Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Perkataan “rukhsah” digunakan dalam membenarkan pemakaian sutera kepada lelaki kerana ‘illah sakit atau seumpamanya. Boleh terangkan dengan lebih jelas berkenaan hal ini? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, benar di sana terdapatnya perkataan rukhsah digunakan dalam riwayat yang membenarkan pemakaian sutera kepada lelaki disebabkan oleh sebab-sebab tertentu. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ، وَالزُّبَيْرِ فِي قَمِيصٍ مِنْ حَرِيرٍ، مِنْ حِكَّةٍ كَانَتْ بِهِمَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW memberi keringanan (rukhsah) kepada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan al-Zubair untuk memakai baju yang diperbuat daripada sutera kerana penyakit gatal kulit (yang ada pada mereka).

Riwayat al-Bukhari (2919) dan Muslim (2076)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dengan menukilkan pandangan al-Tabari, di mana beliau menyatakan dalil hadith yang menunjukkan  larangan bagi kaum lelaki yang menggunakan sutera tidak termasuk orang yang mempunyai penyakit yang boleh berkurangan dengan hanya memakai pakaian sutera. (Lihat Fath al-Bari, 10/295).

Keduanya, secara ringkas menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, rukhsah dari segi bahasa bermaksud berpindah daripada sesuatu yang susah kepada senang. Manakala dari segi syarak pula ia bermaksud suatu ketetapan yang bertentangan dengan hukum asal syarak disebabkan oleh perkara atau sesuatu yang mendatang (seperti keuzuran atau kesusahan). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/117).

Selain itu, rukhsah juga boleh diertikan sebagai suatu ketetapan hukum yang disyariatkan disebabkan satu keuzuran dan kesusahan. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/262; al-Muwafaqat, 1/466).

Di antara contoh rukhsah dalam Islam adalah seperti pemakaian sutera kepada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan al-Zubair kerana penyakit gatal kulit (yang ada pada mereka), keharusan mengqasarkan solat fardhu empat rakaat kepada dua rakaat semasa bermusafir, keharusan bertayammum sebagai ganti kepada wuduk ketika ketiadaan air, dan sebagainya.

Kemudian, Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam setelah menjelaskan maksud rukhsah, beliau mendatangkan pula persoalan yang mungkin timbul iaitu jika ditanyakan kepada kamu: “Syariah Islamiyyah kesemuanya adalah mudah dan senang. Justeru, bagaimanakah pula dinamakan ini sebagai rukhsah?”

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, jawapannya adalah, sesungguhnya rukhsah ini datang datang kerana sesuatu sebab bagi mengeluarkan atau mengecualikan sebahagian manusia daripada hukum wajib ataupun hukum haram kepada harus. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/117).

Maka, ini adalah seperti mana halnya ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan al-Zubair, di mana pada asalnya mereka turut termasuk dalam larangan memakai sutera. Akan tetapi diberikan keringanan atau rukhsah kepada mereka untuk boleh atau harus memakainya disebabkan oleh penyakit kulit yang dialami oleh mereka.

Begitu juga halnya bagi mereka yang bermusafir. Pada asalnya, mereka turut diwajibkan untuk mendirikan solat empat rakaat sebagaimana yang diperintahkan iaitu sebanyak empat rakaat. Akan tetapi diberikan keringanan atau rukhsah kepada mereka untuk boleh atau harus memendekkan (qasar) empat rakaat tersebut menjadi dua rakaat disebabkan oleh ‘illah musafir. Demikianlah juga halnya bagi perkara-perkara lain, yang mana syarak tetapkan adanya rukhsah atau kelonggaran disebabkan oleh sebab-sebab (‘illah) tertentu.

Perkara yang mesti diberi perhatian juga adalah rukhsah ini adalah berbeza sama sekali dengan apa yang dipanggil sebagai tatabbu‘ rukhas di mana seseorang itu bermudah-mudah memilih pendapat mengikut hawa nafsunya dan dia mengikutinya kerana itu yang mudah menurutnya, bukannya kerana kekuatan dalil atau hujah yang dikemukakan. Atau bertukar-tukar bertanya kepada para asatizah sehinggalah mendapat jawapan yang diingini dengan kehendak dirinya.

Di antara contoh perbuatan tatabbu‘ rukhas adalah seseorang itu bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah bahawa menyentuh seorang perempuan tidak membatalkan wuduk dan dalam masa yang sama dia bertaqlid kepada Imam al-Syafi‘i bahawa keluarnya darah tidak membatalkan wuduk, kemudian dia menunaikan solat. Solat sebegini tidak dianggap sebagai sah di sisi kedua-dua imam.

Begitu juga contoh yang lain, seseorang itu berkahwin tanpa ada wali, mahar dan juga saksi. Pernikahan yang tidak terdapat ketiga-tiganya ini adalah tidak sah di sisi para ulama.

Contoh-contoh di atas ini menunjukkan sifat bermudah-mudahan seseorang itu dalam memilih mana-mana pandangan ulama mazhab yang menepati hawa nafsu dan kemudahan dirinya sedangkan kita dituntut untuk memilih pandangan yang kuat berdasarkan dalil.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply