir sekalipun, ia tidaklah berpindah najis sebegitu. Hal ini kerana berpindahnya najis apabila salah satu darinya(kulit khinzir atau tangan)dalam keadaan basah. Namun, sekiranya kedua-duanya kering, maka pemindahan najis tidak berlaku. Justeru, tidak perlu bagi anda menyertu baju dan juga cover laptop anda. Cukuplah kita mengambil hukum zahir sebagaimana kaedah menyebut:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Kami juga ingin menasihatkan agar janganlah terlalu memikirkan akan sesuatu benda sehingga tercetusnya perasaan was-was. Penyakit was-was ini bahaya kerana ia boleh mengganggu kehidupan seharian kita. Ingatlah was-was itu datangnya dari syaitan agar menggoyahkan keyakinan kita.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply