Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum berdehem atau mengaduh Ketika Solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat adalah perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Solat ini meliputi perkara rukun, perkara sunat dan perkara yang membatalkan solat tersebut.

Secara asasnya kita mengetahui bahawa bercakap selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat akan membawa kepada batalnya solat. Syeikh Salim al-Hadrami menyenaraikan 14 perkara yang membatalkan solat, salah satunya ialah menuturkan perkataan meskipun perkataan itu hanya terdiri daripada dua huruf. (Lihat al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, 151).

Asal bagi larangan mengeluarkan perkataan selain daripada bacaan solat adalah berdasarkan firman Allah SWT:

‏‏حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ‏

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. 

(Surah al-Baqarah: 238)

Berdasakan mazhab al-Syafi’, berdehem itu boleh jadi membatalkan solat dan boleh jadi tidak. Jika dengan berdehem itu menjadi sebutan dua huruf, sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti “قِ” yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya. Adapun jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal. Begitu juga dikiaskan dengan ketawa, menangis, mengaduh, dan menghembus dengan mulut atau hidung. (Lihat al-Mu’tamad, 1/224-225; Sabil al-Muhtadin, 2/233)

Imam al-Nawawi berkata: Dalam permasalahan berdehem terdapat kesimpulan yang boleh nukilkan, iaitu tiga pendapat:

  • Pendapat yang sahih yang telah diputuskan dengannya oleh pengarang al-Muhazzab iaitu Abu Ishaq al-Syirazi dan kebanyakkan ulama’ apabila jelas bunyi dua huruf nescaya batal solatnya dan jika tidak jelas dua huruf, maka tidak batal.
  • Pendapat yang kedua tidak batal sekalipun terzahir dua huruf, ini merupakan pendapat yang dikatakan oleh al-Rafi’i dan beliau menghikayatkan ini daripada nas Imam al-Syafi’i.
  • Pendapat yang ketiga jika adalah mulutnya tertutup nescaya tidak batal sama sekali dan jika terbuka dan terzahir dua huruf, batal solatnya dan jika tidak terzahir dua huruf maka tidak batal. Pendapat ketiga ini telah diputuskan oleh Al-Mutawali.

Dan kami katakan bahawa batal solat itu dengan sebab berdehem jika ia dilakukan dengan pilihan tanpa ada keperluan. Manakala jika terpaksa berdehem, maka tidak batal solat. Dan jikalau terdapat keuzuran untuk membaca al-Fatihah melainkan dengan berdehem, maka berdehem tidak memudaratkan solatnya kerana ia perbuatan yang diuzurkan. Dan jika dia boleh membaca al-Fatihah, tetapi mempunyai keuzuran untuk menguatkan suara melainkan dengan berdehem, maka berdehem bukanlah uzur atas pendapat yang paling sahih dari dua pendapat kerana menguatkan suara bukanlah yang wajib.” (Lihat al-Majmu’,4/79-80)

Disebut dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (2/41-42), terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ mengenai perkara-perkara seperti pernafasan yang kuat, berdehem, mengeluh, mengaduh, atau seumpamanya semasa solat.

  • Mazhab Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali berpendapat bahawa perkara-perkara tersebut akan membatalkan solat jika ia adalah dua huruf atau lebih. Sekiranya ia tidak terbina dengan dua huruf, atau tangisannya terjadi disebabkan perasaan takut kepada Allah atau dia berdehem dalam keadaan tertentu yang memerlukan dia melakukan tindakan tersebut, maka tidak terbatal solatnya.
  • Syeikh Taqiyuddin berpendapat bahawa perkara-perkara ini membatalkan solat, walaupun dua huruf atau lebih terucap daripadanya. Beliau berhujah bahawa perkara-perkara ini tidak termasuk dalam kategori percakapan, dan tidak boleh menqiyaskannya kepada percakapan.

Secara keseluruhan, terdapat tiga jenis kata-kata:

  • Kata-kata yang membawa makna sendiri, seperti “يد: tangan,” “فم: mulut,” “سن: gigi,” dan sebagainya.
  • Kata-kata yang membawa makna dalam konteks lain, seperti “عَن”, “من”, dan “في” dan sebagainya. Kedua-dua jenis kata-kata ini adalah kategorinya membawa makna secara lisan, dan ulama sepakat bahawa penggunaan kata-kata ini dalam solat akan membatalkan solat sekiranya tidak ada alasan syar’i menghalang daripada perkataan itu membatalkan solatnya.
  • Kata-kata yang tidak membawa makna dalam konteks lisan, seperti berdehem, menangis, atau mengeluh. Dan yang rajih bahawa ia tidak membatalkan solat kerana ia bukanlah perkataan menurut bahasa. Sesungguhnya Ali R.A pernah meminta izin kepada Rasulullah SAW ketika baginda solat, lalu baginda berdehem kepadanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/42)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kami memilih pendapat bahawa berdehem adalah dibolehkan sekiranya ada keperluan seperti suara tersekat ketika ingin membaca bacaan dalam solat, namun sekiranya tanpa ada tujuan dan maslahah dan dilakukan dengan sengaja beserta dengan jelasnya dua huruf, maka batallah solatnya.

Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baz berkata: “Tidak mengapa berdehem kerana keperluan seperti untuk menghilangkan sesuatu yang ada pada kerongkong atau untuk memberitahu yang kita sedang solat. Ini kerana terdapat hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali R.A, katanya:

كَانَ لِي مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُدْخَلَانِ مُدْخَلٌ بِاللَّيْلِ وَمُدْخَلٌ بِالنَّهَارِ فَكُنْتُ إِذَا أَتَيْتُهُ وَهُوَ يُصَلِّي يَتَنَحْنَحُ لِي

Maksudnya: “Aku memiliki dua waktu untuk menemui Rasulullah SAW, iaitu pada malam hari dan pada siang hari, dan apabila aku menemui baginda ketika baginda sedang melaksanakan solat, maka baginda akan berdehem kepadaku.”

Riwayat al-Nasa’i (1212), Ibn Majah (3708) dan Ahmad (608)

Ini menunjukkan berdehem kerana ada keperluan tidak mengapa. Tetapi jangan banyak berdehem kerana jika banyak berdehem, ia termasuk perbuatan yang boleh membatalkan solat.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 9/284-285)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply